Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah maksud lebih baik berdiri selama 40 ketika melintasi orang solat? Benarkah terdapat hadith Rasulullah SAW?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sutrah dari segi bahasa bahawa bermaksud apa sahaja yang dapat menghalangi. Dalam istilah ilmu fiqh, sutrah bermaksud segala sesuatu yang tertegak di hadapan orang yang sedang solat. Ia sama ada dalam bentuk tongkat, tanah yang disusun, atau yang sepertinya bagi mencegah orang melintas di hadapannya. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 3/176-177)

Diriwayatkan daripada Abu al-Juhaim al-Ansari RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَوْ يَعْلَمُ المَارُّ بَيْنَ يَدَيِ المُصَلِّي مَاذَا عَلَيْهِ، لَكَانَ أَنْ يَقِفَ أَرْبَعِينَ خَيْرًا لَهُ مِنْ أَنْ يَمُرَّ بَيْنَ يَدَيْهِ

Maksudnya: “Sekiranya orang yang melintas di hadapan orang yang solat itu mengetahui apakah akibat yang ditanggungnya, sudah pasti dia berdiri menunggu selama empat puluh. Ianya adalah lebih baik baginya daripada dia melintas di hadapan orang yang solat.”

Abu al-Nadhr berkata: “Aku tidak pasti, adakah dia mengatakan empat puluh hari, atau empat puluh bulan atau empat puluh tahun.”

Riwayat al-Bukhari (510) dan Muslim (507)

Dalam riwayat al-Bazzar, disebutkan:

أَرْبَعِينَ خَرِيفًا

Maksudnya:  Empat puluh musim luruh (40 tahun)

Riwayat al-Bazzar (9/239)

Syeikh Abdullah al-Bassam berkata: Apa yang diambil daripada hadith ini:

  • Orang yang sedang solat berdiri di hadapan Allah Taala, berdoa kepada-Nya. Namun, munajat ini akan terputus dan terganggu apabila dilalui di hadapan orang yang sedang solat, dan ia adalah dosa besar pada orang yang melintasinya.
  • Haram melintasi di hadapan orang yang sedang solat jika orang yang solat tersebut tidak meletakkan sutrah, atau melintasi antara orang yang solat dan sutrah jika dia meletakkannya.
  • Lebih baik bagi orang yang sedang solat untuk menjauhkan tempat solatnya daripada tempat lalaun orang ramai atau di tempat-tempat di mana orang perlu untuk melaluinya, supaya solatnya tidak terganggu atau terputus, dan orang yang melaluinya itu tidak berdosa, atau tempat yang mempunyai kesukaran untuk berhenti. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 2/61)

Menjawab persoalan di atas, maksud “sudah pasti dia berdiri menunggu selama empat puluh” ialah perumpamaan bilangan yang tidak maksudkan, tetapi lebih kepada mubalaghah. Dalam riwayat lain, disebutkan selama 40 tahun. Syeikh Abdullah al-Bassam berkata: “Yang dimaksudkan dengan 40 di sini bukan merupakan bilangan dan had yang khusus. Konsep angka yang disebutkan di sini bukanlah tujuan utama di sisi kebanyakan ulama’ usuliyyin, tetapi tujuan sebenar adalah untuk mubalaghah iaitu penekanan terhadap larangan tersebut. Hal ini sebagaimana yang disebut dalam al-Quran: “اسْتَغْفِرْ لَهُمْ أَوْ لَا تَسْتَغْفِرْ لَهُمْ إِنْ تَسْتَغْفِرْ لَهُمْ سَبْعِينَ مَرَّةً فَلَنْ يَغْفِرَ اللَّهُ لَهُمْ” “Jika kamu meminta ampun bagi mereka atau tidak meminta ampun bagi mereka, jika kamu meminta ampun bagi mereka sebanyak tujuh puluh kali sekali pun, Allah tidak akan mengampuni mereka.” (Surah al-Taubah: 80). (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 2/61)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Surah Ibrahim (40)

Bertarikh: 23 Oktober 2023 bersamaan 8 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply