Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya berkenaan dengan harta pusaka, adakah boleh membahagikan harta pusaka kepada ahli keluarga yang bukan Islam? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Ilmu faraidh pada syara’ bermaksud pengetahuan mendalam tentang pusaka dan ilmu kira-kira yang membolehkan kita mengetahui bahagian pusaka yang berhak diterima oleh orang-orang yang berhak. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/273)

Hukum pusaka ini telah disyariatkan dalam Islam dan telah dinaskan oleh al-Quran, al-Sunnah serta ijma’ ulama’. Orang-orang yang mengingkari pensyariatan hukum pusaka adalah kafir dan keluar daripada Islam. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ مِمَّا قَلَّ مِنْهُ أَوْ كَثُرَ ۚ نَصِيبًا مَّفْرُوضًا

Maksudnya: “Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).

(Surah al-Nisa’: 7)

Para ulama ketika menerangkan sebab penurunan ayat ini menyatakan bahawa ketika zaman sebelum datangnya Islam (zaman jahiliyyah), wanita dan kanak-kanak tidak berhak mendapat sedikit pun daripada harta pusaka yang ditinggalkan ahli keluarga mereka. Ini adalah kerana pada ketika itu, hanya lelaki yang boleh mempertahankan kabilah dan keluarga sahaja mewarisi harta pusaka. Hal ini dapat dilihat dalam satu kisah yang direkodkan bahawa ada seorang lelaki dari kaum Ansar meninggal dunia sebelum diturunkan ayat ini, dalam masa yang sama dia meninggalkan empat orang anak perempuan. Namun, kesemua harta yang ditinggalkan diambil oleh sepupunya. Oleh  kerana itu, Allah SWT menurunkan ayat ini yang menyatakan bahawa wanita juga berhak mendapat sebahagian daripada harta pusaka dan sekali gus memuliakan wanita. (Lihat Tafsir Muqatil Bin Sulaiman, 127/5; Tafsir al-Tabari, 597/7; Tafsir al-Maturidi, 28/3; al-Mufassal fi Tarikh al-Arab Qabla al-Islam, 237/10)

Ayat-ayat berkenaan pusaka di dalam al-Quran jelas mengesahkan bahawa pusaka adalah disyariatkan. Berdasarkan nas di atas, disebut kalimah مِّمَّا تَرَكَ iaitu daripada apa yang ditinggalkan oleh si mati, maka ia dianggap pusaka selama mana ia adalah termasuk dalam harta; sama ada wang ringgit, kenderaan, pakaian, rumah, dan lain-lain.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

تَعَلَّمُوا الفَرائِضَ، فإنَّهَا مِن دِينِكُمْ، وَإِّنَّهَا نِصْفُ العِلْمِ، وَإنَّهُ أَوَّلُ مَا يُنزَعُ مِنْ أمَّتي

Maksudnya: Pelajarilah ilmu faraid kerana ia merupakan sebahagian daripada agama kamu dan ia adalah setengan daripada ilmu. Ia juga adala ilmu yang pertama dicabut daripada umatku.

Riwayat Ibn Majah (2719)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan harta peninggalan dari harta si mati hendaklah dibahagikan mengikut pembahagian yang telah ditetapkan oleh syara’. Allah SWT telah memperincikan pembahagian faraid ini melalui nas-nas al-Quran dan juga diterangkan juga melalui hadith nabi. Kewajipan ini dapat dilihat menerusi hadith yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَلْحِقُوا الْفَرَائِضَ بِأَهْلِهَا، فَمَا بَقِىَ فَهْوَ لأَوْلَى رَجُلٍ ذَكَرٍ

Maksudnya: “Serahkanlah harta-harta pusaka kepada pemiliknya. Sekiranya ada baki, serahkanlah kepada kaum keluarga lelaki yang terdekat.”

Riwayat al-Bukhari (6351)

Dalam isu pembahagian harta pusaka kepada ahli keluarga yang bukan islam kami katakan syara’ tidak membenarkan pembahagian pusaka melainkan kepada waris yang beragama islam. Perkara ini jelas dinyatakan dalam nas hadith sepertimana yang diriwayatkan daripada Usamah Bin Zaid R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يَرِثُ المُسْلِمُ الكَافِرَ وَلاَ الكَافِرُ المُسْلِمَ

Maksudnya: Tidak mewarisi seorang Muslim daripada seorang kafir dan tidak mewarisi seorang kafir daripada seorang Muslim.

Riwayat al-Bukhari (6764) dan Muslim (1614)

Pendapat yang sah di antara pendapat para ulama adalah bahawa harta pusaka tidak diwariskan antara seorang Muslim dan seorang kafir, walaupun  berkaitan dengan hak walayah(hamba). Ini adalah pandangan kebanyakan  ulama. Mereka berdalilkan  pada hadith  dalam bab ini, dan ia juga merupakan  pandangan  dari  tiga mazhab yang utama melainkan Mazhab Hanbali  dan juga satu  riwayat lain dari mazhab  Imam Ahmad. Hal ini kerana Islam merupakan ikatan yang  kuat, sekiranya  ikatan  ini musnah  antara hubungan kekerabatan dalam nasab, maka terputuslah  hubungan dan ikatan yang menyebabkan terhalangnya pewarisan.

Begitu juga hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah Bin Amru R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 لا يتوارثُ أهلُ مِلَّتَيْنِ

Maksudnya: Tidak boleh mewarisi dua agama yang berlainan

Riwayat Abu Dawud(2911) dan Ibn Majah (2731)

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa: Umat islam telah bersepakat bahawa orang kafir tidak boleh mewarisi harta muslim begitu juga muslim tidak boleh mewarisi harta orang kafir. Pandangan ini merupakan pandangan jumhur ulama, tabi’in dan ulama-ulam selepas daripada mereka. (Lihat Syarh al-Nawawi ala Muslim, 11/52)

Hadith ini menunjukkan bahawa tiada penurunan harta pusaka di antara dua agama kafir yang berlainan. Jika salah satu dari keluarga itu seorang Yahudi dan yang lainnya seorang Nasrani, maka tidak ada pewarisan harta pusaka di antara mereka disebabkan perbezaan agama di antara mereka. (Lihat Taudih al-Ahkam Min Bulugh al-Maram, 5/161 )

Dalam isu Imam Ibn Abd al-Barr menyatakan : Telah thabit daripada Nabi SAW yang menyebut “Tidak mewarisi seorang Muslim daripada seorang kafir” yang diriwayatkan oleh ulama’ hadith yang thiqah. Sesiapa yang menyelisihi hadith ini akan berhujah dengannya kerana kesemua para sahabat, tabi’in, para fuqaha’ seperti Malik, al-Laith, al-Thauri, al-Auza’ie, Abu Hanifah, Al-Syafi’ie, dan kesemua ahli hadith yang menyebut feqah hadith menyatakan bahawa seseorang muslim tidak mewarisi orang kafir sebagaimana orang kafir tidak mewarisi orang islam sebagaimana yang disebutkan dalam hadith. (Lihat al-Tamhid, 9/164)

Justeru, kami menyatakan dengan jelas di sini bahawa harta milik seorang Muslim tidak boleh diwarisi oleh ahli keluarga yang bukan Islam, dan begitu juga, seorang Muslim tidak boleh mewarisi harta milik keluarganya  yang menganut agama kafir. Ini disebabkan perbezaan agama merupakan penghalang daripada mewarisi antara satu sama lain. Yang demikian juga dengan berbezanya agama, maka terputuslah hubungan kekeluargaan.

Kami syorkan jika adik-beradik yang telah memiliki harta pusaka dan menjadi haknya kemudian ingin memerikan sedikit hartanya kepada saudaranya yang bukan Islam, maka, hukumnya dibolehkan kerana ketika itu, harta tersebut dihukum miliknya.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّار

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Wallahua’lam

Bertarikh: 24 Oktober 2023 bersamaan 9 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply