Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah kita disunatkan untuk menyelimut atau menutup mayat selepas berlakunya kematian? Jika benar ia adalah sunat, boleh sebutkan dalilnya? Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌ ۖ فَإِذَا جَاءَ أَجَلُهُمْ لَا يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةً ۖ وَلَا يَسْتَقْدِمُونَ
Maksudnya: “Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaat pun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan.”
(Surah al-A‘raf: 34)
Setiap makhluk yang hidup di muka bumi ini pasti akan merasai mati, iaitu saat terputusnya perhubungan antara roh dan jasad serta detik permulaan ke alam akhirat. Allah SWT telah menentukan ajal seseorang sejak azali lagi dan apabila sampai masanya, ia tidak akan dipercepatkan atau dilewatkan walau sesaat pun. Malaikat Izrail ditugaskan untuk mencabut nyawa dan apabila nyawa sampai di kerongkong, segala pintu taubat telah ditutup dan segala penyesalan tidak berguna lagi.
Ketahuilah bahawa kehidupan manusia di dunia ini menentukan bagaimana pengakhirannya. Niat ikhlas kerana Allah, serta mengikut petunjuk yang ditinggal oleh Rasulullah SAW dan juga Istiqamah dalam ibadah dan amal soleh merupakan kunci utama untuk dapatkan pengakhiran yang baik, iaitu Husn al-Khatimah.
Dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa benar, kita disunatkan untuk menutup mayat atau menyelimutkannya selepas berlaku kematian.
Hal ini adalah sebagaimana riwayat Abu Salamah bin ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf bahawasanya Aisyah R.Anha – isteri Nabi SAW – mengkhabarkan kepadanya bahawa:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حِينَ تُوُفِّيَ سُجِّيَ بِبُرْدٍ حِبَرَةٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW ketika wafat Baginda ditutupi dengan burd hibarah (sejenis pakaian dari Yaman).”
Riwayat al-Bukhari (5814) dan Muslim (942)
Pertamanya, perkataan burd “بُرْد” dalam hadith di atas merujuk kepada sejenis pakaian yang mengandungi gambar atau corak. Manakala perkataan hibarah “حِبَرَةٍ” pula merujuk kepada sejenis pakaian yang diperbuat daripada kapas atau kattan (sejenis pokok), kain itu bercorak yang diperbuat dari Yaman. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/157; al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 7/10).
Syeikh Abdullah al-Bassam ketika mensyarahkan hadith di atas menyebutkan, disunatkan atau digalakkan untuk menutup jasad mayat keseluruhannya, dan ia adalah lebih baik daripada meninggalkannya dalam keadaan terdedah pada bahagian muka dan bahagian-bahagian lain. Seorang manusia itu selepas kematiannya adalah aurat, dan disunatkan untuk menutup aurat itu sebelum dikebumikan dengan kain yang dapat menyembunyikan auratnya. Anak adam berkata (sebagaimana dinyatakan melalui firman Allah SWT):
يَا وَيْلَتَىٰ أَعَجَزْتُ أَنْ أَكُونَ مِثْلَ هَٰذَا الْغُرَابِ فَأُوَارِيَ سَوْءَةَ أَخِي
Maksudnya: “Wahai celakanya aku! Alangkah lemah serta bodohnya aku, aku tidak tahu berbuat seperti burung gagak ini, supaya aku dapat menimbuskan mayat saudaraku?”
(Surah al-Ma’idah: 31)
Perkataan Sau’ah “سَوْءَةَ” dalam ayat di atas merujuk kepada mayat. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/157).
Begitu juga Imam al-Nawawi turut menyebutkan, maknanya adalah menutupi seluruh badan mayat. Selain itu, hadith ini juga menunjukkan kepada istihbab (disunatkan) untuk menutup mayat dan hal itu telah disepakati oleh para ulama. Hikmah daripada perbuatan tersebut adalah bagi memelihara mayat tersebut daripada terdedah atau tersingkap dan menutup auratnya (atau mungkin keadaannya) yang sudah berubah daripada pandangan-pandangan mata manusia (orang ramai). (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 7/10)
Kesimpulannya
Tuntasnya, berdasarkan kepada perbahasan dan kenyataan di atas, jelaslah bahawa kita disunatkan untuk menutup mayat atau menyelimuti keseluruhan badannya selepas kematiannya.
Di antara hikmah yang disebutkan adalah agar auratnya tidak terdedah dan juga bagi memelihara aurat dan keadaan mayatnya yang mungkin berubah disebabkan menghadapi sakaratul maut daripada dilihat oleh pandangan-pandangan mata manusia yang lain. Lalu dikhuatiri hal itu boleh menimbulkan salah faham atau tohmahan ke atas diri mayat atau seumpamanya, sedangkan hakikat yang sebenarnya mungkin bukan begitu.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”
Surah al-Hasyr (10)
Bertarikh: 20 Oktober 2023 bersamaan 5 Rabiulakhir 1445