Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah maksud solat al-wusta dalam surah al-Baqarah ayat 238?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
firman Allah SWT:
حَافِظُوا عَلَى الصَّلَوَاتِ وَالصَّلاَةِ الْوُسْطَى وَقُومُوا لِلَّهِ قَانِتِينَ
Maksudnya: Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardhu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk.
(Surah al-Baqarah: 238)
Ibn Kathir berkata: Ayat ini merupakan arahan untuk meninggalkan bercakap semasa solat kerana ia bertentangan dengan tuntutan berdiam diri dalam solat. Ketika seseorang diperintahkan untuk khusyu’ dalam solat, maksudnya adalah arahan untuk berdiam diri, dan bercakap akan bertentangan dengan tuntutan khusyu’ ini. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 1/496)
Menjawab persoalan diatas, diriwayatkan daripada Samurah bin Jundub R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
صَلاَةُ الْوُسْطَى صَلاَةُ الْعَصْرِ
Maksudnya: “Solat Wusta adalah solat Asar,”
Riwayat al-Tirmizi (182), Ahmad (20129), al-Tabarani (6825) dan al-Baihaqi (2252). Imam al-Tirmizi menyatakan hadith ini adalah hasan sahih
Imam al-Tirmizi berkata: Dalam bab ini juga terdapat riwayat daripada Ali, ‘Abdullah bin Mas’ud, Zaid bin Thabit, ‘Aisyah, Hafsah, Abu Hurairah dan Abu Hasyim bin Utbah. Abu ‘Isa berkata: Muhammad berkata: ‘Ali bin ‘Abdullah menyatakan bahawa hadith Samurah bin Jundab darjatnya hasan sahih, dan beliau telah mendengar daripadanya. Abu ‘Isa berkata: Hadith Samurah tentang solat Wusta adalah solat Asar, darjatnya hasan sahih. Ini adalah pendapat yang diambil oleh sebahagian besar ulama’ daripada kalangan sahabat Nabi SAW dan selain mereka. Zaid bin Thabit dan ‘Aisyah menyatakan Solat Wusta adalah solat Zuhur. Sedangkan Ibnu Abbas dan Ibnu ‘Umar menyatakan Solat Wusta adalah solat Subuh. (Lihat Sunan al-Tirmizi, 1/222)
Syeikh Abdullah al-Bassam berkata: Para ulama berbeza pendapat dalam menentukan ‘Solat al-Wusta’, ketika mana Allah SWT menyebut dalam firman-Nya: “Peliharalah solat-solat dan ‘Solat al-Wusta’ [Al-Baqarah: 238]. Terdapat banyak pendapat mengenai hal ini, dan ulama telah mencadangkan sebanyak enam belas pendapat yang berbeza. Pendapat yang paling kuat ialah solat Asar, dan selain daripada itu, pendapat-pendapat lain adalah lemah dalam hujahnya.
Diriwayatkan daripada Ali R.A, katanya: Ketika peperangan Ahzab Rasulullah SAW bersabda:
لَمَّا كَانَ يَوْمُ الأَحْزَابِ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَلَأَ اللَّهُ بُيُوتَهُمْ وَقُبُورَهُمْ نَارًا، شَغَلُونَا عَنِ الصَّلاَةِ الوُسْطَى حَتَّى غَابَتِ الشَّمْسُ.
Maksudnya: “Semoga Allah memenuhkan rumah dan kubur mereka dengan api, mereka membuatkan kita sibuk sehingga tidak sempat melakukan solat al-Wusta (Asar) sehingga terbenamnya matahari.”
Riwayat al-Bukhari (2931) dan Muslim (627)
Ini adalah penjelasan Nabi SAW tentang ‘Solat al-Wusta’, tanpa ada keraguan. Imam al-Tirmizi berkata: Ini adalah pendapat yang kebanyakan ulama’ dalam kalangan sahabat Nabi. Al-Mawardi berkata: Ini adalah pendapat yang diterima oleh kebanyakan tabi’in. Ibn Abd al-Barr berkata: Ini adalah pendapat yang disokong oleh kebanyakan ahli hadith, dan ia adalah mazhab dua Imam, iaitu Abu Hanifah dan Ahmad, dan ia juga menjadi mazhab kebanyakan ulama’ mazhab al-Syafi’i, serta diikuti oleh Ibn Hubaib dan Ibn al-Arabi daripada kalangan ulama’ Maliki. (Lihat al-Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 2/42)
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa maksud Solat al-Wusta sebagaimana yang disebut dalam al-Quran adalah solat asar sebagaimana yang disebut dalam hadith Nabi SAW dan juga majoriti ulama’ daripada sahabat, tabi’in dan mereka yang selepas daripada itu.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”
Surah Ibrahim (40)
Bertarikh: 19 Oktober 2023 bersamaan 4 Rabiulakhir 1445