Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada persoalan berkenaan hamba, meskipun sekarang sudah tidak ada lagi sistem perhambaan. Jika seseorang itu memiliki hamba sahaya, adakah hamba dia itu berhak untuk menerima nafkah?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

۞ وَاعْبُدُوا اللَّهَ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا ۖ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا وَبِذِي الْقُرْبَىٰ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينِ وَالْجَارِ ذِي الْقُرْبَىٰ وَالْجَارِ الْجُنُبِ وَالصَّاحِبِ بِالْجَنبِ وَابْنِ السَّبِيلِ وَمَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ مَن كَانَ مُخْتَالًا فَخُورًا

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu beribadah kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri.”

(Surah al-Nisa’: 36)

Imam al-Qurtubi ketika menafsirkan firman Allah SWT (وَمَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ), Allah SWT memerintahkan untuk berlaku ihsan terhadap hamba sahaya yang dimiliki. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 5/189)

Hamba sahaya didefinisikan sebagai orang yang terpaksa bekerja untuk seseorang dengan tidak mendapat apa-apa bayaran.[1] Mereka juga mempunyai keperluan asasi yang perlu dipenuhi bagi meneruskan kehidupan seharian. Bahkan Islam menuntut agar mereka yang memiliki hamba sahaya untuk menunaikan nafkah asasi seperti pakaian, tempat tinggal dan makan minum seharian.

Ini sebagaimana yang warid daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 لِلْمَمْلُوكِ طَعَامُهُ وَكِسْوَتُهُ وَلاَ يُكَلَّفُ مِنَ الْعَمَلِ إِلاَّ مَا يُطِيقُ

Maksudnya: “Seseorang yang dimiliki (hamba) berhak untuk mendapatkan makanannya dan juga pakaiannya dengan cara yang ma‘ruf (baik) dan janganlah dia dibebani dengan sesuatu pekerjaan melainkan dengan apa yang dia mampu.”

Riwayat Muslim (1662)

Dalam riwayat Abu Zar R.A, Rasulullah SAW bersabda kepadanya:

إِخْوَانُكُمْ خَوَلُكُمْ، جَعَلَهُمُ اللهُ تَحْتَ أَيْدِيكُمْ، فَمَنْ كَانَ أَخُوهُ تَحْتَ يَدِهِ فَـلْيُطْعِمْهُ مِمَّا يَأْكُلُ، وَلْيُلْبِسْهُ مِمَّا يَلْبَسُ، وَلاَ تُكَلِّفُوهُمْ مَا يَغْلِبُهُمْ، فَإِنْ كَلَّفْتُمُوهُمْ فَأَعِينُوهُمْ

Maksudnya: “Hamba-hamba kamu merupakan saudara-saudara kamu, dan Allah SWT telah meletakkan mereka di bawah tanggungan kamu. Maka barangsiapa yang mempunyai seorang hamba di bawah tanggungannya, hendaklah dia memberinya makan sama dengan apa yang dia makan, dan memberinya pakaian yang sama dengan pakaiannya. Jangan bebankan mereka dengan tugas yang tidak mampu mereka laksanakan, dan jika kamu bebankan juga hendaklah kamu menolong mereka.”

Riwayat al-Bukhari (31) dan Muslim (1661)

Imam al-Nawawi berkata ketika mensyarahkan kedua hadith di atas, perintah untuk memberi makan kepada para hamba dengan apa yang dimakan oleh tuannya dan memberi mereka pakaian yang sama dikenakannya difahami sebagai perintah yang sunat, dan tidak diwajibkan. Inilah yang telah disepakati oleh ulama’ Islam. Adapun tindakan Abu Zar R.A dengan memberikan hambanya pakaian yang sama dengan pakaiannya, ini adalah beramal dengan perintah sunat.

Meskipun begitu, tuan wajib memberi nafkah kepada hamba dan memberinya pakaian yang sesuai menurut uruf negeri dan masyarakat setempat, sama ada dia dari jenis yang sama dengan nafkah dan pakaian tuannya, kurang darinya atau lebih darinya. Sekiranya tuan itu seorang yang tangkai jering terhadap dirinya sendiri, luar dari kebiasaan, sama ada kerana hendak menjadi zuhud atau memang kedekut, dia tidak boleh bersifat kedekut juga pada hambanya dan memaksanya untuk sama dengannya kecuali jika hamba tersebut redha.

Ulama’ juga bersepakat bahawa tidak boleh seorang tuan itu membebankan hambanya dengan suatu pekerjaan yang tidak mampu dilakukannya. Jika dia tetap membebankannya dengan pekerjaan tersebut, dia wajib bantu sendiri hambanya atau mengupah orang lain untuk membantu. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 11/133)

Syeikh ‘Abdullah bin ‘Abd al-Rahman al-Bassam berkata, apabila Islam menetapkan jalan yang sah bagi mengambil hamba sahaya, Islam menghormati mereka dengan menjadikan satu tuntutan ke atas tuannya untuk memberi mereka nafkah, pakaian, dan tempat tinggal. Islam juga melarang memberikan bebanan kerja yang berlebihan atau tidak tertanggung kepada mereka, tetapi sebaliknya, mereka sepatutnya diberikan tugas yang tidak membebankan, dan inilah yang disepakati di kalangan ulama. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 6/42)

Tuan yang dengan sengaja tidak memberikan nafkah keperluan hamba sahayanya ibarat melakukan kezaliman ke atas hamba tersebut. Hal ini kerana, hamba tersebut tidak memiliki sebarang harta melainkan apa yang diberikan oleh tuannya sahaja. Maka, sekiranya perkara asas seperti tempat tinggal, makanan dan pakaiannya ditahan, hamba tersebut tidak lain dilayan seperti sesuatu yang tidak bernilai. Dalam sebuah riwayat lain daripada ‘Abdullah bin ‘Amru R.A, katanya bahwa Rasulullah SAW bersabda:

كَفَى بِالْمَرْءِ إِثْمًا أَنْ يَحْبِسَ عَمَّنْ يَمْلِكُ قُوتَهُ ‏

Maksudnya: “Cukuplah seseorang itu dikira berdosa apabila dia menahan hak asasi hamba sahaya yang dimilikinya.”

Riwayat Muslim (996)

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan di atas, hamba sahaya wajib diberikan nafkah berupa keperluan asasi berdasarkan hujjah-hujjah yang disebutkan. Tuan kepada hamba tersebut dikira berdosa sekiranya dia dengan sengaja menahan hak hambanya.

Adapun menyediakan keperluan yang sama rata bagi dirinya dan hambanya, ia hanya tuntutan yang sunat sahaja seperti yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi.

Wallahu a ‘lam

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=hamba&d=102572&. Diakses pada 18 Oktober 2023.

Bertarikh: 19 Oktober 2023 bersamaan 4 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply