Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya siapakah wanita pilihan yang sepatutnya dikahwini? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Nikah menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud sebuah akad (perjanjian) yang mengandungi lafaz ijab dan kabul yang menghalalkan pasangan lelaki dan perempuan untuk melakukan persetubuhan.

Perkataan nikah berasal dari perkataan Arab (نَكَحَ يَنْكِحُ نَكْحاً ونِكَاحاً) yang bermaksud bernikah dan perkataan (الاخْتِلَاطُ) yang bermaksud bercampur. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i, 2/34)

Dari istilah syarak, nikah ialah suatu akad yang menghalalkan istimta’ (bersetubuh atau berseronok-seronok) di antara suami isteri dengan cara yang dibenarkan oleh syarak. Masyarakat arab menggunakan perkataan nikah dengan makna akad yang juga membawa maksud persetubuhan serta berseronok-seronok. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i, 2/671)

Lafaz nikah ada disebut di dalam firman Allah SWT:

فَانْكِحُوا مَا طَابَ لَكُمْ مِنَ النِّسَاءِ

Maksudnya: “…maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain)…”

(Surah al-Nisa’: 3)

Dalam ayat ini, Allah telah mensyariatkan keharusan pernikahan untuk seluruh umat Islam malah menggalakkannya. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 16/125)

Perkahwinan atau pernikahan adalah sangat dituntut di dalam Islam. Sudah menjadi fitrah manusia untuk saling berkasih sayang ini diperjelaskan di dalam Al-Quran melalui firman Allah SWT:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang.”

(Surah al-Rum: 21)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menjelaskan bahawa ayat ini merupakan antara ayat-ayat Allah — yakni bukti dan tanda-tanda — yang menunjukkan kepada al-Ba‘th — yakni kebangkitan, — di mana Dia menciptakan untuk kamu pasangan-pasangan daripada jenis manusia juga, agar kamu dapat mewujudkan ketenangan dan kesenangan. Dia juga menumbuhkan rasa cinta dan kasih sayang antara suami isteri. (Lihat al-Tafsir al-Wajiz, hlm. 407)

Pernikahan sememangnya dianjurkan dalam Islam dengan syarat mestilah berlandaskan kepada syariah yang telah ditetapkan. Pernikahan yang sah dan sempurna adalah pernikahan yang memenuhi rukun-rukun dan syarat-syarat yang diletakkan syara’. Terdapat juga beberapa jenis pernikahan yang dilarang dalam Islam seperti nikah mut’ah (yang diamalkan pengikut ajaran Syiah), nikah muaqqat (nikah kontrak) dan lain-lain. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiah, 41/325)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan di sini bahawa pemilihan kriteria pasangan adalah penting sebelum mendirikan rumahntangga. Ini kerana dengan pemilihan yang tepat sesuai dengan kehendak diri ia dapat memberi kesan yang positif terhadap hubungan rumahtangga yang dibina.

Dalam menjawab pertanyaan di atas, kami ingin menyatakan bahawa pemilihan pasangan dengan kriteria yang betul adalah sangat penting sebelum memasuki alam perkahwinan. Pemilihan yang bijak, yang selaras dengan nilai dan kehendak diri, dapat memberi impak positif yang besar kepada hubungan perkahwinan yang dibina. Ini kerana pasangan yang dipilih dengan cermat boleh membina dasar yang kukuh dan sejajar dengan matlamat hidup bersama, mengurangkan konflik, serta membina  kebahagiaan dalam perkahwinan. Oleh itu, penting untuk memberi perhatian dan pertimbangan yang sewajarnya dalam pemilihan pasangan sebelum melangkah ke alam perkahwinan.  Dalam pemilihan pasangan kita boleh melihat sebuah hadith diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

تُنْكَحُ الْمَرْأَةُ لأَرْبَعٍ لِمَالِهَا وَلِحَسَبِهَا وَجَمَالِهَا وَلِدِينِهَا، فَاظْفَرْ بِذَاتِ الدِّينِ تَرِبَتْ يَدَاكَ

Maksudnya: “Wanita dinikahi kerana empat perkara; kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya, maka pilihlah wanita yang taat beragama, nescaya engkau beruntung.”

Riwayat al-Bukhari (5090) dan Muslim (1466)

Hadith ini menunjukkan bahwa antara kriteria wanita yang boleh dipilih sebagai isteri adalah seorang yang memiliki harta, keturunan yang baik, kecantikan, dan agama yang kukuh. Rasulullah SAW menekankan pentingnya pemilihan wanita yang beragama kerana dengan agama, ia membawa kebaikan di dunia dan akhirat.

