Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Apakah hukum memakan daging babi air atau lebih dikenali sekarang sebagai capybara? Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا
Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik.”
(Surah al-Baqarah: 168)
Ayat ini ditujukan kepada seluruh manusia sama ada orang beriman ataupun kafir, supaya memakan apa yang ada di atas muka bumi, yang terdiri daripada biji-bijian, buah-buahan dan haiwan-haiwan yang telah dihalalkan untuk mereka mengambilnya (yakni makan dan ambil manfaat daripadanya), bukan dengan cara merampasnya, mencuri, jual beli yang diharamkan atau perkara-perkara yang seumpamanya. Manakala lafaz ‘tayyiban’ pula bermaksud bukan daripada perkara yang buruk (yakni kotor dan jijik) seperti bangkai, darah, daging babi dan lain-lain. Oleh itu, ayat ini merupakan dalil bahawa hukum asal bagi sesuatu perkara itu (untuk dimakan dan diambil manfaatnya) adalah harus. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/80)
Definisi Capybara dan habitatnya
Capybara (Hydrochoerus hydrochaeris) ialah rodensia yang paling besar daripada semua rodensia. Ia membesar sehingga panjangnya 1.2 meter dan beratnya mungkin melebihi 45 kilogram. Ia tinggal di timur Panama dan di Amerika Selatan di timur pergunungan Andes. Capybara kelihatan seperti babi kecil atau tikus belanda besar. Badannya yang besar diliputi bulu kasar yang berwarna perang kemerahan atau kelabu di bahagian atasnya dan perang kekuningan di bahagian bawahnya. Kepala haiwan ini besar, muncungnya dempak dan ekornya pendek. Kaki belakangnya agak lebih panjang daripada kaki depannya. Kakinya mempunyai jari renang dan boleh berenang dengan baik. Ia meragut dekat tasik dan sungai, dan terjun ke dalam sungai sekiranya ada tanda bahaya. Sesetengah orang menamakannya babi air. Capybara adalah makanan kegemaran jaguar, buaya dan manusia. (Lihat Ensiklopedia Dunia, Terj. DBP, 5/95)
Capybara adalah satu-satunya spesies daripada famili Hydrochoeridae. Rupanya mirip cavy dan tikus belanda (guinea pig) daripada famili Caviidae.[1] Ia tergolong dalam haiwan herbivor yang hanya memakan tumbuh-tumbuhan bagi memperoleh semua nutrien yang diperlukannya. Pemakanan capybara kebanyakannya ialah rumput dan tumbuhan akuatik. Ia juga memakan buah-buahan serta sekali sekala mengunyah kulit kayu lembut.[2] Selain itu, capybara juga boleh berada di dalam air — yakni menyelam — sehingga 5 minit dalam satu masa bagi bersembunyi daripada musuhnya.[3]
Adakah capybara itu babi air?
Para ulama silam telah membahaskan hukum mengenai babi air (خِنْزِيرُ الْمَاءِ) dalam kitab-kitab mereka. Namun, persoalan yang timbul, adakah babi air yang dimaksudkan mereka ini sama sepertimana babi air yang dikenali pada hari ini, iaitu capybara? Kamaluddin al-Damiri menukilkan di dalam kitabnya bahawa Malik pernah ditanya mengenai babi air ini, lalu beliau menyebutkan bahawa kamu menamakannya sebagai babi yakni sedangkan orang Arab tidak pun menamakannya demikian kerana tidak diketahui di dalam laut adanya babi, dan yang masyhurnya ia dikenali sebagai dolphin (ikan lumba-lumba).” (Lihat Hayah al-Hayawan al-Kubra, 2/429)
Kenyataan ini apabila diteliti seolah-olahnya dikuatkan atau disokong lagi, apabila Dr. Muhammad al-Zuhaili memasukan babi air ini sebagai hidupan air yang tidak menyerupai ikan sebagaimana kebiasaannya dan menyebutkan bahawa ia adalah halal serta tidak perlu kepada sembelihan sebagaimana ikan-ikan yang lain. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/548)
Justeru, sekiranya benar babi air yang dimaksudkan oleh ulama silam itu ialah dolphin, maka tiada masalah memegang atau menyentuhnya kerana ia termasuk dalam hidupan laut yang halal lagi suci. Penjelasan lanjut mengenai perkara ini, boleh dirujuk kepada artikel kami yang bertajuk: #320 Memakan Ikan Lumba-lumba.[4]
Namun, sekiranya babi air yang dimaksudkan ialah capybara sebagaimana namanya yang dikenali sekarang, maka capybara bukanlah berasal daripada spesies dan famili yang sama dengan babi — yang biasa kita kenali. Hal ini kerana ia berasal daripada famili Hydrochoeridae sedangkan babi pula daripada famili Suidae. Justeru, ia tergolong dalam kategori haiwan yang suci serta tidak mengambil hukum babi dan keturunannya. Penjelasan lanjut mengenai hal ini, bolehlah merujuk kepada artikel kami yang bertajuk: #346 Menyentuh Babi Air.[5]
Hukum memakan capybara (babi air)
Jika dilihat kepada sifat dan habitat capybara, ia lebih dekat dengan haiwan darat dan bukannya hidupan air. Mengenai hal ini, Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari ada menukilkan pendapat Imam al-Mawardi yang menjadi dhawabit (garis panduan) dalam menentukan kategori suatu haiwan itu apabila berhimpun pada dirinya darat dan laut, iaitu:
مَا يَجْمَعُ مِنْ الْحَيَوَانِ بَيْنَ الْبَحْرِ وَالْبَرِّ إنْ كَانَ اسْتِقْرَارُهُ بِأَحَدِهِمَا أَغْلَبَ وَمَرْعَاهُ بِهِ أَكْثَرَ غَلَبَ عَلَيْهِ حُكْمُهُ
Maksudnya: “Haiwan yang berhimpun padanya antara laut dan darat (dapat hidup di kedua-duanya), sekiranya ia dapat tetap (berterusan) hidup pada salah satunya menurut kebiasaan dan hidupnya lebih banyak di situ. Maka, hukumnya mengikut kebiasaannya.”
Oleh itu, apa-apa haiwan yang tidak dapat hidup melainkan di dalam air sahaja atau apabila ia keluar dari air, hidupnya seperti haiwan yang disembelih, maka hukumnya adalah halal dimakan, walau bagaimana keadaannya pun serta ia dinisbahkan sebagai hidupan air. Kemudian, jika suatu haiwan itu tidak cenderung kepada mana-mana antara keduanya (air atau darat), maka hukumnya adalah seperti haiwan darat mengikut pendapat yang sahih serta tidak halal untuk memakannya melainkan setelah disembelih, jika ia termasuk dalam jenis haiwan yang boleh disembelih. Sekiranya tidak, hukumnya adalah haram — untuk memakannya. (Lihat Asna al-Matalib, 1/566)
Pada asasnya, hukum asal bagi haiwan darat adalah ia diharuskan untuk dimakan selagi mana tiada dalil yang mengharamkannya. Firman Allah SWT:
أُحِلَّتْ لَكُم بَهِيمَةُ الْأَنْعَامِ إِلَّا مَا يُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ
Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu (memakan) binatang-binatang ternak (dan sebagainya), kecuali apa yang akan dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu.”
(Surah al-Ma’idah: 1)
Jika dilihat kepada sifat capybara ini, ia termasuk dalam kategori haiwan herbivor yang hanya makan rumput, tumbuh-tumbuhan akuatik dan buah-buahan. Bukannya seperti haiwan buas yang memburu haiwan lain sebagai makanan. Begitu juga, menamakannya sebagai babi, sama sekali tidak memberi kesan hukum ke atasnya kerana kaedah ada menyebutkan:
العِبْرَةُ بِحَقَائِقِ الأَشْيَاءِ لاَ بِأَسْمَائِهَا
Maksudnya: “Hukum sesuatu itu diambil kira berdasarkan kepada hakikatnya dan bukan pada namanya.”
Tambahan pula, perkara ini jelas disebut oleh Ibn Rusyd al-Hafid sebagaimana kenyataannya bahawa kaum Muslimin telah bersepakat akan pengharaman babi. Lafaz babi membawa erti seluruh jenis babi secara zat selagimana bukan hanya sekadar berkongsi nama atau disebut sebagai babi, tetapi pada hakikatnya ia bukan daripada jenis babi secara zatnya, contohnya seperti babi air. (Lihat Bidayah al-Mujtahid wa Nihayah al-Muqtasid, 1/10)
Selain itu, sebahagian masyarakat setempat juga menjadikan capybara ini sebagai makanan terutamanya di Venezuela.[6]
Capybara menjadi perumah kepada parasit
Walau bagaimanapun terdapat kajian menunjukkan bahawa capybara atau Hydrochoerus hydrochaeris ini merupakan ejen penyebar pathogen zoonosis, dan membawa penyakit seperti hemoparasite dan gut parasit (meyebabkan kanser usus atau penyakit usus kepada manusia), perumah kepada kutu amblyomma (penyebab kepada penyakit demam Brazil, leptospirosis). Selain itu, capybara boleh menjadi penyebab secara tidak langsung kepada pembawakan virus rabies, dan toxoplasma sp. Selain itu juga, capybara yang dijangkiti parasit tidak akan menunjukkan sebarang simtom atau tanda-tanda kesakitan. Parasit yang dibawa oleh capybara ini boleh berjangkit kepada haiwan lain terutamanya babi dan lembu. Salah satu kajian telah mengeluarkan amaran dan cadangan agar tidak melakukan sebarang kontak dengan haiwan ini.[7]
Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, kami cenderung kepada pendapat yang menyatakan bahawa capybara haram dimakan kerana ia termasuk dalam haiwan yang memudaratkan pemakannya. Firman Allah SWT:
وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.”
(Surah al-Baqarah: 195)
Ayat di atas bermaksud janganlah kamu menyerahkan diri kepada hal-hal yang menyebabkan kebinasaan, akan tetapi lakukanlah untuk diri kamu sebab-sebab yang boleh membawa kepada keselamatan. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, hlm. 38)
Perkara ini juga bertepatan dengan hadith Nabi SAW agar kita menjauhi daripada sebarang bentuk kemudaratan sebagaimana sabdanya :
لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ
Maksudnya: “Tidak boleh mudarat dan tidak boleh memudaratkan.”
Riwayat Ibn Majah (2341)
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa capybara haram dimakan kerana memudaratkan pemakannya. Agama Islam selalu mengingatkan penganutnya agar menjauhi semua perkara yang boleh memudaratkan diri. Kaedah ada menyebutkan bahawa:
وَالْأَصْلُ فِي الْمَضَارِّ الْحُرْمَةُ
Maksudnya: “Hukum asal pada setiap sesuatu yang memudaratkan adalah haram.” (Lihat Mafatih al-Ghaib, 15/381)
Selain itu, perkara ini juga adalah selaras dengan perintah Allah SWT yang menuntut kita supaya bukan sahaja perlu memilih makanan yang halal tetapi juga mesti berkualiti.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahua‘lam.
Bertarikh: 28 Januari 2022 bersamaan 25 Jamadil Akhir 1443H
[1] Lihat Encyclopedia Britannica, https://www.britannica.com/animal/capybara.
[2] Lihat AZAnimals, https://a-z-animals.com/animals/capybara/.
[3] Lihat San Diego Zoo Animals & Plants, https://animals.sandiegozoo.org/animals/capybara.
[4] Lihat https://maktabahalbakri.com/memakan-ikan-lumba-lumba/.
[5] Lihat https://maktabahalbakri.com/346-menyentuh-babi-air/ Diakses pada 21 Januari 2022.
[6] Lihat artikel bertajuk 5 Things to Know About the Capybara, the World’s Largest Rodent, https://people.com/pets/5-things-to-know-about-the-capybara-the-worlds-largest-rodent/.
[7] Lihat Journal of Wildlife Diseases, bertajuk Health Evaluation And Survey Of Zoonotic Pathogens In Free-Ranging Capybaras (Hydrochoerus hydrochaeris) oleh Rosely Gioia-Di Chiacchio, Fabiola Eloisa Setim Prioste et al. https://www.jwildlifedis.org/doi/full/10.7589/2013-05-109.