Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum memandikan orang yang dibunuh secara zalim? Sebabnya saya dengar ada yang kata tidak perlu dimandikan kerana mereka juga dikira sebagai syahid. Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sebagai seorang Islam, apabila berlaku kematian hendaklah disegerakan jenazahnya dengan memandi, mengkafan, solat dan dan kebumikannya. Ini seperti yang dinyatakan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَسْرِعُوا بِالْجَنَازَةِ فَإِنْ تَكُ صَالِحَةً فَخَيْرٌ تُقَدِّمُونَهَا عَلَيْهِ وَإِنْ تَكُنْ غَيْرَ ذَلِكَ فَشَرٌّ تَضَعُونَهُ عَنْ رِقَابِكُمْ

Maksudnya: “Segerakanlah dengan jenazah. Sekiranya dia merupakan jenazah yang soleh, nescaya dia merupakan suatu kebaikan yang kamu hantarkan ia padanya. Namun sekiranya dia tidak soleh, maka itu suatu keburukan yang kamu pikul di atas bahu-bahu kamu.”

Riwayat al-Bukhari (1315) dan Muslim (944)

Pertamanya, secara umumnya, memandikan jenazah adalah suatu kewajipan yang diletakkan di dalam fardhu kifayah. Hal ini bermakna, kewajipan itu wajib ke atas masyarakat di sesuatu tempat, dan kewajipan itu hanya akan terangkat atau dikira selesai apabila sebahagian daripada masyarakat menunaikan tanggungjawab tersebut. Bahkan kewajipan memandikan jenazah ini berasal daripada arahan Nabi SAW sendiri.

Terdapat riwayat menceritakan bahawa ketika berlakunya tragedi seorang lelaki yang mati akibat terjatuh daripada unta, maka diseru untuk dimandikan jenazahnya, sepertimana hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.Anhuma:

اغْسِلُوهُ بِمَاءٍ وَسِدْرٍ, وَكَفِّنُوهُ فِي ثَوْبَيْنِ

Maksudnya: “Mandikanlah dia dengan air yang dicampur daun bidara dan kafanilah dengan dua helai kain.”

Riwayat al-Bukhari (1265) dan Muslim (1206)

Menurut Syeikh Abdullah al-Bassam, hadith ini menunjukkan kepada anjuran atau galakkan (sunat) untuk menyegerakan pengurusan jenazah, sekiranya kematiannya tidak berlaku secara mengejut. Ini kerana perlu dipastikan akan kematiannya terlebih dahulu atau dilewatkan disebabkan oleh maslahah supaya ramai orang melakukan solat jenazah untuknya atau kerana menunggu kehadiran kaum kerabat dan sebagainya. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/163).

Keduanya, dalam menjawab soalan di atas, para ulama berbeza pendapat mengenai hukum memandikan orang yang dibunuh secara zalim. Sebenarnya jika diteliti perbezaan pendapat mengenai hal ini dalam kalangan ulama adalah kembali semula kepada perbezaan mereka dalam menentukan status syahid orang yang dibunuh secara zalim itu, yakni dikira sebagai syahid dunia akhirat atau hanya syahid akhirat sahaja.

Menurut pendapat yang masyhur dalam mazhab Imam Ahmad, orang yang mati dibunuh secara zalim tidak perlu dimandikan mahupun disolatkan. Ini adalah sebagaimana dinyatakan dalam Kassyaf al-Qina‘ (4/89) bahawa sesiapa yang dibunuh secara zalim bukan ketika peperangan, maka dia diberi status syahid orang yang mati dalam peperangan, dari sudut dia tidak perlu dimandikan mahupun disolatkan.

Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat Sa‘id bin Zaid R.A, katanya: Aku mendengar Nabi SAW bersabda:

مَنْ قُتِلَ دُونَ مَالِهِ فَهُوَ شَهِيدٌ، وَمَنْ قُتِلَ دُونَ أَهْلِهِ فَهُوَ شَهِيدٌ، وَمَنْ قُتِلَ دُونَ دِينِهِ فَهُوَ شَهِيدٌ، وَمَنْ قُتِلَ دُونَ دَمِهِ فَهُوَ شَهِيدٌ

Maksudnya: “Sesiapa yang dibunuh kerana mempertahankan hartanya maka dia mati syahid. Sesiapa yang dibunuh kerana mempertahankan keluarganya, maka dia mati syahid. Sesiapa yang dibunuh kerana mempertahankan agamanya, maka dia mati syahid. Sesiapa yang dibunuh kerana mempertahankan dirinya, maka dia mati syahid.

Riwayat Ahmad (1652); Abu Daud (4772); al-Nasa’i (4095) dan al-Tirmizi (1421). Imam Tirmizi menilai Hadith ini sebagai hasan sahih.

Menurut Syeikh Abdullah al-Bassam, orang yang dibunuh secara zalim tidak perlu dimandikan mahupun disolatkan kerana mereka telah mati atau dibunuh secara tanpa hak. Jadi, dia menyerupai seseorang yang dibunuh oleh orang kafir (dalam peperangan), maka tidak perlu memandikan mayatnya. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/177).

Manakala jumhur ulama termasuklah satu riwayat daripada Imam Ahmad berpendapat, orang yang mati atau dibunuh secara zalim hanya dikira sebagai syahid akhirat sahaja. Dalam erti kata lain, mereka hanya mengambil hukum syahid dalam peperangan bersama orang kafir dari sudut pahalanya sahaja, dan bukannya mengambil hukum mereka di dunia. Oleh sebab itu, mereka tetap perlu dimandikan dan disolatkan. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 29/174).

Selain itu, al-Munawi ketika menjelaskan hadith di atas menyebutkan, syahid di sini adalah merujuk kepada syahid akhirat, bukanlah syahid dunia akhirat — di mana dia tidak perlu dimandikan dan disolatkan). (Lihat Faidh al-Qadir, 6/195). Begitu juga Syams al-Haq al-‘Azim Abadi menyatakan, syahid tersebut bermakna orang yang syahid akhirat iaitu baginya pahala syahid. (Lihat ‘Aun al-Ma‘bud, 9/2063).

Selain daripada itu, Syeikh Abdullah al-Bassam juga ada menjelaskan berkenaan pendapat jumhur ini, di mana beliau menyebutkan, ini kerana kedudukan mereka tidak sama dengan kedudukan orang yang mati syahid dalam peperangan. Kedudukan mujahid (para pejuang) dalam peperangan fi sabilillah lebih tinggi kerana mereka membahayakan nyawa mereka dalam peperangan untuk menegakkan dan meninggikan kalimah Allah SWT, maka sudah pasti tidak ada kedudukan yang setara atau sebanding dengannya. Firman Allah SWT:

وَلَا تَحْسَبَنَّ الَّذِينَ قُتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَمْوَاتًا ۚ بَلْ أَحْيَاءٌ عِندَ رَبِّهِمْ يُرْزَقُونَ ‎﴿١٦٩﴾‏ فَرِحِينَ بِمَا آتَاهُمُ اللَّهُ مِن فَضْلِهِ

Maksudnya: “Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki (169); (Dan juga) mereka bersukacita dengan kurniaan Allah (balasan mati Syahid) yang telah dilimpahkan kepada mereka.”

(Surah Ali ‘Imran: 169-170)

Oleh itu, mengaitkan orang lain dengan mereka (para syuhada’) dalam hukum-hukum yang jelas adalah tidak tepat, dan hadith yang telah dijadikan sebagai dalil untuk mengaitkannya tidak menunjukkan kepada perkara ini. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/178).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa orang yang mati atau dibunuh secara zalim termasuk dalam golongan mereka yang dianggap sebagai mati syahid. Walau bagaimanapun, syahid yang dimaksudkan di sini ialah syahid akhirat iaitu mendapat pahala syahid di hari akhirat kelak. Adapun semasa di dunia, jenazah mereka masih perlu diuruskan seperti biasa iaitu perlu dimandikan dan disolatkan.

Kurniaan gelaran syahid kepada mereka ini sebenarnya dianugerahkan sendiri oleh Rasulullah SAW berdasarkan riwayat yang sahih. Namun, hakikatnya hanya Allah SWT jualah yang Maha Mengetahui hakikat seseorang itu sama ada syahid ataupun sebaliknya. Oleh itu, kita mendoakan dan mengharapkan ganjaran syahid kepada orang yang mati dalam keadaan syahid seperti mana yang dikhabarkan oleh Rasulullah SAW tanpa kita menetapkannya secara qat‘i dan kita bersangka baik dengannya.

Kami akhiri dengan riwayat daripada Sahl bin Hunaif bahawa Nabi SAW bersabda:

مَن سَأَلَ اللَّهَ الشَّهادَةَ بصِدْقٍ، بَلَّغَهُ اللَّهُ مَنازِلَ الشُّهَداءِ، وإنْ ماتَ على فِراشِهِ

Maksudnya:Sesiapa yang memohon kepada Allah SWT mati syahid dengan sebenar-benar pengharapan, Allah SWT akan mengurniakannya kedudukan para syuhada’ sekalipun dia mati di atas katilnya (tempat tidur).

Riwayat Muslim (1909)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

Bertarikh: 24 Oktober 2023 bersamaan 9 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply