Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada persoalan, salah seorang dari kenalan saya ingin mendirikan rumahtangga akan tetapi dia ingin menyembunyikan perkahwinan tersebut. Soalan saya apakah hukum tindakan menyembunyikan perkahwinan tersebut? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Nikah menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud sebuah akad (perjanjian) yang mengandungi lafaz ijab dan kabul yang menghalalkan pasangan lelaki dan perempuan untuk melakukan persetubuhan.

Perkataan nikah berasal dari perkataan Arab (نَكَحَ يَنْكِحُ نَكْحاً ونِكَاحاً) yang bermaksud bernikah dan perkataan (الاخْتِلَاطُ) yang bermaksud bercampur. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i, 2/34)

Dari istilah syarak, nikah ialah suatu akad yang menghalalkan istimta’ (bersetubuh atau berseronok-seronok) di antara suami isteri dengan cara yang dibenarkan oleh syarak. Masyarakat arab menggunakan perkataan nikah dengan makna akad yang juga membawa maksud persetubuhan serta berseronok-seronok. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i, 2/671)

Lafaz nikah ada disebut di dalam firman Allah SWT:

فَانْكِحُوا مَا طَابَ لَكُمْ مِنَ النِّسَاءِ

Maksudnya: “…maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain)…”

(Surah al-Nisa’: 3)

Dalam ayat ini, Allah telah mensyariatkan keharusan pernikahan untuk seluruh umat Islam malah menggalakkannya. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 16/125)

Perkahwinan atau pernikahan adalah sangat dituntut di dalam Islam. Sudah menjadi fitrah manusia untuk saling berkasih sayang ini diperjelaskan di dalam Al-Quran melalui firman Allah SWT:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang.”

(Surah al-Rum: 21)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menjelaskan bahawa ayat ini merupakan antara ayat-ayat Allah — yakni bukti dan tanda-tanda — yang menunjukkan kepada al-Ba‘th — yakni kebangkitan, — di mana Dia menciptakan untuk kamu pasangan-pasangan daripada jenis manusia juga, agar kamu dapat mewujudkan ketenangan dan kesenangan. Dia juga menumbuhkan rasa cinta dan kasih sayang antara suami isteri. (Lihat al-Tafsir al-Wajiz, hlm. 407)

Pernikahan sememangnya dianjurkan dalam Islam dengan syarat mestilah berlandaskan kepada syariah yang telah ditetapkan. Pernikahan yang sah dan sempurna adalah pernikahan yang memenuhi rukun-rukun dan syarat-syarat yang diletakkan syara’. Terdapat juga beberapa jenis pernikahan yang dilarang dalam Islam seperti nikah mut’ah (yang diamalkan pengikut ajaran Syiah), nikah muaqqat (nikah kontrak) dan lain-lain. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiah, 41/325)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami ingin menegaskan bahawa mengumumkan perkahwinan merupakan tindakan yang dianjurkan dalam Islam. Hal ini dilakukan dengan tujuan untuk mencegah terjadinya syak wasangka di kalangan masyarakat terhadap hubungan suami isteri yang baru dibina. Tambahan pula, Rasulullah SAW telah memberikan perintah yang jelas agar perkahwinan diumumkan kepada masyarakat. Dengan melakukan pengumuman perkahwinan, ia bukan sahaja mengikuti sunnah Nabi SAW, tetapi menyampaikan berita gembira kepada orang ramai tentang perkahwinan tersebut.

أعِلِنُوا النِّكَاحَ وَاضْرِبُوا عَلَيْهَ بِالغِرْبَالِ أَيْ الدُّفَّ

Maksudnya: “Umumkanlah perkahwinan dan pukullah rebana,”

Riwayat Ibnu Majah(1795)

Dapat difahami melalui hadith dengan beberapa perkara, antaranya ialah seperti berikut:

  • Hadith ini menunjukkan perintah untuk mengumumkan perkahwinan dan juga suruhan untuk memukul rebana kerana dengan memukulnya pengunguman tersebut lebih sampai dengan syarat tidak diiringi dengan perkara-perkara yang diharamkan seperti nyanyian dengan suara yang kuat oleh perempuan dan didengari oleh kebanyakan tetangga atau nyanyian yang mengandungi kata-kata yanng merangsangkan nafsu.
  • Mengumumkan perkahwinan adalah dengan menyaksikannya  ketika akad nikah dijalankan. Apa yang membezakan dengan akad perjanjian yang lain ialah saksi pada akad perkahwinan merupakan syarat sah baginya. Manakala saksi pada akad perjanjian selain perkahwinan merupakan sunnah bukanlah wajib. (Lihat Taudih al-Ahkam Min Bulugh al-Maram,5/259)

Begitu Juga  dengan hadith yang diriwayatkan daripada Ummu Salmah bahwa Rasulullah bersabda :

أظْهِرُوا النكاحَ، وأَخْفُوا الخِطْبَةَ.

Maksudnya: Zahirkan (iklankan) pernikahan dan sembunyikan pertunangan.

Riwayat al-Imam al-Dailami di dalam Musnad al-Firdaus sebagaimana dalam al-Jami’ al-Saghir (1127).  Hadith ini dinilai Dhaif sebagaimana yang disebut oleh al-Suyuti dalam al-Jami’ al-Saghir (1122) dan juga pengarang Dha’if al-Jami’ (922)

Dalam isu ini al-’Allamah al-Hatab dalam kitabnya Mawahib al-Jalil fi Syarh Mukhtasar Khalil  menyatakan bahawa: Disunatkan mengumumkan perkahwinan dan menjamu makanan. (Lihat Mawahib al-Jalil fi Syarh Mukhtasar Khalil,3/408)

Begitu juga Ibn Qudamah menyatakan bahawa: Disunatkan untuk mengumumkan perkahwinan dan memukul rebana sehingga perkahwinan itu diketahui. (Lihat al-Mughni,7/82)

Terdapat beberapa faedah dan manfaat dalam mengumumkan perkahwinan antaranya ialah seperti berikut:

  • Menzahirkan kegembiraan dan kesyukuran dengan mengumumka perkahwinan
  • Ia membezakan antara perkahwinan dan zina kerana zina berlaku secara rahsia dan tersembunyi maka dengan mengumumnya dapat membezakan antara zina yang haram dan nikah yang halal.
  • Menegaskan bahawa pernikahan merupakan fitrah yang disyariatkan oleh syara’ serta Allah menjadikan perkahwinan ini sebagai suatu adat kebiasaan bagi makhluk.
  • Sebagai dorongan dan contoh kepada yang lain. Sekiranya diumumkan perkahwinan tersebut mereka akan mengikuti dan mencontohinya dengan bernikah juga.
  • Dengan mengumumkan perkahwinan, seseorang mungkin akan mengetahui tentang hubungan susuan suami atau  Jika perkahwinan ini diumumkan dan jelas, maka kesalahan daripada perkahwinan yang lain dapat dielakkan. (Lihat Fath Zi al-Jalali Wa al-Ikram, 4/468)

Sebagai kesimpulannya kami katakan mengumumkan perkahwinan merupakan perkara yang dianjurkan dalam islam bahkan ulama menghukumnya sebagai sunat. Pentingnya mengumumkan perkahwinan agar masyarakat mengetahui hubungan rumahtangga yang dibina merupakan hubungan yang halal disamping menzahirkan kegembiraan dan kesyukuran. Oleh itu tidak syak lagi kepada kita dengan mengumumkan perkahwinan terdapat padanya faeadah dan manfaat.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 20 Oktober 2023 bersamaan 5 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply