Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah anjing hitam adalah syaitan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Diriwayatkan daripada Abu Zar R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

يَقْطَعُ الصَّلَاةَ الرَّجُلِ الْمَرْأَةُ وَالْحِمَارُ وَالْكَلْبُ

Maksudnya : “Yang memutuskan solat (seseorang) adalah perempuan, keldai dan anjing.”

Riwayat Muslim (511)

Sebahagian riwayat datang dengan lafaz anjing hitam. Kemudian, Nabi SAW ditanya berkenaan apakah yang membezakan anjing hitam dengan anjing-anjing lain? Baginda SAW menjawab :

الْكَلْبُ الْأَسْوَدُ شَيْطَانٌ

Maksudnya: “Anjing hitam adalah syaitan”.

Riwayat Muslim (510)

Syeikh Fuad al-Baqi dalam nota kakinya ketika mensyarahkan hadith di atas menyebutkan bahawa anjing hitam disebut sebagai syaitan kerana ia adalah anjing yang paling buas, paling jahat (mengganggu), paling sikit manfaatnya dan paling banyak berehat (pemalas). (Lihat Sahih Muslim, 1/365)

Menjawab persoalan di atas, Syeikh Abdullah al-Bassam berkata: Anjing hitam diberi penekanan khas di antara anjing-anjing lain kerana ia adalah syaitan. Riwayat hadith daripada Abu Zar R.A, beliau bertanya kepada Nabi SAW, “Wahai Rasulullah, bagaimana dengan anjing yang berwarna merah, kuning, atau putih?” Rasulullah -S.A.W.- menjawab, “Anjing hitam adalah syaitan.” Syaitan diberikan oleh Allah kemampuan untuk berubah dan menyesuaikan diri dalam bentuk yang mereka kehendaki. Oleh itu, hadith ini kemungkinan secara zahirnya bahawa syaitan datang dalam bentuk anjing hitam untuk mengganggu solat orang Muslim.” (Lihat Taudhih al-Ahkam, 69/70)

Diriwayatkan juga daripada Jabir bin ‘Abdullah R.A, beliau berkata:

أَمَرَنَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِقَتْلِ الْكِلَابِ، حَتَّى إِنَّ الْمَرْأَةَ تَقْدَمُ مِنَ الْبَادِيَةِ بِكَلْبِهَا فَنَقْتُلُهُ، ثُمَّ نَهَى النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ قَتْلِهَا، وَقَالَ: «عَلَيْكُمْ بِالْأَسْوَدِ الْبَهِيمِ ذِي النُّقْطَتَيْنِ، فَإِنَّهُ شَيْطَانٌ

“Rasulullah SAW pernah memerintahkan kami agar membunuh anjing-anjing, sampai kami turut membunuh anjing milik seorang perempuan yang datang bersamanya dari pedalaman. Lalu kemudian Nabi SAW melarang dari membunuh anjing-anjing, dan beliau bersabda: “Hendaklah kalian membunuh anjing yang keseluruhannya hitam yang memiliki dua titik, kerana ia adalah syaitan.”

Riwayat (1572)

Hadith ini menunjukkan bahawa anjing hitam adalah syaitan. Namun, penjelasan ini tidak bermaksud bahawa anjing hitam adalah jin, tetapi maksudnya adalah anjing hitam ini memiliki persamaan dengan syaitan dalam beberapa sifatnya. Ini serupa dengan cara orang menggambarkan individu yang dikenali dengan kejahatan dan kefasadan sebagai “syaitan.”

Ibn Abdul Barr menjelaskan: “Pendapat bahawa anjing hitam adalah syaitan berdasarkan apa yang telah diriwayatkan dalam hadith tersebut tidak memiliki hujah yang kuat. Allah SWT telah menyebut orang yang paling jahat di kalangan manusia dan jin sebagai syaitan dengan menyebut mereka sebagai “syaitan-syaitan manusia dan jin,” tetapi daripada itu tidak ada alasan untuk membunuh mereka. Terdapat juga hadith yang meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW melihat seorang lelaki mengikuti merpati dan berkata, “Ini syaitan yang mengikuti syaitan.” Ini tidak bermaksud bahawa lelaki itu adalah seorang jin atau merpati itu adalah jin, dan tidak ada kewajipan untuk membunuh mereka.” (Lihat al-Tamhid, 14/234)

Abu Bakr Ibn al-Arabi al-Maliki menjelaskan: “Syaitan bererti jauh daripada kebaikan dan manfaat, dekat dengan kemudaratan dan keburukan. Sifat syaitan adalah melebihi kebaikan.” (Lihat al-Masalik Syarh al-Muwatta’, 7/528)

Al-Mulla ‘Ali al-Qari menukilkan daripada al-Qadhi Abu Laila, katanya: “Jika ada yang bertanya, apa maksud pernyataan Nabi SAW tentang anjing hitam, ‘Ini adalah syaitan,’ sedangkan kita tahu bahawa anjing hitam adalah hasil pembiakan anjing dan perkataan yang sama digunakan oleh Nabi tentang unta, ‘Ini adalah jin,’ padahal unta adalah hasil pembiakan unta? Jawapannya adalah, Nabi menggunakan kata-kata ini sebagai bentuk perbandingan untuk menyamakan mereka dengan syaitan dan jin. Ini kerana anjing hitam adalah yang paling jahat di kalangan semua jenis anjing dan yang paling sedikit manfaatnya, sementara unta serupa dengan jin dalam kekasaran dan keganasannya.” (Lihat Mirqah al-Mafatih, 7/2261)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan walaupun Nabi SAW menyatakan anjing hitam adalah syaitan, tetapi ia adalah sebagaimana perumpamaan sahaja sebagaimana yang disebut oleh ramai ulama’.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Bertarikh: 23 Oktober 2023 bersamaan 8 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply