Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah orang yang akan dihukum dengan hukuman qisas itu boleh menggunakan suntikan anestetik bagi mengurangkan rasa sakit?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Qisas merupakan ketetapan syara‘ yang telah disyari‘atkan berdasarkan firman Allah SWT:

 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِصَاصُ فِي الْقَتْلَى ۖ  الْحُرُّ بِالْحُرِّ وَالْعَبْدُ بِالْعَبْدِ وَالْأُنثَىٰ بِالْأُنثَىٰ ۚ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman Qisas (balasan yang seimbang) dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh iaitu: orang merdeka dengan orang merdeka, dan hamba dengan hamba, dan perempuan dengan perempuan.”

(Surah al-Baqarah: 178)

Ia tidak lain bertujuan untuk mengelakkan dari berlakunya kekacauan, kacau-bilau dan tersebarnya budaya jenayah yang merupakan salah satu hasutan syaitan kepada pengikutnya. Kerana itulah Allah SWT berpesan di dalam firman-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.”

(Surah al-Baqarah: 208)

Hukuman qisas itu ditetapkan pastinya dengan hikmah dan sebab yang tertentu. Para ilmuan Islam telah banyak menggariskan perkara ini sama ada secara langsung atau tidak langsung di dalam penulisan mereka, antaranya adalah:

  • Apabila diketahui akibat yang akan diterima oleh pelaku jenayah, ia mampu menghalang sesiapa sahaja yang dirinya terpanggil untuk melakukan maksiat jenayah dari terus melakukannya.
  • Ia juga akan mencegah pelaku maksiat jenayah ini dari mengulangi perkara yang sama apabila dia mengingati akibat yang telah dilaluinya.
  • Balasan ini sebagai penyucian dosa bagi pelaku jenayah tersebut.

Adapun hikmah yang lebih mendalam dari itu, pensyari‘atan hukum ini merupakan salah satu bentuk rahmat Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya, sifat ihsan-Nya kepada mereka, dan juga sebagai bentuk didikan kepada masyarakat dari segi kelakuan dan tingkah laku mereka. (Lihat Tabyin al-Haqa’iq, 3/538; Qawa‘id al-Ahkam, 1/163-165; al-Fawakih al-Dawani, 2/291; I‘lam al-Muwaqqi‘in, 2/95)

Penggunaan Anestetik Ketika Hukuman Qisas

Anestetik menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat merujuk kepada sejenis bahan atau ubat bius yang menyebabkan tubuh badan tidak sensitif kepada rasa sakit, sentuhan, dan sebagainya.

Berdasarkan definisi anestetik ini, kita ketahui bahawa penggunaannya akan memberikan kelebihan kepada pelaku jenayah dengan tidak merasai sebarang kesakitan, sedangkan dia telah memberikan mimpi ngeri kesakitan yang menyiksa dan kepahitan kepada mangsa.

Sedangkan Allah SWT telah berfirman:

وَإِنْ عَاقَبْتُمْ فَعَاقِبُوا بِمِثْلِ مَا عُوقِبْتُم بِهِ ۖ

Maksudnya: “Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan), maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yang sama seperti yang telah ditimpakan kepada kamu.”

(Surah al-Nahl: 126)

Dan Allah SWT telah berfirman:

 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِصَاصُ فِي الْقَتْلَى ۖ  الْحُرُّ بِالْحُرِّ وَالْعَبْدُ بِالْعَبْدِ وَالْأُنثَىٰ بِالْأُنثَىٰ ۚ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman Qisas (balasan yang seimbang) dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh iaitu: orang merdeka dengan orang merdeka, dan hamba dengan hamba, dan perempuan dengan perempuan.”

(Surah al-Baqarah: 178)

Syeikh Sa‘d bin ‘Ali Turki al-Ja‘lud berkata, penjenayah itu telah melakukan 2 perkara: menyakitkan dan mencederakan. Maka kedua-dua unsur ini perlu ada dalam pelaksanaan hukuman qisas. (Lihat al-Nawazil al-Fiqhiyyah fi al-Jinayat wa al-Hudud wa Tatbiqatuha al-Qadha’iyyah, 1/44)

Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin menyebutkan, sekiranya diberikan anestetik kepada penjenayah, nescaya tidak sempurnalah pelaksanaan qisas itu. Berbeza dengan penggunaannya dalam hukuman hudud Allah SWT seperti mencuri, dengan dipotong tangan atau kaki secara bersilang, maka ini dibolehkan kerana tujuan hudud itu adalah menghilangkan fungsi anggota sahaja tanpa menyakitkannya.  (Lihat al-Syarh al-Mumti‘ ‘ala Zad al-Mustaqni‘, 14/77)

Majlis Hai’ah Kibar Ulama’ juga telah membincangkan isu ini di dalam qarar (191) pada 14 Februari 1999. Pada pertemuan kali ke 50 yang berlangsung di  Riyadh, bermula pada 6 Februari 1999, mereka membincangkan perihal hukum penggunaan anestetik ketika menjalani hukuman qisas pada perkara yang tidak melibatkan pembunuhan. Mereka berpandangan bahawa anestetik ini tidak boleh digunakan sekiranya hukum qisas itu berkaitan dengan pembunuhan. Hal ini kerana qisas dengan penggunaan anestetik ini tidak menjadikan ianya sebagai balas dendam orang yang dibunuh ke atas pembunuh itu, maka hilanglah hikmah qisas itu dengan hilangnya kesakitan yang dirasai oleh penjeayah itu, yang mana kesakitan itu dirasai oleh mangsa ketika dibunuh.

Akan tetapi, majoriti ahli majlis membenarkan penggunaan bius anestetik semasa dijalankan hukuman qisas bagi jenayah yang tidak melibatkan pembunuhan, dengan syarat ianya dipersetujui oleh mangsa.

Syeikh Su‘ud al-‘Utaibi pula mengatakan, pelaksanaan hukum dengan penggunaan anestetik adalah dibolehkan pada hukuman potong tangan atau hukuman hudud mati yang melibatkan hak Allah SWT. Manakala penggunaan anestetik pada hukuman mati atau selainnya yang melibatkan hak sesama manusia seperti qisas, maka pelaksanaanya tidak boleh dilakukan dengan penggunaan anestetik kecuali jika diredhai oleh pemilik hak tersebut (mangsa). (Lihat al-Mausu‘ah al-Jina’iyyah al-Muqarinah bi al-Anzimah al-Ma‘mul biha fi al-Mamlakah al-‘Arabiyyah al-Su‘udiyyah, hlm. 171)

Kesimpulan

Melihat kepada perbincangan di atas, kami simpulkan bahawa penggunaan anestetik dalam pelaksanaan qisas adalah tidak dibenarkan kerana tidak mencapai tujuan asal pelaksanaan hukum itu, iaitu membalas dengan balasan yang sama kepada pelaku jenayah terssebut.

Maka tidak sempurna hukuman qisas yang melibatkan bunuh itu melainkan memenuhi 2 unsur utama ini:

  • Menyakitkan
  • Mencederakan

Akan tetapi, sekiranya keluarga mangsa meredhai penggunaan anestetik oleh penjenayah itu semasa hukuman qisas dilaksanakan, maka hukum penggunaanya dibolehkan.

Semoga penerangan ini dapat membuka ruang perbincangan yang lebih luas dalam medan hukum dan pengadilan, di samping dapat memberikan ilmu pengetahuan yang baharu kepada masyarakat majmuk. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 24 Oktober 2023 bersamaan 9 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply