Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Hadith Nabi SAW mendukung cucu baginda Umamah ketika solat, adakah ia termasuk gerakan banyak, atau bagaimana takwilannya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah membawa cucu perempuannya yang bernama Umamah semasa baginda sedang solat. Ini menggambarkan bahawa beberapa tindakan atau aktiviti kecil semasa solat tidak akan membatalkan solat seseorang, seperti apabila seorang anak duduk di atas bahu atau belakang seseorang yang sedang solat.

Hal ini sebagaimana riwayat daripada Abi Qatadah Al-Ansari RA, katanya:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم كَانَ يُصَلِّي وَهْوَ حَامِلٌ أُمَامَةَ بِنْتَ زَيْنَبَ بِنْتِ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَلأَبِي الْعَاصِ بْنِ رَبِيعَةَ بْنِ عَبْدِ شَمْسٍ، فَإِذَا سَجَدَ وَضَعَهَا، وَإِذَا قَامَ حَمَلَهَا

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah menunaikan solat dalam keadaan baginda memikul/mendukung Umamah Binti Zainab Binti Rasulillah S.A.W, dan dia merupakan anak kepada Abu Al-‘Ash bin Rabi’ah bin ‘Abd Syams. Apabila baginda sujud, baginda meletakkannya. Dan apabila baginda berdiri, baginda mendukungnya.

Riwayat Al-Bukhari (516) dan Muslim (543)

Dalam lafaz atau riwayat lain, Abu Qatadah berkata:

رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَؤُمُّ النَّاسَ وَهُوَ حَامِلٌ أُمَامَةَ بِنْتَ أَبِي الْعَاصِ عَلَى عَاتِقِهِ فَإِذَا رَكَعَ وَضَعَهَا وَإِذَا رَفَعَ مِنْ سُجُودِهِ أَعَادَهَا

Maksudnya: Aku melihat Rasulullah SAW menjadi imam kepada orang ramai dalam keadaan beliau mendukung Umamah binti Abi Al ‘Ash di atas tengkuk baginda. Apabila baginda rukuk, baginda meletakkannya dan apabila baginda bangun baginda mengangkatnya semula.

Riwayat al-Nasa’ie (827)

Berdasarkan hadith di atas, kami melihat betapa tingginya sifat rahmat dan kasih sayang baginda SAW kepada cucu, kaum keluarga, serta anak-anak kecil. Ini yang dibawakan oleh Rasulullah dengan sifat baginda selaku rahmatan lil ‘alamin iaitu rahmat bagi sekalian alam.

Imam al-Nawawi di dalam syarahnya menyebutkan: Pada hadith ini terdapatnya dalil bahawa sahnya solat seseorang yang memikul anak Adam, atau haiwan yang suci seperti burung ataupun kambing dan selainnya. Selain itu, pakaian dan jasad anak-anak kecil adalah bersih sehinggalah dikenalpasti kenajisannya. Dan sesungguhnya perbuatan atau pergerakan yang sedikit itu tidak membatalkan solat, serta pergerakan itu sekiranya dilakukan berkali-kali akan tetapi tidak secara berturutan, bahkan dilakukan secara berpisah (berasingan) tidak membatalkan solat. Dan pada hadith ini juga terdapat petunjuk akan sifat tawadhu’ bersama dengan kanak-kanak dan keseluruhan golongan yang lemah, menyayangi mereka serta saling berlemah lembut kepada mereka. Menurut mazhab Imam Al-Syafie, hadith ini menjadi dalil bahawa dibolehkan untuk memikul kanak-kanak kecil baik lelaki atau perempuan, dan juga haiwan yang suci di dalam solat fardhu dan juga solat sunat. Ia boleh dilakukan oleh imam dan juga makmum, serta orang yang solat sendirian. (Lihat Syarh al-Nawawi ala Sahih Muslim, 5/198)

Ibnu Rejab menukilkan bahawa al-Jauzajaniy berkata dalam kitabnya al-Tarjumah: Ismail bin Sa’id mengkhabarkan kepadaku: aku bertanya kepada Ahmad bin Hanbal tentang orang yang mendukung anak kecil dan meletakkannya dalam solat, sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi SAW. Maka beliau menjawab: “Dibolehkan untuk dilakukan di dalam solat.” Beliau kemudiannya menukilakan bahawa Ibn al-Mundzir menceritakan daripada Imam al-Syafi’ie dan Abu Thaur tentang bolehnya mendukung anak ketika solat fardhu.” (Lihat Fath al-Bari li Ibn Rajab,  3/361)

Pada asasnya, pergerakan lebih daripada tiga kali secara berturut-turut di dalam solat adalah membatalkan solat mengikut mazhab Syafie kerana ia dikira pergerakan yang banyak.

Imam al-Nawawi menyebut di dalam al-Minhaj: “Jika seseorang itu sengaja melakukan perbuatan di dalam solatnya, selain daripada perbuatan-perbuatan asal di dalam solat, sekalipun perbuatan itu daripada jenis perbuatan solat (rukun, dll), maka batallah solatnya, kecuali jika dia terlupa. Adapun jika perbuatan bukan daripada jenis perbuatan solat (rukun dan lain-lain) maka batal solat jika perbuatan (pergerakan) itu banyak pada uruf dan tidak batal jika perbuatan (pergerakan) itu sedikit pada uruf. Dua langkah atau dua pukulan itu adalah termasuk di dalam pergerakan sedikit, manakala tiga kali perbuatan (pergerakan) secara berturut-turut adalah banyak (maka ia membatalkan solat).” (Lihat Minhaj al-Talibin, hlm. 53-54)

Al-Khatib al-Syarbini pula menyebut: “Dan perkara kedua yang membatalkan solat ialah pergerakan yang banyak yang bukan daripada jenis perbuatan solat secara uruf. Apa yang dianggap uruf sebagai pergerakan yang sedikit seperti mencabut khuf, memakai pakaian yang ringan maka ia adalah sedikit. Begitu juga dua langkah yang sederhana dan juga dua pukulan. Pergerakan sebanyak tiga kali atau lebih adalah dikira banyak (dan membatalkan solat) jika ianya dilakukan secara berturut-turut. Sama ada pergerakan tersebut adalah dari jenis pergerakan itu seperti tiga kali langkah ataupun bercampur dari segala jenis pergerakan seperti satu kali langkahan, satu kali pukulan dan mencabut capal ataupun tiga kali langkahan yang dilakukan dengan satu langkah yang besar. Jika dia melakukan satu pergerakan dengan niat tiga kali pergerakan maka batallah solatnya.” (Lihat al-Iqna’ Fi Hill al-Alfaz Abi Syuja’, 2/268)

Imam al-Nawawi menyebut: “Secara ringkas tentang apa yang disebut oleh ashab kami bahawa pergerakan yang bukan dari jenis pergerakan solat jika ianya banyak maka batal solat tanpa ada khilaf (tentang perkara tersebut). Jika pergerakan itu sedikit, ianya tidak membatalkan solat.”

Beliau menambah lagi: “Adapun apa yang yang dianggap orang ramai sebagai pergerakan yang banyak seperti langkahan kaki dan pergerakan yang banyak serta berturut-turut maka terbatallah solatnya. Kata Ashab kami : Di atas dasar ini maka satu kali pergerakan seperti satu kali langkahan dan pukulan adalah pergerakan yang sedikit dan pergerakan sebanyak tiga kali adalah banyak.” (Lihat al-Majmu’ syarh al-Muhazzab, 4/25-26)

Namun begitu, terdapat beberapa keadaan yang diharuskan untuk bergerak dalam solat yang tidak membatalkan solat. Antaranya adalah sebagaimana yang disebut oleh Syeikh Muhammad bin Soleh al-’Uthaimin, katanya: “Adapun gerakan yang dibolehkan: Ia adalah gerakan yang ringan untuk keperluan, atau banyak untuk keperluan mendesak. Gerakan yang ringan untuk keperluan, seperti tindakan Nabi SAW ketika beliau sedang bersembahyang sambil memegang cucunya, Ummamah binti Zainab, cucu Rasulullah SAW, yang baginda juga merupakan Atuk daripada ibunya. Baginda SAW memegang Umamah ketika berdiri dan meletakkannya ketika sujud.” (Lihat Majmu’ Fatawa, 13/310)

Syeikh Abdul Aziz bin Baz pula berpendapat, katanya:  “Mengenai penentuan gerakan-gerakan yang menafikan tama’ninah dan khusyuk dalam solat dengan tiga gerakan, itu bukanlah perkara yang ditetapkan daripada hadith Rasulullah SAW, tetapi itu merupakan ijtihad dan pendapat beberapa ulama, dan tidak ada dalil yang menyokongnya. Namun, bermain-main dalam solat adalah makruh, seperti menggerakkan hidung, janggut, pakaian, atau terlalu banyak sibuk dengan perkara tersebut. Jika bermain-main itu menjadi banyak, ia akan membatalkan solat. Namun, jika bermain-main itu sedikit atau terhad, atau jika ia tidak berterusan, maka solat tidak akan dibatalkan. Namun, seorang mukmin dianjurkan untuk menjaga khusyuk dan meninggalkan bermain-main, sama ada dalam jumlah yang sedikit atau banyak, dengan tujuan memastikan kesempurnaan solat. Salah satu bukti bahawa sedikitnya perbuatan dan gerakan dalam solat tidak akan membatalkannya adalah perbuatan Rasulullah SAW dan gerakan yang berselerak yang tidak berterusan dalam solat. Dalam hadith yang sahih, diceritakan bahawa Rasulullah SAW membuka pintu untuk Aisyah ketika sedang solat [Lihat Sunan Abu Dawud (922), al-Nasa’i (3/11), al-Tirmizi (601)]. Juga, terdapat hadith yang mengisahkan bahawa Rasulullah SAW pernah solat bersama orang ramai sambil membawa cucu perempuannya daripada anak Zainab. Ketika baginda sujud, baginda meletakkannya, dan ketika baginda berdiri, baginda mengangkatnya. (Lihat Fatawa Ulama’ al-Balad al-Haram, 162-164].

Syeikh Abdullah bin Abd al-Rahman al-Bassam berkata: “Imam Malik dan beberapa ulama berpendapat bahawa gerakan yang berlebihan akan membatalkan solat, dan mereka mentafsirkan hadith perbuatan gerakan yang banyak oleh Rasulullah SAW ketika memikul umamah dengan tiga cara:

  • Pertama: Ibn al-Qasim meriwayatkan daripada Imam Malik: Bahawa ini berkaitan dengan solat sunat, dan dalam solat sunat, kita boleh bersikap lebih santai berbanding solat fardhu.
  • Kedua: Asyhab meriwayatkan daripada Imam Malik: Bahawa hadith ini adalah dalam keadaan darurat, dan mereka mentafsirkannya bahawa tiada sesiapa yang dapat menggantikannya.
  • Ketiga: Diriwayatkan daripada Imam Malik: Bahawa hadith ini telah dimansuhkan dan digantikan dengan larangan menyibukkan diri dengan perkara lain semasa solat.

3 Tafsiran ini ini dijawab:

Pertama, pandangan ini ditolak dengan riwayat yang sahih, seperti hadith yang mengisahkan “Ketika mana para sahabat sedang menunggu Rasulullah SAW pada waktu zohor atau Asar, dan Bilal telah memanggilnya untuk solat, Rasulullah keluar sambil meletakkan Ummamah binti Abi al-As di atas lehernya.” Hal ini disahkan dalam hadith riwayat Muslim daripada Abu Qatadah, yang menyatakan bahawa dia melihat Rasulullah SAW memimpin solat dengan Ummamah di lehernya.

Kedua, dalam keadaan darurat ini sangat jarang berlaku, kerana ramai orang yang boleh menggantikan baginda untuk menjaga Umamah, dan tempat tinggal Rasulullah SAW yang mana baginda keluar untuk solat, terdapat  keluarganya di dalamnya dan pelayan-pelayan yang lain.

Ketiga, dakwaan mengenai mansuh tidak diterima, kerana kemungkinan untuk dimansuhkan tidak digunakan untuk menjatuhkan hukum yang tetap. Selain itu, hadith ““Sesungguhnya di dalam solat itu ada kesibukan “ dinyatakan oleh Ibn Mas’ud ketika beliau kembali dari Habsyah sebelum perang Badr. Zainab dan anaknya hanya tiba di Madinah setelah perang Badr beberapa hari.

Justeru, pendapat yang sahih ialah bolehnya melakukan gerakan seperti ini semasa solat jika ada keperluan. Ini juga sebagaimana yang thabit dalam sunnah yang sahih, seperti ketika baginda SAW membuka pintu untuk Aisyah, atau ketika beliau naik ke tangga mimbar untuk dilihat oleh orang ramai, dan begitu juga ketika baginda memberikan isyarat dengan tangannya ketika menjawab salam, dan banyak lagi contoh-contoh yang seumpamanya. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 2/53-54)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah kami untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”

Bertarikh: 20 Oktober 2023 bersamaan 5 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply