Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada terbaca satu hadith yang mengatakan bahawa perkara pertama yang akan dihisab di akhirat kelak adalah perkara yang melibatkan darah manusia atau pembunuhan. Tetapi, ada pula ustaz yang menyebut bahawa solat merupakan perkara pertama yang dihisab. Mana satu yang benar kerana seakan-akan ada pertembungan antara keduanya? Mohon pencerahan.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

وَوُضِعَ الْكِتَابُ فَتَرَى الْمُجْرِمِينَ مُشْفِقِينَ مِمَّا فِيهِ وَيَقُولُونَ يَا وَيْلَتَنَا مَالِ هَٰذَا الْكِتَابِ لَا يُغَادِرُ صَغِيرَةً وَلَا كَبِيرَةً إِلَّا أَحْصَاهَا ۚ وَوَجَدُوا مَا عَمِلُوا حَاضِرًا ۗ وَلَا يَظْلِمُ رَبُّكَ أَحَدًا

Maksudnya: “Dan “Kitab-kitab Amal” juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata:” Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!” Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorangpun.

(Surah al-Kahfi: 49)

Pertembungan di dalam bahasa Arab disebutkan sebagai al-ta‘arudh (التَّعَارُضُ), yang didefinisikan menurut ilmuan usul fiqh sebagai suatu percanggahan antara dua perkara, yang mana percanggahan itu menghalang apa yang dimaksudkan antara satu dengan yang lain. (Lihat Nihayah al-Sul Sarh Minhaj al-Wusul, hlm. 254)

Al-ta‘arudh ini boleh berlaku antara perkara-perkara yang berikut:

  • Antara 2 perkara yang dinukilkan dari syara‘.
  • Antara 2 perkara yang menggunakan logik akal.
  • Antara perkara yang dinukilkan dari syara‘ dan perkara yang menggunakan logik akal.

Melihat kepada persoalan yang diajukan oleh saudara, ia lebih merujuk kepada al-ta‘arudh yang berlaku di antara 2 perkara yang dinukilkan dari syara‘, iaitu di antara satu hadith dengan hadith yang lainnya. Apabila berlakunya percanggahan pada  2 perkara yang dinukilkan dari syara‘, terdapat beberapa kaedah yang telah digariskan oleh para ulama‘ sebagai tujuan mengharmonikan semula perbahasan ini. Hal ini kerana, tidak mungkin syara‘ membincangkan satu-satu perkara dengan 2 kesimpulan yang berbeza tanpa sebarang alasan atau sebab yang membezakan kedua-duanya. Antara kaedah apabila berlakunya percanggahan ini adalah berdasakan tertib berikut:

  • Al-Jam‘ (الجَمْعُ): Iaitu menghimpunkan kedua-dua nas, dengan mengamalkan kedua-dua hukum yang disebutkan itu.
  • Al-Tarjih (التَّرْجِيحُ): Iaitu dengan mendahulukan satu nas ke atas nas yang lainnya. Ini hanya boleh dilakukan apabila tidak mampu untuk menghimpun kedua nas yang bertentangan.
  • Al-Naskh (النَّسْخُ): Apabila tidak boleh untuk didahulukan salah satunya, perlu dikenal pasti manakah antara kedua nas tersebut yang dinukilkan terkemudian. Maka yang terkemudian itu akan diambil, dan yang awal itu dihukumkan sebagai terbatal.
  • Al-Tawaqquf (التَّوَقُّفُ): Sekiranya tidak mampu untuk mengenal pasti manakah yang terkemudian, maka barulah dianjurkan untuk tawaqquf dengan tidak mengamalkan kedua-dua nas tersebut, tanpa menafikan kesahihan periwayatannya.

Inilah pandangan jumhur ulama’ usul fiqh apabila berlakunya al-ta‘arudh di antara 2 perkara yang dinukilkan dari syara‘. Syeikh Ibrahim al-Hafnawi mengemukakan 3 hujjah mengapa al-Jam‘ (الجَمْعُ) didahulukan berbanding kaedah yang lain.

Pertama: Allah SWT telah menjadikan dalil-dalil syara‘ itu untuk diambil faedah hukum darinya. Oleh yang demikian, hukum asal adalah mesti beramal dengan dalil syara‘.

Kedua: Kedua-dua dalil yang bertembung itu jika boleh untuk kita beramal dengan keduanya, maka wajib hukum beramal dengan menghimpunkan kedua-duanya.

Ketiga: Menghimpunkan dan beramal dengan keduanya lebih afdhal kerana boleh membungkam perselisihan yang terkadang seakan menampakkan kekurangan dan kelemahan sesuatu dalil. (Lihat al-Ta‘arudh wa al-Tarjih, hlm. 68)

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, ia bertitik tolak dari hadith yang diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَوَّلُ مَا يُقْضَى بَيْنَ النَّاسِ بِالدِّمَاءِ

Maksudnya: “Perkara pertama yang akan dibuat keputusan (pada Hari Kiamat) antara manusia adalah mengenai pertumpahan darah (dari segi huquq al-‘ibad [hak-hak para hamba]).”

Riwayat al-Bukhari (6533) dan Muslim (1678)

Dalam hadith yang lain pula, diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَوَّلُ مَا يُحَاسَبُ بِهِ الْعَبْدُ صَلاَتُهُ

Maksudnya: “Perkara pertama yang akan seseorang hamba itu dihitung (pada Hari Kiamat) adalah mengenai solatnya.”

Riwayat al-Nasa’ie (467), Ibn Majah (1426), al-Tirmizi (413) dan Abu Dawud (864)

Pada zahir hadith, seakan-akan berlakunya pertembungan yang jelas antara keduanya. Hadith yang pertama mengatakan bahawa perkara pertama yang akan dihisab di akhirat kelak adalah mengenai pertumpahan darah, manakala hadith kedua mengatakan bahawa perkara pertama yang akan dihisab adalah solat seseorang itu.

Dalam merungkai masalah ini, Syeikh ‘Abdullah bin ‘Abd al-Rahman al-Bassam berkata, hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim ini tidaklah menafikan apa yang diriwayatkan oleh ashab al-Sunan. Ini kerana hadith pertama itu berkaitan hak hamba sesama mereka, dan hadith kedua pula berkaitan hak hamba dengan hak penciptanya iaitu Allah SWT. Dan tidak syak lagi, hak manusia yang paling besar adalah darah (nyawanya), dan hak Allah SWT ke atas seorang Muslim yang paling besar adalah solatnya. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 6/81)

Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin mengatakan, perkara pertama yang akan dihisab oleh seorang hamba di antara amalannya pada hari kiamat adalah solat, dan ini berkaitan dengan hak Allah SWT. Jika baik solatnya, maka dia telah berjaya. Jika tidak baik solatnya, maka dia telah gagal dan sia-sia amalannya. Moga dipelihara oleh Allah SWT.

Adapun yang berkaitan dengan hak sesama manusia, maka perkara pertama yang akan dihitung adalah berkaitan dengan darah, kerana ia merupakan hak yang paling besar. (Lihat Syarh Riyadh al-Salihin, 5/103)

Kesimpulan

Melihat kepada kenyataan ulama’ yang kami bawakan, kedua-dua hadith ini mungkin zahirnya terlihat adanya pertembungan. Akan tetapi, boleh untuk dihimpunkan keduanya dengan kaedah al-Jam‘ (الجَمْعُ), kerana hadith pertama berkaitan dengan hak sesama manusia, dan hadith kedua pula berkaitan dengan hak hamba dengan Allah SWT.

Beginilah serba ringkas yang mampu kami terangkan berkenaan pertembungan yang berlaku antara kedua hadith di atas. Semoga, ia mampu membungkam kekeliruan yang timbul dan kita dapat beroleh manfaat darinya. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 24 Oktober 2023 bersamaan 9 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply