Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah bertabarruk dengan jubah Nabi SAW bagi merawat pesakit? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dalam isu ini kami tidak mendapati jumlah baju yang dipakai Rasulullah SAW, namun apa yang dapat kami nyatakan di sini adalah beberapa jenis pakaian yang dipakai oleh Rasulullah SAW sebagaimana berikut:
Secara umumnya, terdapat beberapa jenis pakaian yang dipakai oleh Rasulullah SAW, dan salah satunya adalah jubah. Menurut Mu‘jam Lughah al-Fuqaha (hlm. 159), jubah ialah kain panjang tanpa lengan yang dipakai di atas pakaian. Hari ini, ia adalah jubah panjang dengan lengan yang panjang yang dipakai di atas pakaian. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada al-Mughirah bin Syu‘bah, beliau berkata:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَبِسَ جُبَّةً رُومِيَّةً ضَيِّقَةَ الْكُمَّيْنِ
Maksudnya: “Nabi SAW pernah memakai jubah dari Rom yang mana kedua lengan bajunya sempit.”
Riwayat al-Tirmizi (1768)
Dalam riwayat yang lain disebutkan jubah dari negeri Syam yang sempit kedua tangan bajunya. Ini adalah sebagaimana riwayat Mughirah bin Syu‘bah, katanya:
كُنْتُ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي سَفَرٍ، فَقَالَ: يَا مُغِيرَةُ خُذِ الإِدَاوَةَ، فَأَخَذْتُهَا، فَانْطَلَقَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَتَّى تَوَارَى عَنِّي، فَقَضَى حَاجَتَهُ، وَعَلَيْهِ جُبَّةٌ شَأمِيَّةٌ، فَذَهَبَ لِيُخْرِجَ يَدَهُ مِنْ كُمِّهَا فَضَاقَتْ، فَأَخْرَجَ يَدَهُ مِنْ أَسْفَلِهَا، فَصَبَبْتُ عَلَيْهِ، فَتَوَضَّأَ وُضُوءَهُ لِلصَّلاَةِ، وَمَسَحَ عَلَى خُفَّيْهِ، ثُمَّ صَلَّى.
Maksudnya: “Aku pernah bersama Nabi SAW dalam satu perjalanan. Baginda SAW bersabda: ‘Wahai Mughirah! Ambilkan bekas air itu.’ Aku pun mengambilnya. Lalu Rasulullah SAW pergi untuk qadha’ hajat hingga Baginda terlindung dari penglihatanku. Baginda SAW pada ketika itu memakai jubah dari Syam. (Pada mulanya) Nabi SAW mahu mengeluarkan tangannya dari pergelangan bajunya, tetapi ternyata pergelangan bajunya itu terlalu sempit. Maka Baginda pun mengeluarkan tangan dari sebelah dalam. Selepas itu, aku menuangkan air untuknya. Baginda SAW mengambil wuduk seperti wuduk untuk solat, serta Baginda SAW menyapu kedua khufnya dan kemudian Baginda solat.”
Riwayat al-Bukhari (363) dan Muslim (274)
Begitu juga turut disifatkan bahawa jubah Nabi disulami dengan sutera pada bahagian-bahagian tertentu. Ini seperti mana riwayat daripada Asma’ binti Abu Bakar R.Anhuma bahawa:
أَنَّهَا أَخْرَجَتْ جُبَّةَ رَسُولِ اَللَّهِ صلى الله عليه وسلم مَكْفُوفَةَ اَلْجَيْبِ وَالْكُمَّيْنِ وَالْفَرْجَيْنِ بِالدِّيبَاجِ
Maksudnya: “Beliau (Asma’) membawa keluar jubah Rasulullah SAW yang bahagian poket, dua lengan baju dan dua belahan bajunya disulami (dilapisi) dengan sutera.”
Riwayat Abu Daud (4054)
Perbahasan lanjut mengenai pakaian Rasulullah SAW ini, bolehlah merujuk kepada artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #3522: Pakaian Rasulullah SAW.[1]
Seterusnya, dalam menjawab persoalan di atas, secara umumnya, kita dibolehkan untuk bertabarruk dengan athar-athar Nabi SAW. Ini adalah sebagaimana riwayat daripada Anas bin Malik R.A, katanya:
لَمَّا رَمَى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الْجَمْرَةَ وَنَحَرَ نُسُكَهُ وَحَلَقَ نَاوَلَ الْحَالِقَ شِقَّهُ الأَيْمَنَ فَحَلَقَهُ ثُمَّ دَعَا أَبَا طَلْحَةَ الأَنْصَارِيَّ فَأَعْطَاهُ إِيَّاهُ ثُمَّ نَاوَلَهُ الشِّقَّ الأَيْسَرَ فَقَالَ: احْلِقْ. فَحَلَقَهُ فَأَعْطَاهُ أَبَا طَلْحَةَ فَقَالَ: اقْسِمْهُ بَيْنَ النَّاسِ
Maksudnya: “Setelah Rasulullah SAW melontar Jamrah, menyembelih haiwan korbannya dan mencukur rambutnya, Baginda meminta tukang cukur untuk mencukur kembali rambutnya yang sebelah kanan. Kemudian Baginda memanggil Abu Talhah al-Ansari lalu memberikan rambut itu kepadanya. Sesudah itu, Baginda kembali meminta untuk dicukurkan rambutnya yang sebelah kiri sambil bersabda: “Cukurlah.” Maka dia pun mencukurnya. Setelah itu, Baginda memberinya kepada Abu Talhah dan bersabda: ‘Bahagikanlah antara orang ramai.’”
Riwayat Muslim (1305)
Bahkan, ramai sahabat yang menjadikan rambut Rasulullah SAW sebagai tabarruk sepertimana yang dilakukan oleh Khalid R.A. Beliau pernah berkata:
لَمْ أَفْعَلْهَا بِسَبَبِ الْقَلَنْسُوَةِ بَلْ لِمَا تَضَمَّنَتْهُ مِنْ شَعْرِهِ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِئَلَّا أُسْلَبَ بَركَتَهَا وَتَقَعَ فِي أَيْدِي الْمُشْرِكِينَ
Maksudnya: “Aku tidak bertindak demikian itu semata-mata hanya kerana sebab topi, tetapi adalah kerana di dalamnya terdapat rambut mulia Rasulullah SAW dan supaya berkatnya tidak hilang (daripadaku) dan supaya tidak jatuh ke tangan orang-orang musyrik.” (Lihat al-Syifa bi Ta‘rif Huquq al-Mustafa, 2/56-57).
Oleh itu, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa dibolehkan untuk seseorang itu bertabarruk dengan pakaian Nabi SAW bagi merawat pesakit. Hal ini dikuatkan lagi dengan riwayat daripada Asma’ binti Abu Bakar, beliau berkata:
هَذِهِ كَانَتْ عِنْدَ عَائِشَةَ حَتَّى قُبِضَتْ فَلَمَّا قُبِضَتْ قَبَضْتُهَا وَكَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يَلْبَسُهَا فَنَحْنُ نَغْسِلُهَا لِلْمَرْضَى يُسْتَشْفَى بِهَا
Maksudnya: “Jubah ini dahulu ada pada Aisyah hingga beliau meninggal dunia. Setelah beliau meninggal dunia, aku pun mengambilnya, dahulunya Nabi SAW selalu memakainya. Kami membasuhnya untuk orang sakit agar ia cepat sembuh dengan mengenakannya.”
Riwayat Muslim (2069)
Syeikh Abdullah al-Bassam menyebutkan, hadith ini menunjukkan kepada keharusan bertabarruk dengan athar-athar (peninggalan) Nabi SAW setelah kewafatan Baginda. Akan tetapi tidak ada seorangpun yang dapat menyamai atau mengambil tempatnya dalam hal itu. Oleh kerana itu, tidak dibolehkan untuk mengambil berkat (bertabarruk) dengan athar-athar orang lain (selain Baginda SAW), meskipun orang itu mempunyai kedudukan yang tinggi dari segi keilmuan dan kesolehan. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/124).
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”
[1] Lihat https://maktabahalbakri.com/3522-pakaian-rasulullah-saw/. Diakses pada 19 Oktober 2023.
Bertarikh: 20 Oktober 2023 bersamaan 5 Rabiulakhir 1445