Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Adakah dhab halal dimakan dan adakah ia sama dengan biawak yang biasa kita kenali di Malaysia? Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya: “Dia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.”

(Surah al-A‘raf: 157)

Ayat ini menunjukkan bahawa dihalalkan segala benda-benda yang berasa elok pada jiwa dan enak pada tabiat manusia, melainkan terdapat dalil lain yang menyatakan bahawa ia adalah haram. Begitu juga diharamkan segala apa yang jijik pada jiwa seperti bangkai dan darah, serta orang yang memakannya dianggap fasik.  Dalam kata lain, semua benda yang dianggap kotor pada tabiat manusia dan dirasakan jijik pada jiwa adalah diharamkan kerana ia menjadi sebab kepada sakit. Lalu apa sahaja yang memudaratkan hukum asalnya adalah haram. Justeru setiap yang jijik pada tabiat manusia pada asalnya adalah haram, melainkan terdapat dalil yang menyatakan hukum sebaliknya. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 15/381)

Definisi dhab

Dalam bahasa Arab ia dipanggil sebagai Dhab (ضَبّ) atau nama saintifiknya ialah Uromastyx aegyptia merupakan sejenis biawak yang terdapat di padang pasir. Dari segi sains ia dikelaskan sebagai dalam keluarga cicak. Ia boleh didapati serata Timur Tengah termasuk Mesir, Libya, Palestin, dan lain-lain. Ia sering duduk di kawasan kering dan berbatu.

Dhab membiak secara bertelur dan mempunyai kulit bersisik tebal. Selain itu, ia merupakan sejenis haiwan herbivor — memakan sayur-sayuran yang tinggi kadar air serta kekacang sebagai sumber protein. Ia menghabiskan banyak masanya di dalam lubang yang digalinya untuk menyembunyikan dirinya atau dicelah-celah batu-batu yang selamat untuknya berlindung.[1]

Kamaluddin al-Damiri menyebutkan bahawa Dhab merupakan haiwan darat sebagaimana yang diketahui umum — dalam kalangan masyarakat Arab — dan ia menyerupai biawak (الوَرَلُ). Nama julukannya ialah Abu Hisl (أَبُو حِسْلٍ) dan kata jamaknya ialah Dhibab (ضِبَابٌ) dan Adub (أَضُبٌّ), sebagaimana perkataan Kaff (كَفّ) dan Akuff (أَكُفّ). Manakala Dhab betina pula dipanggil sebagai Dhabbah (ضَبَّةٌ). Pepatah Arab ada menyebut — bagi menggambarkan keengganan mereka melakukan sesuatu —:

لَا أَفْعَلُهُ حَتَّى يَرِدَ الضَّبُّ

Maksudnya:Aku tidak akan melakukannya sehinggalah Dhab datang — ke air.”

Hal ini kerana Dhab tidak mendatangi air. Ibn Khalawaih menyebutkan bahawa Dhab tidak minum air dan hidup selama 700 tahun atau lebih. Dikatakan ia kencing sekali pada setiap 40 hari dan giginya tidak gugur. Begitu juga, dikatakan giginya itu pula hanya sebaris dan tidak berbahagi-bahagi. (Lihat Hayah al-Hayawan al-Kubra, Cet. Dar al-Basya’ir, 2/703)

Selain itu, al-Qalyubi juga ada menyebutkan bahawa dhab ialah haiwan yang menyerupai biawak (الوَرَلُ). Ia mampu hidup sekitar tujuh ratus tahun. Ia juga tidak minum air dan kencing sekali pada setiap 40 hari. Di samping itu, dhab betina memiliki dua alat kelamin betina dan dhab jantan juga memiliki dua alat kelamin jantan. (Lihat Hasyiata Qalyubi wa ‘Umairah, 4/259)

Perbezaan di antara dhab dan biawak yang lain

Jika diteliti, terdapat perbezaan yang ketara di antara dhab dan biawak yang biasa kita kenali di Malaysia. Dalam bahasa Arab biawak yang biasa kita kenali itu dipanggil sebagai waral (الوَرَلُ) manakala dalam bahasa Inggeris pula ia dikenali sebagai Monitor lizard. Biawak yang biasa kita ketahui itu memiliki leher yang panjang, ekor dan cakar yang kuat. Berbeza dengan dhab yang berekor besar dan mempunyai kulit bersisik tebal. Selain itu, biawak termasuk dalam kategori haiwan pemangsa yang tidak boleh dijinakkan, berbeza dengan dhab yang dianggap sebagai haiwan jinak. Begitu juga dhab tergolong dalam kategori haiwan herbivor yang memakan tumbuh-tumbuhan dan sayur-sayuran sedangkan kebanyakan biawak pula tergolong dalam kategori haiwan karnivor dan pemangsa. Ia memakan telur, reptilia yang lebih kecil, ikan, burung, serangga, dan mamalia kecil,[2] sehinggakan dhab pun menjadi makanan kepadanya.[3]

Selain itu juga dhab dianggap oleh masyarakat Arab sebagai haiwan yang elok dan memujinya sebagaimana yang disebutkan oleh Ahmad ‘Umairah dalam hasyiahnya. (Lihat Hasyiata Qalyubi wa ‘Umairah, 4/259)

Sedangkan menurut al-Damiri, biawak dihukumkan sebagai haram kerana ia termasuk dalam kategori haiwan yang melata dan para ulama tidak mengecualikannya seperti dhab, landak dan weasel. Antara bukti yang menguatkan lagi pengharamannya — dan ia dianggap jijik berbeza dengan dhab — ialah ia boleh mengalahkan ular dan memakannya. Malah, ia juga boleh menghalau ular keluar dari lubangnya, lalu ia menjadikan lubang tersebut tempat tinggalnya. Di samping itu, cengkaman biawak juga adalah lebih kuat daripada cengkaman dhab. (Lihat Hayah al-Hayawan al-Kubra, Cet. DKI, 2/542)

Oleh itu, jelaslah kepada kita bahawa dhab dan biawak — sebagaimana yang biasa kita ketahui — merupakan haiwan yang berbeza.

Hukum memakan dhab

Pada asasnya, jumhur ulama berpendapat bahawa dhab adalah harus untuk dimakan dan tidak makruh. Inilah pendapat mazhab al-Syafi‘i, Malik dan Ahmad. Manakala ulama mazhab Abu Hanifah pula berpendapat hukumnya adalah makruh. (Lihat Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/12)

Terdapat banyak hadith yang menunjukkan kepada keharusan untuk memakan dhab. Di antaranya ialah hadith daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa:

أَنَّ أُمَّ حُفَيْدٍ بِنْتَ الحَارِثِ بْنِ حَزْنٍ – خَالَةَ ابْنِ عَبَّاسٍ – أَهْدَتْ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَمْنًا وَأَقِطًا وَأَضُبًّا. فَدَعَا بِهِنَّ، فَأُكِلْنَ عَلَى مَائِدَتِهِ، وَتَرَكَهُنَّ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَالْمُسْتَقْذِرِ لَهُنَّ. وَلَوْ كُنَّ حَرَامًا مَا أُكِلْنَ عَلَى مَائِدَةِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَلاَ أَمَرَ بِأَكْلِهِنَّ

Maksudnya:Ummu Hufaid binti al-Harith bin Hazn — ibu saudara Ibn Abbas — menghadiahkan minyak sapi, keju, dan dhab kepada Nabi SAW. Kemudian Baginda SAW meminta agar dibawakannya (dhab itu), lalu dimakan di atas tempat hidangannya dan Nabi SAW meninggalkannya seperti orang yang tidak menyukainya (kerana kotor). Sekiranya ia haram pasti tidak dimakan di atas tempat hidangan Nabi SAW dan tidak pula Baginda SAW perintahkan untuk memakannya.”

Riwayat al-Bukhari (5389)

Begitu juga sebuah hadith daripada Khalid bin al-Walid, beliau berkata:

أُتِيَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِضَبٍّ مَشْوِيٍّ. فَأَهْوَى إِلَيْهِ لِيَأْكُلَ. فَقِيلَ لَهُ: إِنَّهُ ضَبٌّ. فَأَمْسَكَ يَدَهُ. فَقَالَ خَالِدٌ: أَحَرَامٌ هُوَ؟ قَالَ: «لاَ، وَلَكِنَّهُ لاَ يَكُونُ بِأَرْضِ قَوْمِي، فَأَجِدُنِي أَعَافُهُ». فَأَكَلَ خَالِدٌ وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَنْظُرُ

Maksudnya: “Dihidangkan kepada Nabi SAW daging dhab yang dipanggang. Lalu Baginda menghulurkan tangan untuk memakannya. Dikatakan kepada Baginda: ‘Sesungguhnya itu ialah daging dhab.’ Maka Baginda menahan tangannya (tidak jadi menghulur). Khalid bertanya: ‘Adakah ia haram?’ Baginda menjawab: ‘Tidak, akan tetapi ia tidak ada di negeri kaumku, maka aku mendapati diriku tidak menyukainya.’ Khalid telah memakannya, sedangkan Rasulullah SAW memerhatikannya.

Riwayat al-Bukhari (5400)

Begitu juga hadith daripada riwayat Ibn Abbas yang lain, beliau berkata:

دَخَلْتُ أَنَا وَخَالِدُ بْنُ الْوَلِيدِ، مَعَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَيْتَ مَيْمُونَةَ، فَأُتِيَ بِضَبٍّ مَحْنُوذٍ، فَأَهْوَى إِلَيْهِ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِيَدِهِ، فَقَالَ بَعْضُ النِّسْوَةِ اللَّاتِي فِي بَيْتِ مَيْمُونَةَ: أَخْبِرُوا رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِمَا يُرِيدُ أَنْ يَأْكُلَ، فَرَفَعَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَدَهُ، فَقُلْتُ: أَحَرَامٌ هُوَ يَا رَسُولَ اللهِ؟ قَالَ: لَا، وَلَكِنَّهُ لَمْ يَكُنْ بِأَرْضِ قَوْمِي فَأَجِدُنِي أَعَافُهُ، قَالَ خَالِدٌ: فَاجْتَرَرْتُهُ فَأَكَلْتُهُ وَرَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَنْظُرُ

Maksudnya: “Aku dan Khalid bin al-Walid bersama Rasulullah SAW masuk ke rumah Maimunah. Lalu dihidangkan kepada kami daging dhab yang telah dibakar dan Rasulullah SAW menghulurkan tangannya untuk mengambil daging tersebut. Tiba-tiba sebahagian daripada wanita yang berada di rumah Maimunah berkata: ‘Beritahulah kepada Rasulullah SAW hidangan apa yang beliau makan?’ Rasulullah SAW pun menarik tangannya, lalu aku bertanya: ‘Adakah daging tersebut haram wahai Rasulullah?’ Baginda menjawab: ‘Tidak, tetapi ia tidak terdapat di negeri kaumku, maka aku tidak menyukainya.”’ Khalid berkata: ‘Aku mengambil daging tersebut dan memakannya, sedangkan Rasulullah SAW memerhatikannya.’”

Riwayat Muslim (1945)

Imam al-Nawawi menyebutkan, umat Islam telah ijma‘ bahawa memakan dhab adalah halal dan tidak makruh melainkan apa yang dinukilkan daripada ulama mazhab Abu Hanifah yang menyebutkan bahawa hukumnya adalah makruh. Begitu juga al-Qadhi ‘Iyadh ada menukilkan bahawa ada sebahagian ulama berpendapat hukumnya adalah haram. Kemudian, Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa beliau merasakan penisbahan pendapat tersebut kepada mereka — yakni pendapat yang menyatakan haram — adalah tidak benar, dan jika ia benar sekalipun ia dapat dipatahkan dengan nas dan ijma‘ ulama sebelumnya. (Lihat al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 13/97-99)

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa memakan daging dhab adalah diharuskan dan tidak makruh sebagaimana pendapat jumhur ulama. Hal ini kerana Rasulullah SAW tidak melarang sahabatnya daripada memakan daging dhab ini sekalipun Baginda tidak menggemarinya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 28 Januari 2022 bersamaan 25 Jamadil Akhir 1443H

[1] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Dhab. Diakses pada 26 Januari 2022. Lihat juga https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/02/786434/ustaz-azhar-kini-penternak-dhab. Diakses pada 26 Januari 2022.

[2] Lihat https://en.wikipedia.org/wiki/Monitor_lizard. Diakses pada 26 Januari 2022. Lihat juga https://barrobahr.com/a/ حيوان-الضب-أهم-المعلومات-عنه-والفرق-بينه-وبين-الورل. Diakses pada 26 Januari 2022.

[3] Lihat https://www.youtube.com/watch?v=qNNPH-2iWQg, dan https://www.youtube.com/watch?v=POYXNJ4sVXs. iakses pada 26 Januari 2022.

Leave a Reply