Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah jelaskan secara ringkas makna hadith yang menyebutkan mengenai “Perbanyakkanlah mengingat pemutus kelazatan.”? Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dalam menjawab soalan di atas, kami mulakan dengan menyebutkan terlebih dahulu hadith atau riwayatnya. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, katanya: Rasulullah SAW bersabda:
أَكْثِرُوا ذِكْرَ هَاذِمِ اللَّذَّات الـمَوْتِ
Maksudnya: “Perbanyakkanlah mengingat pemutus kelazatan iaitu kematian.”
Riwayat al-Tirmizi (2307); al-Nasa’i (1824) dan Ibn Hibban (6/261)[1]
Syeikh Abdullah bin ‘Abd al-Rahman al-Bassam ketika mensyarahkan hadith di atas, beliau menyebutkan, maknanya ialah kematian menghilangkan kelazatan kehidupan dunia kerana kelazatan tersebut terpisah daripada manusia disebabkan oleh kematiannya.
Tambahan lagi, menyebutkan mengenai kematian adalah sehebat-hebat peringatan buat manusia dan sebesar-besar peringatan buatnya daripada panjangnya angan-angan, tertipu dengan kehidupan dunia dan bergantung serta memperhambakan diri kepadanya. Oleh yang demikian, seseorang manusia tidak seharusnya lalai daripada mengingati kematian, yang merupakan peringatan terbesar; kerana mengingati kematian mendorong seseorang untuk melakukan perbuatan baik dan bersiap sedia untuk hari akhirat.
Kemudian, beliau menukilkan kenyataan daripada Umar bin ‘Abd al-‘Aziz yang menyebutkan, kehidupan dunia adalah sesuatu yang cepat berlalu, hampir mencapai kesudahannya, ia menjanjikan kekekalan, namun akhirnya mengecewakan dalam setiap janjinya. Orang sering melihatnya sebagai sesuatu yang tetap dan stabil, tetapi sebenarnya ia bergerak dengan cepat dan berpindah dengan cepat. Namun, seseorang yang melihatnya mungkin tidak merasa pergerakannya dan merasa tenteram dengannya, tetapi dia akan merasa perubahannya ketika pengakhirannya nanti tiba. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/134).
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada seksa kubur, daripada azab api neraka, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada fitnah al-Masih al-Dajjal.”
[1] Syeikh Abdullah al-Bassam menilai hadith ini sebagai sahih. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/133)
Bertarikh: 20 Oktober 2023 bersamaan 5 Rabiulakhir 1445