Selain itu adalah amat digalakkan mengahwini wanita yang  Penyayang dan Subur sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ma’qil bin Yasar R.A, katanya: Seseorang telah mendatangi Rasulullah SAW dan berkata:

إِنِّي أَصَبْتُ امْرَأَةً ذَاتَ جَمَالٍ وَحَسَبٍ، وَإِنَّهَا لَا تَلِدُ أَفَأَتَزَوَّجُهَا؟ قَالَ: لَا، ثُمَّ أَتَاهُ الثَّانِيَةَ فَنَهَاهُ، ثُمَّ أَتَاهُ الثَّالِثَةَ فَقَالَ: تَزَوَّجُوا الْوَدُودَ الْوَلُودَ فَإِنِّي مُكَاثِرٌ بِكُمُ الْأُمَمَ

Maksudnya: “Sesungguhnya aku telah bertemu dengan seorang wanita yang mempunyai kedudukan dan cantik tetapi dia seorang yang tidak boleh melahirkan anak. Maka, apakah aku boleh menikahinya? Rasulullah SAW menjawab: “Jangan.” Kemudian, lelaki itu datang buat kali yang kedua, maka baginda juga melarangnya. Lalu lelaki itu datang buat kali yang ketiga, maka Nabi SAW bersabda: “Kahwinilah kamu akan perempuan yang penyayang, subur kerana aku merasa bangga dengan memiliki umat yang banyak.”

Riwayat Abu Dawud (2050) dan al-Nasa’i (3227). Syeikh Syuaib al-Arnaut menyatakan sanad hadith ini qawiy dan dinilai sahih berdasarkan kitab Adab al-Zifaf (hlm. 132)

Apa yang dapat difahami melalui hadith ini sebagaimana yang telah dinyatakan dalam Taudih al-Ahkam Min Bulugh al-Maram adalah seperti berikut:

  • Agama mewajibkan perkahwinan kerana terdapat manfaat besar dalamnya, banyak kebaikan, dan ia merupakan suatu kewajipan. Para ulama telah menyatakan, jika seseorang bimbang tentang dirinya terjerumus dalam perbuatan maksiat, maka perkahwinan menjadi wajib baginya. Ia bagi menjaga kehormatannya dan menjaga pandangan. Jika dia tidak khuatir akan terjerumus ke dalam perakara yang haram, perkahwinan menjadi sunat ke atasnya, bahkan ia lebih utama daripada ibadah sunat yang lain, kerana terdapat padanya maslahat yang banyak.
  • Menghindari dan menjauhi wanita serta meninggalkan perkahwinan dengan menyendiri hanya untuk beribadah adalah sesuatu yang dilarang, dan larangan membawa kepada haram, kerana ia bertentangan dengan sunnah-sunnah yang telah dilakukan oleh para Rasul. Firman Allah SWT:

وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا رُسُلًا مِّن قَبْلِكَ وَجَعَلْنَا لَهُمْ أَزْوَاجًا وَذُرِّيَّةً

Maksudnya: Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul sebelummu, dan Kami jadikan untuk mereka isteri-isteri dan zuriat keturunan.

(Surah al-Ra’d: 38 )

  • Islam adalah agama yang penuh dengan toleransi dan kemudahan. Ia menentang sikap keras dan ketidakseimbangan dalam urusan. Ia mendorong kepada keseimbangan dan kesederhanaan agar seseorang dapat menjalankan segala tugas yang diwajibkan kepadanya untuk dikerjakan. (Lihat Taudih al-Ahkam Min Bulugh al-Maram,5/221)

Syeikh Abd al-‘Azim Abadi  berkata: “( تَزَوَّجُوا الْوَدُود) iaitu; yang mencintai suaminya, (الْوَلُود) iaitu yang ramai anaknya. Dua kriteria diikat bersama kerana jika dia subur tetapi bukan seorang yang penyayang, maka tidak digalakkan untuk berkahwin dengannya, dan jika dia penyayang tetapi tidak subur maka matlamatnya tidak akan tercapai iaitu menambahkan bilangan umat Nabi SAW dengan melahirkan ramai anak. Untuk mengetahui dua perkara yang ada pada wanita dara adalah dengan melihat saudara dan adik beradik mereka; kerana secara umumnya apa yang berlaku adik beradiknya atau saudaranya tidak jauh beza antara satu sama lain. (Lihat ‘Aun al-Ma’bud, 6/33)

Begitu juga Syeikh Zakariyya al-Ansari berkata: “Penyayang serta kesuburan seorang perempuan dapat diketahui dengan melihat saudara dan kerabatnya yang senasab. (Lihat Asna al-Matalib, 3/197)

Justeru, kami katakan bahawa memilih kriteria yang telah disebutkan di atas adalah sangat penting. Ini bertujuan untuk memastikan bahawa kehidupan dalam rumah tangga yang akan dibina diberkati dengan kebahagiaan, kesejahteraan, dan kasih sayang.

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ رَزَقَهُ اللهُ امْرَأَةً صَالِحَةً، فَقَدْ أَعَانَهُ عَلَى شَطْرِ دِينِهِ

Maksudnya: “Siapa yang Allah rezekikan padanya isteri yang solehah, maka sebenarnya Allah telah membantunya pada separuh agamanya.”

Riwayat al-Hakim (2681) dan al-Baihaqi (5487) di dalam Syu‘ab al-Iman. Al-Albani menghukum hadith ini (1916) bertaraf Hasan li Ghairih di dalam Sahih al-Taghrib.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahua’lam

Bertarikh: 20 Oktober 2023 bersamaan 5 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply