Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan apakah hikmah pelaksanaan haji dan apa rahsianya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.”

(Surah Ali Imran: 97)

Menurut Syeikh al-Maraghi dalam menafsirkan ayat di atas, menyebut bahawa ibadah haji ini diwajibkan kepada setiap orang muslim mukallaf yang berkemampuan. Hal ini kerana, perintah haji merupakan satu penghormatan besar kepada Baitullah bermula dari zaman Nabi Ibrahim A.S sehinggalah ke zaman Nabi Muhammad SAW. Justeru, perlaksanaan ibadah haji dan umrah mampu menjadi mercu tanda dan bukti pengabdian setiap hamba kepada Penciptanya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/853)

Haji mengandungi hikmah, rahsia dan tujuan yang agung dan mulia. Di dalamnya terkandung dua kebaikan, iaitu dunia dan akhirat. Allah SWT telah mengisyaratkan hal ini melalui firman-Nya dalam al-Quran:

 لِّيَشْهَدُوا مَنَافِعَ لَهُمْ

Maksudnya: “Supaya mereka menyaksikan pelbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka.”

(Surah al-Haj: 28)

Ibn Kathir menukilkan kata-kata Ibn Abbas R.A bahawa yang dimaksudkan dengan kalimah faedah adalah merangkumi di dunia dan akhirat. Adapun faedah di akhirat adalah mendapat reda daripada Allah SWT dan faedah di dunia pula adalah mereka mendapat manfaat dari kesihatan tubuh badan dan lain-lain. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/414)

Syeikh al-Maraghi menafsirkan ayat ini dengan menyebut: “Agar mereka datang menyaksikan memperoleh laba dalam perdagangan dan manfaat-manfaat di akhirat seperti mengerjakan pekerjaan yang diredai oleh Allah SWT, dan memujiNya dengan segala nikmat yang dilimpahkan kepada mereka.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 9/4547)

Haji merupakan medan berkumpul yang besar, mampu menghimpun seluruh delegasi Muslim dari segala pelosok dunia dalam satu waktu dan tempat. Dengan haji, para delegasi dapat saling berkenalan dan saling memahami, sehingga mereka menjadi umat yang utuh dan tidak berpecah-belah, berada dalam satu satu barisan untuk menyelesaikan permasalahan agama dan dunia.

Selain itu, haji juga mengandungi faedah dan manfaat sosial, budaya dan politik yang tidak terhitung banyaknya. Haji juga merupakan salah satu bentuk ibadah yang agung kepada Allah SWT dengan cara merasakan nikmat, khusyu’, merendahkan diri, mengorbankan jiwa dan harta, menanggung risiko di jalan, berpisah dengan keluarga dan tanah air. Semua itu tidak lain merupakan bentuk ketaatan, kerinduan, dan kecintaan kepada Allah SWT serta mendekatkan diri kepada-Nya dalam bentuk mengunjungi Ka’bah yang mulia dan tempat-tempat yang suci.

Atas dasar inilah, hadith daripada Abu Hurairah R.A, menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الْحَجُّ الْمَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلاَّ الْجَنَّةُ

Maksudnya: “Haji yang mabrur, tidak ada ganjarannya selain syurga.”

Riwayat al-Bukhari (1650) dan Muslim (2403)

Untuk mendapatkan syurga sebagai ganjaran haji, seorang hamba yang melaksanakan haji hanya bertujuan mengharapkan keredhaan Allah SWT, mengharapkan ganjaran-Nya, mengikuti sunnah Nabi-Nya, serta meninggalkan rafath[1] (kecabulan), fusuq (kefasikan) dan jidal (pertengkaran).

Selain itu, seseorang yang hendak melaksanakan haji sebaiknya membersihkan akidahnya daripada segala bentuk bid’ah, khurafat dan pandangan-pandangan yang bertentangan dengan ajaran Islam. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 4/4)

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

[1] Ibn Hajar berkata: Rafath adalah jimak. Sedangkan al-Azhari berkata: Rafath ialah nama bagi keinginan nafsu syahwat antara lelaki dan perempuan.

Bertarikh: 20 Oktober 2023 bersamaan 5 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply