Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah terangkan maksud jiwa Mukmin tergantung dengan sebab hutang? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا تَدَايَنتُم بِدَيْنٍ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى فَاكْتُبُوهُ ۚ وَلْيَكْتُب بَّيْنَكُمْ كَاتِبٌ بِالْعَدْلِ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar).

(Surah al-Baqarah: 282)

Ayat di atas menunjukkan bahawa Allah SWT memerintahkan orang yang beriman untuk mencatat segala hutang dan masa bayarannya.

Bahkan hutang merupakan satu amanah yang wajib ditunaikan dengan secara adil dan termasuk dalam akad antara sesama manusia yang wajib ditunaikan/dilangsaikan. Ini adalah seperti mana dinyatakan di dalam al-Quran:

إِنَّ اللَّـهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ ۚ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil.

(Surah al-Nisa: 58)

Begitu juga firman-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian.

(Surah al-Ma’idah: 1)

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa benar, di sana terdapatnya riwayat yang menyatakan, ruh orang Mukmin tergantung dengan sebab hutangnya sehinggalah ia dilangsaikan.

Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abu Hurairah R.A, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

نَفْسُ الـمُؤْمنُ مُعَلَّقَةٌ بدَيْنِهِ، حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ

Maksudnya: “Jiwa seorang Mukmin tergantung dengan sebab hutangnya sehingga dilunaskan hutang baginya.”

Riwayat Ahmad (10221); al-Tirmizi (1079) dan beliau menilainya sebagai hasan.

Syeikh Abdullah al-Bassam menyatakan, lafaz “مُعَلَّقَةٌ بدَيْنِهِ” bermaksud tertahan atau terikat, sebagaimana firman Allah SWT:

كُلُّ نَفْسٍ بِمَا كَسَبَتْ رَهِينَةٌ

Maksudnya: “Tiap-tiap diri terikat, tidak terlepas daripada (balasan buruk bagi amal jahat) yang dikerjakannya.”

(Surah al-Muddathir: 38)

Seterusnya, Syeikh Abdullah al-Bassam menjelaskan pula makna dan faedah-faedah yang dapat diambil daripada hadith itu. Di antaranya hadith ini menunjukkan kepada pentingnya untuk menjaga urusan hutang. Begitu juga diri seseorang itu adalah sebagai cagaran bagi hutangnya itu sehinggalah ia dilunaskan. Dalam erti kata lain, ia adalah untuk mengekang dirinya dari kedudukan mulia yang sepatutnya dia miliki. Hal ini adalah sebagaimana hadith:

 إِنَّ صَاحِبَكُمْ مُحْتَبِسٌ عَلَى بَابِ الْجَنَّةِ فِي دَيْنٍ عَلَيْهِ، حَتَّى يَقْضِيَهُ عَنْهُ وَارِثٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya sahabat kamu itu sedang tertahan di pintu syurga dengan sebab hutang yang masih ada padanya sehinggalah warisnya melunaskan hutang itu bagi pihaknya.

Riwayat Ahmad (20124) dan lafaznya adalah sebagaimana di atas tanpa menyebutkan, “حَتَّى يَقْضِيَهُ عَنْهُ وَارِثٌ”; Riwayat Abu Daud (3341) dan al-Nasa’i (4685) dengan lafaz seumpamanya. Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij al-Musnad (20124) menilai sanadnya sebagai sahih.

Selain itu, hadith ini juga menunjukkan bahawa hak-hak sesama manusia itu terbina di atas kedekut (mesti mendapatkan redha) dan tiadanya toleransi. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/159-160).

Tambahan lagi, terdapat banyak hadith yang menerangkan tentang ancaman terhadap golongan yang tidak melunaskan hutangnya. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Salamah bin al-Akwa’ R.A, katanya:

كُنَّا جُلُوسًا عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، إِذْ أُتِيَ بِجَنَازَةٍ، فَقَالُوا: صَلِّ عَلَيْهَا. فَقَالَ: هَلْ عَلَيْهِ دَيْنٌ؟ فَقَالُوا: لاَ. قَالَ: فَهَلْ تَرَكَ شَيْئًا؟ قَالُوا: لاَ. فَصَلَّى عَلَيْهِ. ثُمَّ أُتِيَ بِجَنَازَةٍ أُخْرَى، فَقَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، صَلِّ عَلَيْهَا. قَالَ: هَلْ عَلَيْهِ دَيْنٌ؟ قِيلَ: نَعَمْ. قَالَ: هَلْ تَرَكَ شَيْئًا؟ قَالُوا: ثَلاَثَةَ دَنَانِيرَ. فَصَلَّى عَلَيْهَا. ثُمَّ أُتِيَ بِالثَّالِثَةِ، فَقَالُوا: صَلِّ عَلَيْهَا. قَالَ: هَلْ تَرَكَ شَيْئًا؟ قَالُوا: لاَ. قَالَ: فَهَلْ عَلَيْهِ دَيْنٌ؟ قَالُوا: ثَلاَثَةُ دَنَانِيرَ. قَالَ: صَلُّوا عَلَى صَاحِبِكُمْ. قَالَ أَبُو قَتَادَةَ صَلِّ عَلَيْهِ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَعَلَيَّ دَيْنُهُ، فَصَلَّى عَلَيْهِ

Maksudnya: “Kami pernah duduk di sisi Nabi SAW, tiba-tiba didatangkan kepadanya satu jenazah, maka mereka berkata: ‘Solatlah ke atasnya.’ Baginda bertanya: ‘Adakah dia memiliki hutang?’ Mereka menjawab: ‘Tidak.’ Baginda bertanya: ‘Adakah dia ada meninggalkan sesuatu?’ Mereka menjawab: ‘Tidak.’ Maka Baginda mensolatkannya. Kemudian didatangkan pula jenazah yang lain dan mereka berkata: ‘Wahai Rasulullah, solatkanlah dia.’ Baginda bertanya: ‘Adakah dia memiliki hutang?’ Dikatakan: ‘Ya.’ Baginda bertanya lagi: ‘Adakah dia ada meninggalkan sesuatu?’ Mereka menjawab: ‘Tiga dinar.’ Maka Baginda mensolatkannya. Kemudian didatangkan pula jenazah yang ketiga lalu mereka berkata: ‘Solatkanlah dia.’ Baginda bertanya: ‘Adakah dia ada meninggalkan sesuatu?’ Mereka menjawab: ‘Tidak.’ Baginda bertanya: ‘Adakah dia memiliki hutang?’ Mereka menjawab: ‘Tiga dinar.’ Baginda bersabda: ‘Solatlah ke atas sahabat kamu.’ Lantas Abu Qatadah berkata: ‘Solatkanlah dia, wahai Rasulullah, dan hutangnya menjadi tanggunganku.’ Maka Baginda pun solat ke atasnya.

Riwayat al-Bukhari (2289)

Selain daripada itu, Syeikh Abdullah al-Bassam juga ada menukilkan daripada al-Dalil wa Syarhuhu yang menyatakan bahawa mati syahid itu menghapuskan kesemua dosanya melainkan hutang. Syeikh Taqiyuddin menambah, demikianlah juga dosa menzalimi orang lain. Hal itu adalah berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, daripada Ibn Umar bahawa Nabi SAW bersabda:

يَغْفِرُ اللّهُ لِلشّهِيدِ كُلّ ذَنْبٍ، إِلّا الدّينَ

Maksudnya: “Allah memberi keampunan buat orang yang mati syahid semua dosanya kecuali hutang.”

Riwayat Muslim (1886)

Oleh yang demikian, wajib untuk segera menyelesaikan atau melunaskan hutang si mati jika dia mempunyai harta (yang ditinggalkan). Ini kerana dia masih berterusan menanggung beban hutangnya itu sekalipun setelah kematiannya sehinggalah ia dilunaskan. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/159-160).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ ، ونَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada kedukaan dan kesedihan. Kami berlindung kepada-Mu daripada sifat lemah dan malas. Kami berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan kedekut. Dan kami berlindung kepada-Mu daripada bebanan hutang dan penindasan manusia.”

Bertarikh: 23 Oktober 2023 bersamaan 8 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply