Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. , Saya ada persoalan berkenaan wang tidak patuh Syariah. Adakah dibenarkan wang tidak patuh Syariah digunakan untuk mangsa banjir. Terima kasih.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Pada asalnya wang yang diperolehi daripada sumber yang diharamkan oleh syara’ seperti perjudian dan pelacuran, adalah tidak boleh digunakan.” Jika pendapatan tersebut semata-mata daripada akviti yang haram, maka jadilah wang itu adalah wang haram, manala jika bercampur antara halal dan haram, maka jadilah wang itu wang syubhah. (Lihat al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 3/67)

Daripada Abu Mas`ud al-Ansori RA, katanya:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنْ ثَمَنِ الكَلْبِ، وَمَهْرِ البَغِيِّ، وَحُلْوَانِ الكَاهِنِ

Maksudnya: “Bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW melarang daripada hasil jualan anjing, mahar (bayaran upah) pelacur, dan upah kahin (pawang yang menilik masa depan).”

 Riwayat al-Bukhari (2237)

Banjir merupakan bencana yang menimpa umat di kebanyakan negara yang mempunyai sungai. Bahkan, berlaku juga dengan sebab limpahan hujan yang banyak pada longkang-longkang atau salliran. Akibat daripada banjir, boleh merugikan dengan jumlah yang besar.

Begitu juga, kadang-kadang membawa kehilangan nyawa. Maka, sudah tentu mangsa banjir memerlukan bantuan terutamanya tempat tinggal, kain selimut, bantal, alas tempat tidur atau tilam, begitu juga, pakaian solat, lampin bayi, pampers, hatta kepada makanan dan minuman yang diperlukan termasuk juga ubat-ubatan.

Justeru, bantuan perlu disegerakan dan pelbagai bantuan yang terdesak seperti makan minum di samping duit amat-amat dieprlukan. Makanya, satu langkah yang benar-benar berkesan dalam menangani isu ini hendaklah dilaksanakan sebaik mungkin, termasuklah isu zakat, sedekah dan pemberian kepada mangsa banjir.

Berkenaan dengan persoalan wang tidak patuh syariah, maka hal ini telah dibahaskan oleh para ulama di mana konsep penggunaan ditekankan dan batasan keharusan penggunaan juga dibincangkan dengan panjang lebar oleh para ulama.

Pada asalnya, pemberian hendaklah daripada sumber yang halal, bahkan ditekankan dalam Islam. Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda:

إنَّ اللَّهَ طَيِّبٌ لَا يَقْبَلُ إلَّا طَيِّبًا، وَإِنَّ اللَّهَ أَمَرَ الْمُؤْمِنِينَ بِمَا أَمَرَ بِهِ الْمُرْسَلِينَ فَقَالَ تَعَالَى: “يَا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلُوا مِنْ الطَّيِّبَاتِ وَاعْمَلُوا صَالِحًا”، وَقَالَ تَعَالَى: “يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ” ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ إلَى السَّمَاءِ: يَا رَبِّ! يَا رَبِّ! وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ، وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ، وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ، وَغُذِّيَ بِالْحَرَامِ، فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لَهُ؟

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah Ta’ala Maha Baik dan hanya menerima yang baik. Sesungguhnya Allah telah memerintahkan orang-orang yang beriman untuk (melakukan) perintah yang disampaikan kepada para nabi. Kemudian baginda membaca firman Allah (yang bermaksud), ‘Wahai rasul-rasul, makanlah firmamakanan yang baik-baik dan kerjakanlah amalan yang soleh. Dan firman-Nya (yang bermaksud), ‘Wahai orang-orang yang beriman, makanlah dari makanan yang baik-baik yang telah Kami anugerahkan kepadamu. Kemudian Baginda menceritakan seorang lelaki yang melakukan perjalanan jauh (lama), tubuhnya diliputi debu lagi kusut, dia menadah tangannya ke langit dan berdoa, ‘Ya Rabb, ya Rabb. Akan tetapi makanannya haram, minumannya haram, dan ia diberi makan dengan yang haram. Maka bagaimana mungkin doanya dikabulkan?”

Riwayat Muslim (1015)

Firman Allah SWT:

 يَا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلُوا مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَاعْمَلُوا صَالِحًا ۖ إِنِّي بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ

Maksudnya: Wahai Rasul-rasul, makanlah dari benda-benda yang baik lagi halal dan kerjakanlah amal-amal soleh; sesungguhnya Aku Maha Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.

(Surah al-Mukminun: 51)

Ibn Rajab al-Hanbali berkata: “Dikehendaki dengan ayat ini bahawa para Rasul dan umat mereka diperintahkan untuk memilih makanan yang baik yang halal dan beramal dengan amalan soleh. Ini kerana, apabila makanan itu halal maka sudah tentu amalan soleh akan diterima oleh Allah.”

Al-Maraghi berkata: “Walaupun perintah ini ditujukan kepada para Nabi namun umat juga disaran untuk mengikuti mereka. la seolah-olah Allah SWT berfirman kepada kita: Wahai kaum Muslimin yang berada di seluruh pelusuk bumi, makanlah makanan yang halal, bersih dan baik. Yang halal ialah yang tidak mengandungi penderhakaan kepada Allah, manakala yang bersih ialah tidak mengandungi perkara yang dapat melupakan Allah, yang baik pula ialah dapat menahan nafsu dan memelihara akal. Oleh itu, kerjakanlah amal soleh.”

Inilah yang septatunya sebagai seorang mukmin dan muslim mencari sumber yang halal seratus peratus.

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas kami nyatakan suatu pendapatan/ wang yang diperolehi dari sumber yang haram boleh digunakan untuk tujuan kebajikan dan maslahah awam, tetapi dengan syarat pemberinya itu sudah bertaubat dan ingin berlepas diri daripada dosanya itu.

Imam al-Nawawi menukilkan fatwa Imam al-Ghazali Rahimahullah dalam kitab al-Majmu` Syarh al-Muhazzab (9/351):

“Sekiranya bersama seseorang itu suatu harta haram dan dia ingin bertaubat dan melepaskan diri daripada harta haram itu, maka jika harta itu mempunyai pemilik yang tertentu, hendaklah dipulangkan kepadanya atau kepada wakilnya. Jika dia sudah mati, wajib diserahkan kepada warisnya. Jika tidak diketahui siapa warisnya dan sudah berputus asa daripada mengetahuinya, maka wajib orang tadi menggunakan harta itu bagi keperluan umat Islam yang umum, seperti untuk (keperluan) jambatan, ribat-ribat (kandang kuda, tempat pengajian, atau tempat golongan Sufi berkumpul), masjid-masjid, dan keperluan jalan raya Makkah, dan seumpamanya daripada segi boleh dikongsi bersama orang Islam…”

Namun, tegas kami di sini, meskipun ianya boleh digunakan untuk kebajikan, namun ia bukan bermakna pendapat ini redha atas kemaksiatan. Oleh sebab itu, kami sebutkan dengan syarat hendaklah bertaubat dan tidak mahu mengulangi perbuatan maksiat itu lagi. Janganlah melakukan suatu kebajikan itu, dari sumber yang salah, sebaliknya buatlah sesuatu amal dengan sumber yang halal dan baik.

Semoga penjelasan ini memberikan manfaat kepada kita semua. Kami akhiri persoalan kali ini dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا ، وَرِزْقًا طَيِّبًا ، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.

Wallahua`lam.

 

Bertarikh: 23 Oktober 2023 bersamaan 8 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply