Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. saya telah berkahwin dan ada cadangan untuk poligami. Tapi bakal isteri saya telah meninggal dunia baru-baru ini. Adakah peluang saya untuk bertemu dengan dia di syurga nanti?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَمَن يَعْمَلْ مِنَ الصَّالِحَاتِ مِن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَىٰ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَأُولَٰئِكَ يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ وَلَا يُظْلَمُونَ نَقِيرًا

Maksudnya: “Dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka mereka itu akan masuk Syurga, dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasannya) sedikitpun.”

(Surah al-Nisa’: 124)

Ibn Kathir berkata: “Allah dalam menerangkan tentang kebaikan-Nya, kemurahan-Nya, dan rahmat-Nya dalam menerima amal soleh daripada hamba-hamba-Nya, sama ada lelaki dan perempuan, dengan syarat beriman, Dan sesungguhnya Allah akan memasukkan mereka ke dalam syurga dan tidak akan merugikan mereka sedikit pun daripada pahala dan amal soleh mereka, sebesar kecil biji al-Naqir. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 2/421)

Begitu juga, Firman Allah SWT:

جَنَّاتُ عَدْنٍ يَدْخُلُونَهَا تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الأنْهَارُ لَهُمْ فِيهَا مَا يَشَاءُونَ كَذَلِكَ يَجْزِي اللَّهُ الْمُتَّقِينَ

Maksudnya: “Segala kebun-kebun syurga ‘Adan itu semua orang beriman akan memasukinya. Syurga yang berlalu air di bawahnya dan di dalam syurga itu semua penghuninya memperolehi apa yang mereka kehendaki. Seperti inilah Allah membalas akan orang-orang yang bertaqwa.”

(Surah al-Nahl : 31)

Ibn Jarir al-Tabari berkata: “Bagi mereka yang berbuat baik di dunia ini, mereka akan memiliki syurga ‘Adn di mana mereka dapat memperoleh apa pun yang diinginkan oleh jiwa mereka dan kesenangan yang menyenangkan mata mereka. Allah berfirman: “Demikianlah Allah memberi balasan kepada orang-orang yang bertakwa.” Ini bererti bahawa sebagaimana Allah memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik di dunia ini dengan apa yang telah digambarkan kepada kalian wahai manusia, bahwa Dia memberi balasan kepada mereka di dunia dan di akhirat, begitu pula Dia memberi balasan kepada orang-orang yang bertakwa-Nya yang menunaikan kewajiban-kewajiban mereka dan menjauhi perbuatan dosa. (Lihat Jami’ al-Bayan, 14/212)

Dalam ayat ini, Allah memberitahu bahawa apa sahaja yang disukai oleh penghuni syurga akan mereka dapat termasuklah isteri atau suami. Setiap orang lelaki atau perempuan yang mati dalam keadaan bujang akan berkahwin di dalam syurga.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ أَوَّلَ زُمْرَةٍ تَدْخُلُ الْجَنَّةَ عَلَى صُورَةِ الْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ، وَالَّتِي تَلِيهَا عَلَى أَضْوَإِ كَوْكَبٍ دُرِّيٍّ فِي السَّمَاءِ، لِكُلِّ امْرِئٍ مِنْهُمْ زَوْجَتَانِ اثْنَتَانِ، يُرَى مُخُّ سُوقِهِمَا مِنْ وَرَاءِ اللَّحْمِ، وَمَا فِي الْجَنَّةِ أَعْزَبُ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang yang awal masuk ke dalam syurga ialah atas rupa bulan purnama dan yang mengiringinya pula atas rupa seperti bintang yang sangat terang sinarnya di langit. Bagi setiap ahli syurga dari mereka itu dua isteri yang mana dapat dilihat dari belakang daging akan sumsum dua betisnya dan tiadalah di dalam syurga itu orang yang bujang.”

Riwayat Muslim (2834)

Hasan Abu al-Asybal dalam Syarh Sahih Muslim berkata: “Dan tidak ada seorang pun di Syurga yang akan membujang. Semua mereka akan bernikah, dan setiap orang yang memasuki Syurga dalam kalangan lelaki akan memiliki dua bidadari daripada al-Hur al-’Ain, selain isteri-isteri yang dicintainya di dunia. Jika dia telah menikah dengan satu isteri, maka isteri tersebut akan menjadi pasangannya di Syurga.” (Lihat Syarh Sahih Muslim, oleh Hasan Abu al-Asybal, 6/10)

Dalam menjawab persoalan di atas, di samping dalil-dalil yang dikemukakan, kami nyatakan di sini dengan dua dalil yang lain bagi menunjukkan bahawa seseorang itu boleh bersama dengan orang yang dia sayangi atau cinta dengan syarat kedua-duanya menjadi ahli syurga.

Firman Allah SWT:

نَحْنُ أَوْلِيَاؤُكُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَفِي الْآخِرَةِ ۖ وَلَكُمْ فِيهَا مَا تَشْتَهِي أَنفُسُكُمْ وَلَكُمْ فِيهَا مَا تَدَّعُونَ

Maksudnya: ““Kamilah penolong-penolong kamu dalam kehidupan dunia dan pada hari akhirat; dan kamu akan beroleh – pada hari akhirat – apa yang diingini oleh nafsu kamu, serta kamu akan beroleh – pada hari itu – apa yang kamu cita-citakan mendapatnya.

(Surah Fussilat: 31)

Al-Syaukani berkata: ‘وَلَكُمْ فِيهَا مَا تَشْتَهِي أَنفُسُكُمْ’ yakni daripada segala kenikmatan dan kelazatan. ‘ وَلَكُمْ فِيهَا مَا تَدَّعُونَ’ yakni apa yang kamu semua minta daripada segala yang kamu inginkan. (Lihat Fath al-Qadir, 5/221)

Syeikh al-Sa’di berkata: Di dalam syurga, apa sahaja yang diminta dan segala yang sangat diinginkan oleh seseorang daripada pelbagai kelazatan dan hal-hal yang merangsang, yang belum pernah dilihat mata, didengari telinga dan belum pernah terlintas dalam hati seorang manusia. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 443)

Daripada Abdullah bin Mas’ud R.A, katanya:

جَاءَ رَجُلٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، كَيْفَ تَقُولُ فِي رَجُلٍ أَحَبَّ قَوْمًا وَلَمْ يَلْحَقْ بِهِمْ ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: (المَرْءُ مَعَ مَنْ أَحَبَّ) .

Maksudnya: “Telah datang seorang lelaki menemui Rasulullah SAW seraya bertanya, ‘hai Rasulullah, apa pendapatmu seorang lelaki yang cinta satu kaum sedangkan dia tidak sempat bersama denagn mereka?’ Maka, jawab Rasulullah SAW, ‘Seseorang itu bersama orang yang dicintai’.

Riwayat al-Bukhari (6169) dan Muslim (2640)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan di syurga kelak apa sahaja yang diingini oleh penghuni syurga akan diperolehinya termasuklah isteri atau suami. Oleh itu, seseorang yang bertunang tetapi tidak sempat melangsungkan perkahwinan sewaktu di dunia, Allah SWT akan mengahwinkannya.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Bertarikh: 20 Oktober 2023 bersamaan 5 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply