Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya mengenai hadith “hubungilah segala faraid kepada ahlinya” Mohon penjelasan Dato’ berkenaan hadith tersebut. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Ilmu faraidh pada syara’ bermaksud pengetahuan mendalam tentang pusaka dan ilmu kira-kira yang membolehkan kita mengetahui bahagian pusaka yang berhak diterima oleh orang-orang yang berhak. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/273)

Hukum pusaka ini telah disyariatkan dalam Islam dan telah dinaskan oleh al-Quran, al-Sunnah serta ijma’ ulama’. Orang-orang yang mengingkari pensyariatan hukum pusaka adalah kafir dan keluar daripada Islam. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ مِمَّا قَلَّ مِنْهُ أَوْ كَثُرَ ۚ نَصِيبًا مَّفْرُوضًا

Maksudnya: “Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).

(Surah al-Nisa’: 7)

Para ulama ketika menerangkan sebab penurunan ayat ini menyatakan bahawa ketika zaman sebelum datangnya Islam (zaman jahiliyyah), wanita dan kanak-kanak tidak berhak mendapat sedikit pun daripada harta pusaka yang ditinggalkan ahli keluarga mereka. Ini adalah kerana pada ketika itu, hanya lelaki yang boleh mempertahankan kabilah dan keluarga sahaja mewarisi harta pusaka. Hal ini dapat dilihat dalam satu kisah yang direkodkan bahawa ada seorang lelaki dari kaum Ansar meninggal dunia sebelum diturunkan ayat ini, dalam masa yang sama dia meninggalkan empat orang anak perempuan. Namun, kesemua harta yang ditinggalkan diambil oleh sepupunya. Oleh  kerana itu, Allah SWT menurunkan ayat ini yang menyatakan bahawa wanita juga berhak mendapat sebahagian daripada harta pusaka dan sekali gus memuliakan wanita. (Lihat Tafsir Muqatil Bin Sulaiman, 127/5; Tafsir al-Tabari, 597/7; Tafsir al-Maturidi, 28/3; al-Mufassal fi Tarikh al-Arab Qabla al-Islam, 237/10)

Ayat-ayat berkenaan pusaka di dalam al-Quran jelas mengesahkan bahawa pusaka adalah disyariatkan. Berdasarkan nas di atas, disebut kalimah مِّمَّا تَرَكَ iaitu daripada apa yang ditinggalkan oleh si mati, maka ia dianggap pusaka selama mana ia adalah termasuk dalam harta; sama ada wang ringgit, kenderaan, pakaian, rumah, dan lain-lain.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

تَعَلَّمُوا الفَرائِضَ، فإنَّهَا مِن دِينِكُمْ، وَإِّنَّهَا نِصْفُ العِلْمِ، وَإنَّهُ أَوَّلُ مَا يُنزَعُ مِنْ أمَّتي

Maksudnya: Pelajarilah ilmu faraid kerana ia merupakan sebahagian daripada agama kamu dan ia adalah setengan daripada ilmu. Ia juga adala ilmu yang pertama dicabut daripada umatku.

Riwayat Ibn Majah (2719)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan apabila seorang muslim meninggal dunia dan meninggalkan harta. Maka harta tersebut hendaklah dibahagikan mengikut pembahagian faraid mengikut penetapan syara’ yang mana telah dinyatakan dalam nas-nas al-Quran dan al-Hadith. Kewajipan pembahagian faraid kepada ahli waris boleh dilihat melalui hadith yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَلْحِقُوا الْفَرَائِضَ بِأَهْلِهَا، فَمَا بَقِىَ فَهْوَ لأَوْلَى رَجُلٍ ذَكَرٍ

Maksudnya: “Serahkanlah harta-harta pusaka kepada pemiliknya. Sekiranya ada baki, serahkanlah kepada kaum keluarga lelaki yang terdekat.”

Riwayat al-Bukhari (6351)

Hadis menerangkan tentang cara pewarisan bahagian harta pusaka yang disebut dalam kitab Allah SWT, dengan cara menerangkan golongan yang berhak mewarisi pusaka. Ia juga menerangkan bahagian daripada lebihan harta yang mana tidak dijelaskan secara terperinci di dalam al-Quran yang berkaitan dengan pewaris-pewaris dan bahagian mereka. Dan juga menerangkan cara pembahagian pewarisan baki harta bagi pewaris ‘asabah yang tidak disebut dalam al-Quran secara terperinci. Apabila digabungkan hadis ini dengan ayat al-Quran tentang pewarisan maka tersusun dan lengkaplah pembahagian atau bahagian-bahagian di antara kesemua pewaris dari ashab al-Furudh dan ‘asabah. (Lihat al-Kafi Dan Tatmi al-Kafi Syarah Hadis 40,hlm.414)

Telah dinyatakan juga dalam Taudih al-Ahkam Min Bulugh al-Maram bahawa: hadith ini merupakan hadith yang lengkap merangkumi  semua hukum-hukum waris, dan Allah SWT telah menjelaskannya secara terperinci dan jelas dengan membagikannya kepada yang berhak. Selain itu Allah memerintahkan agar harta pusaka disalurkan kepada waris-warisnya. Mereka yang didahulukan adalah orang-orang yang memiliki hubungan darah, dan baki selepas pembahagian  diberikan kepada waris lelaki, iaitu waris dari furu’ (anak, cucu lelaki dan ke bawah), usul (bapa, datuk dan ke atas), cabang-cabang keturunan lelaki dari usul, dan golongan di bawah wilayahnya iaitu hamba. (Lihat Taudih al-Ahkam Min Bulugh al-Maram, 5/153)

Di Dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji, antara lain menyebutkan: “Pelaksanaan hukum pusaka adalah wajib. Sistem pusaka adalah suatu sistem yang sah berdasarkan kepada nas-nas al-Quran, al-Sunnah dan ijma’ ulama’. Ia sama seperti hukum berkenaan sembahyang, zakat, muamalat dan hudud. Ia wajib dilaksana dan diamalkan. Tidak harus diubah atau diabaikan sekalipun ia telah lama disyariatkan.(Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/284-286)

Justeru kami katakan harta peninggalan si mati hendaklah dibahagikan kepada ahli waris mengikut ketetapan syara’ dan apa yang berbaki selepas pembahagian dibuat hendaklah disalurkan kepada waris lelaki yang mempunyai pertalian darah dengan si mati iaitu a’sabah

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّار

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Wallahua’lam

Bertarikh: 23 Oktober 2023 bersamaan 8 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply