Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Kita selalu didedahkan melalui pemberitaan dan media massa berkenaan dengan kekuatan yang dimiliki oleh rejim zionis Israel. Ini menyebabkan kita merasa takut dan gerun. Apakah sepatutnya kita lakukan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, semangat saudara untuk bersama saudara kita di Gaza, Palestin adalah tanda kita prihatin dan cakna kepada rakan taulan kita. Ini termasuk dalam hadith Nabi SAW, daripada Huzaifah bin al-Yaman R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ لَمْ يَهْتَمَّ بِأَمْرِ الْمُسْلِمِينَ فَلَيْسَ مِنْهُمْ

Maksudnya: “Barangsiapa yang tidak mengambil berat urusan orang Islam maka dia bukanlah daripada kalangan mereka.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (7/270) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (8115). Al-Iraqi dalam takhrij al-Ihya’ (2/261) menyatakan isnadnya dha’if. Begitu juga yang dinyatakan dalam Dha’if al-Targhib (1099)

Kami katakan firman Allah SWT, bahawa umat Islam janganlah merasa lemah dan dukacita serta hina:

وَلَا تَهِنُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَنتُمُ الْأَعْلَوْنَ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.”

(Surah Ali Imran: 139)

Sebaliknya, orang Islam tetap yakin kepada Allah SWT sebagaimana yang dirakamkan di dalam al-Quran. Maka, bertambahlah yakin mereka akan janji Allah SWT dan rasul-Nya:

وَلَمَّا رَأَى الْمُؤْمِنُونَ الْأَحْزَابَ قَالُوا هَٰذَا مَا وَعَدَنَا اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَصَدَقَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ ۚ وَمَا زَادَهُمْ إِلَّا إِيمَانًا وَتَسْلِيمًا

Maksudnya: “Dan pada masa orang-orang yang beriman melihat tentera Al-Ahzaab, berkatalah mereka:” Inilah yang telah dijanjikan Allah dan RasulNya kepada kami dan benarlah (apa yang telah dijanjikan) Allah dan RasulNya”. Dan (angkatan tentera musuh yang mereka lihat) itu tidak memberi sebarang kesan kepada mereka selain daripada menambahkan iman dan penyerahan diri mereka bulat-bulat kepada Allah.

(Surah al-Ahzab: 22)

Justeru, melampau dengan menakutkan kepada umat Islam tentang kekuatan musuh boleh membawa kepada sifat-sifat kelemahan yang dimomokkan oleh iblis. Sedangkan, kita diajar meyakini kepada Allah SWT. Hal ini telah terbukti dalam gerak gempur pertama tentera Palestin pada 7 Oktober 2023 yang mencengangkan dunia serta pakar-pakar peperangan dan pertahanan Israel dan Barat.

Justeru, nas yang telah kami kemukakan mengajar kita supaya jangan menjadi pengecut, bacul dan penakut kerana ia membawa kelemahan kepada kita. Oleh itu, yakinlah kepada Allah SWT kerana Allah SWT Maha Berkuasa dan mampu melakukan apa sahaja dengan kehendak-Nya. Sejarah telah membuktikan hal tersebut.

Rasulullah SAW mengajar kita satu doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada-Mu daripada sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan kedekut. Dan aku berlindung kepada-Mu daripada bebanan hutang dan penindasan manusia.”

Riwayat al-Bukhari (6369), Abu Daud (1555), al-Tirmizi (3484), al-Nasa’ie (5449) dan al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (305)

Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Mahukah kamu aku ajarkan kepada kamu satu doa jika kamu membacanya Allah akan menghilangkan rasa dukacitamu dan melangsaikan hutangmu.” Abu Umamah menjawab: “Sudah tentu, wahai Rasulullah.” Maka Baginda bersabda: “Ucapkanlah pada waktu pagi dan petang bacaan ini:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat pengecut dan kedekut. Dan aku berlindung kepada Engkau dari bebanan hutang dan penindasan manusia.”

Abu Umamah RA berkata: “Setelah membaca doa tersebut, Allah menghilangkan kedukaanku dan melunaskan hutangku.”

Riwayat al-Bukhari (6369), Abu Daud (1555), al-Tirmizi (3484), al-Nasa’ie (5449) dan al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (305)

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Terdapat perbezaan antara lemah dan malas. Malas adalah meninggalkan sesuatu yang mampu untuk dilakukan, manakala lemah adalah meninggalkan sesuatu kerana tidak mampu melakukannya. (Lihat Fath al-Bari, 16/95)

Dalam hadith di atas, Rasulullah SAW mengajar kita agar berlindung kepada Allah SWT daripada lapan perkara. Setiap dua perkara memiliki makna yang saling berkaitan sepertimana disebut oleh Imam Ibn al-Qayyim di dalam Badai’ al-Fawa’id (2/207). Kami nukilkan seperti berikut:

Pertama dan Kedua : al-Hamm (الْهَمِّ) (kegelisahan) dan al-Hazan (الْحَزَن) (kesedihan).

Kedua-dua perkara ini akan menjadikan jiwa tidak tenang. Al-Hamm adalah kegelisahan terhadap perkara yang mungkin akan berlaku pada masa depan. Manakala al-hazan adalah kesedihan terhadap sesuatu yang telah terjadi atau kehilangan orang dicintai.

Ketiga dan keempat: Al-‘Ajz (الْعَجْز) (lemah) dan al-Kasal (الْكَسَل) (malas).

Kedua-dua perkara ini juga akan menghalang seseorang untuk mencapai sesuatu yang diingininya. Al-‘Ajz (lemah) adalah apabila seseorang tiada kemampuan untuk melakukan sesuatu walaupun dia ada kemahuan. Manakala al-kasal (malas) adalah tidak adanya kemahuan untuk melakukan pekerjaan walaupun dia berkemampuan.

Kelima dan keenam: Al-Jubn (الْجُبْن) (penakut) dan al-Bukhl (الْبُخْل) (kedekut).

Kedua-dua perkara ini menunjukkan kerisauan yang ada dalam diri seseorang tentang nasib diri dan hartanya pada masa akan datang, lalu dia menjadi penakut dan kedekut. Penakut adalah bagi orang yang takut jiwanya terancam, manakala bakhil khusus bagi orang yang takut hartanya habis. (Lihat Badai’ al-Fawa’id, 2/207)

Marilah sama-sama kita bersatu bergabung tenaga dan harta benda dalam memberi bantuan kepada rakan taulan kita di bumi Gaza, Palestin.

Marilah sama-sama kita berdoa:

اللَّهُمَّ مُنْزِلَ الكِتَابِ، وَمُجْرِيَ السَّحَابِ، وَهَازِمَ الأَحْزَابِ، اهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ

Maksudnya: “Ya Allah yang menurunkan Kitab, yang menjalankan awan, yang menghancurkan pasukan musuh, kalahkan mereka dan bantulah kami menewaskan mereka.”

 Riwayat al-Bukhari (2965)

اللَّهُمَّ أَنْجِ الْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya:  “Ya Allah selamatkanlah orang-orang yang lemah dari kalangan orang-orang yang beriman.”

 Riwayat al-Bukhari (6393)

Bertarikh: 20 Oktober 2023 bersamaan 5 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply