Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah dibenarkan membunuh Ular atau Kala Jengking semasa solat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

اقْتُلُوا الأسْوَدَيْنِ فِي الصَّلَاةِ: الحَيَّةَ والعَقْرَبَ

Maksudnya: “Bunuhlah dua yang hitam di saat solat iaitu ular dan kala jengking”

Riwayat Abu Dawud (921), al-Tirmizi (390), al-Nasaie (1202), Ibn Majah (1245) dan Ibn Hibban (2352). Imam al-Tirmizi menyatakan hadith ini Hasan Sahih

Berdasarkan persoalan di atas, benar, dibolehkan untuk membunuh dua haiwan berbahaya ini walaupun dalam solat. Syeikh Abdullah bin Abd al-Rahman al-Bassam berkata: Faedah daripada hadith ini ialah:

  • Sunnah untuk membunuh ular dan kala jengking, walaupun semasa solat, walaupun mereka tidak berwarna hitam; kerana sifat hitam ini adalah yang kebiasaan bagi kedua jenis haiwan ini.
  • Sesungguhnya pergerakan sedikit ini yang terpuji, maka ia tidak membatalkan olat dan tidak menguranginya,.
  • Adalah disyariatkan untuk membunuh apa-apa yang merbahaya daripada haiwan-haiwan atau yang lain, sama ada semasa solat atau di luar solat; kerana jika disunnahkan membunuh haiwan perosak ini semasa solat, maka membunuh mereka di luar solat adalah lebih utama.
  • Pergerakan semasa solat dimaafkan ketika membunuh haiwan-haiwan yang merbahaya ini, kerana tindakan yang diambil untuk membunuhnya merupakan peluang yang mesti dilakukan sebelum terlepas, seperti menyelamatkan orang yang lemas, memadamkan kebakaran, atau menangkis penyerang; kerana perkara seperti ini akan hilang jika peluangnya terlepas, oleh itu ia dimaafkan, bahkan semasa menjalankan ibadah.
  • Disyariatkan membunuh kedua-dua haiwan ini bukan atas diri mereka, tetapi atas tabiat mereka yang bermusuh dan menyakitkan; oleh itu, adalah disunnahkan untuk membunuh apa-apa yang menyakitkan, maka apa-apa yang menyakitkan secara tabiatnya adalah dibenarkan secara syara’ untuk dibunuh. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 2/56-57)

Imam al-Tirmizi berkata setelah beliau meriwayatkan hadith dalam bab ini, katanya: “Amalan seperti ini telah dilakukan oleh sebahagian ulama’ dari sahabat Nabi SAW dan orang lainnya. Ahmad dan Ishaq juga berpendapat sedemikian. Namun, sebahagian ulama memakruhkan membunuh ular dan kala jengking semasa solat. Ibrahim berkata: Sesungguhnya solat itu memerlukan perhatian. Pendapat pertama adalah yang lebih sahih. (Lihat Jami’ al-Tirmizi, 2/402)

Abu Bakr Ibn al-Munzir berkata: Membunuh ular dan kala jengking semasa solat adalah dibolehkan, dan inilah pendapat kebanyakan ulama awam. Ibnu ‘Umar R.Anhuma pernah melihat bulu burung sewaktu sedang solat, dan dia menyangka itu adalah kala jengking, jadi dia memukulnya dengan kasutnya. Antara mereka yang membenarkan membunuh kala jengking semasa solat adalah al-Hasan al-Basri, dan di antara yang membenarkan membunuh ular dan kala jengking semasa solat adalah al-Syafi’i, Ahmad, Ishaq, al-Nu’man, dan para pengikut mereka. Al-Nakha’i memakruhkan membunuh kala jengking semasa solat, tetapi tidak ada makna pada pendapatnya, dalam keadaan Rasulullah SAW memerintahkan untuk membunuhnya. Pendapatnya ini adalah syaz (aneh) dan tidak diketahui sesiapa yang berkata sepertinya. (Lihat al-Ausat fi al-Sunan wa al-Ijma’ wa al-Ikhtilaf, 3/270-271)

Al-Syaukani berkata dalam penjelasan hadith bab ini: Hadith ini menunjukkan bahawa membunuh ular dan kala jengking semasa solat adalah tidak makruh. Kebanyakan ulama berpegang kepada pendapat ini, seperti yang diungkapkan oleh al-‘Iraqi, dan al-Tirmizi meriwayatkan daripada sekumpulan ulama yang memakruhkan perbuatan ini, termasuk Ibrahim al-Nakha’i. Begitu juga ia diriwayatkan daripada Ibrahim bin Abi Syaibah dalam al-Musannaf, diriwayatkan juga daripada Ibn Abi Syaibah daripada Qatadah yang mengatakan: “Jika ia tidak mengganggu kamu, maka jangan membunuhnya.”

Al-‘Iraqi berkata: Bagi mereka yang membunuhnya semasa solat atau bercadang untuk melakukannya, seperti ‘Ali ibn Abi Talib dan Ibn ‘Umar. Ibn Abi Syaibah meriwayatkan daripada mereka dengan sanad yang sahih bahawa Ibn Umar melihat bulu burung sewaktu sedang solat, dan dia menyangka itu adalah kala jengking, jadi dia memukulnya dengan kasut. Al-Baihaqi juga meriwayatkan ini, dan berkata: Dia memukulnya dengan kaki dan berkata: “Aku menyangka itu adalah kala jengking.” Antara tabi’in yang membenarkan membunuh kala jengking semasa solat adalah al-Hasan al-Basri, Abu al-‘Aliyah, ‘Ata’, al-Murruq al-‘Ajli, dan yang lainnya.

Bagi mereka yang melarang perkara ini berdalilkan bahawa sekiranya ia sampai kepada had pergerakan yang banyak dalam solat, seperti al-Hadawiah dan mereka yang memakruhkannya seperti pendapat al-Nakha’i yang berdasarkan hadith “Sesungguhnya solat itu memerlukan perhatian.” Dan hadith “Tenanglah semasa solat.” Pendapat ini dapat dijawab dengan mengatakan bahawa hadith dalam bab ini adalah khusus, dan oleh kerana itu, ia tidak bertentangan dengan apa yang mereka katakan. Hal yang sama berlaku untuk setiap pergerakan yang banyak dalam solat diizinkan oleh hadith khusus yang menyokongnya, seperti hadith Rasulullah SAW mendukung Umamah ketika solat, hadith tentang baginda melepaskan seliparnya, hadith tentang baginda solat di atas mimbar dan turun untuk sujud dan baginda menaiki mimbar kembali, hadith yang memerintahkan untuk memberi jalan kepada mereka yang lewat, bahkan dalam keadaan berperang, dan hadis yang memerintahkan berjalan ke pintu berikutnya setelah pintu tertentu. Semua tindakan seperti itu dianggap sebagai tindakan yang ditentukan oleh dalil-dalil yang khusus. (Lihat Nail al-Autar, 2/396)

Kesimpulan

Kesimpulannya adalah bahawa pendapat yang membenarkan membunuh ular dan kala jengking semasa solat adalah pendapat yang benar, kerana dalilnya sangat jelas. Allah SWT lebih mengetahui yang benar, kepada-Nya tempat kembali dan penyelesaian, dan Dia adalah Pelindung yang terbaik. Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

Bertarikh: 23 Oktober 2023 bersamaan 8 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply