#3731: Kenapa Lambat Menang?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Melihat kepada situasi umat Islam mutakhir ini, jika bertembung dengan musuh-musuh Islam, pada ghalibnya, kita akan kalah. Justeru, persoalannya apa puncanya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan jawapan ini dengan firman Allah SWT:

وَلَيَنصُرَنَّ اللَّهُ مَن يَنصُرُهُ ۗ إِنَّ اللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ ‎

Maksudnya: “Dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong ugamaNya (ugama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.”

(Surah al-Haj: 40)

Nas ini menunjukkan jelas kepada kita, apabila takhirnya kemenangan, ia menandakan kepincangan dari sudut syarat. Justeru, umat Islam perlulah melihat dengan setepatnya adakah mereka telah memenuhi syarat kemenangan itu; iaitu mendirikan hak Allah SWT dengan emlaksanakan ketaatan dan meninggalkan segala larangannya.

Bila ini telah dilakukan, maka, kemenangan dan janji Allah SWT pasti berlaku. Samalah juga kita disuruh terlebih dahulu taqwa bagi mendapat kehendak dan cita-cita kita. Bahkan, direzekikan kepada kita.

Firman Allah SWT:

وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا ‎﴿٢﴾‏ وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ

Maksudnya: “dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya). Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).

(Surah al-Talaq: 2-3)

Antara syarat kemenangan ialah:

  • Memelihara solat berjemaah pada awal waktu
  • Mematuhi perintah ketua dan mengikut keputusan syura
  • Bangkit pada waktu malam untuk qiyamullial
  • Sentiasa membaca al-Quran dan berpedoman dengannya
  • Membuat persediaan yang rapi dan disiplin
  • Mempunyai kesabaran yang tinggi
  • Mentaati perintah Allah SWT dan rasul-Nya
  • Tidak bertelingkah sesama sendiri sebagai mana firman Allah SWT:

وَأَطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ ۖ وَاصْبِرُوا ۚ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ

Maksudnya: “Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.

(Surah al-Anfal: 46)

Membaca sirah para sahabat, tabi’in dan salafussoleh jelas menunjukkan kepada kita nawaitu mereka dalam perjuangan-perjuangan semata-mata dikernakan kerana Allah SWT lebih tepat lagi sebagai mana hadith Nabi SAW: Daripada Abu Musa Al-Asy’ari R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ قَاتَلَ، لِتَكُونَ كَلِمَةُ اللَّهِ هِيَ العُلْيَا، فَهُوَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ

Maksudnya: “Barang siapa yang berperang untuk meninggikan kalimah Allah, maka dia berada pada jalan Allah.”

Riwayat al-Bukhari (3126)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ مُنْزِلَ الكِتَابِ، وَمُجْرِيَ السَّحَابِ، وَهَازِمَ الأَحْزَابِ، اهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ

Maksudnya: “Ya Allah yang menurunkan Kitab, yang menjalankan awan, yang menghancurkan pasukan musuh, kalahkan mereka dan bantulah kami menewaskan mereka.”

 Riwayat al-Bukhari (2965)

Bertarikh: 23 Oktober 2023 bersamaan 8 Rabiulakhir 1445

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *