#3757: Bolehkah Gugurkan Janin Dengan Sebab Tertentu?

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah dibolehkan seorang ibu itu menggugurkan janin dalam kandungan kerana adanya sebab-sebab yang dharurat?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Anak merupakan sebahagian nikmat dari banyak nikmat Allah SWT. Mereka merupakan titipan-Nya yang harus kita pelihara, jaga, dan didik dengan penuh kasih sayang. Kita bertanggung jawab untuk memastikan keselamatan dan kebahagiaan mereka di dunia dan di akhirat. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

يَهَبُ لِمَن يَشَاءُ إِنَاثًا وَيَهَبُ لِمَن يَشَاءُ الذُّكُورَ

Maksudnya: “Dia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.”

(Surah al-Syura: 49)

Dalam ayat yang lain, Allah SWT berfirman:

وَاللَّهُ جَعَلَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا وَجَعَلَ لَكُم مِّنْ أَزْوَاجِكُم بَنِينَ وَحَفَدَةً

Maksudnya: “Dan Allah menjadikan bagi kamu dari diri kamu sendiri pasangan-pasangan (isteri), dan menjadikan bagi kamu dari pasangan kamu anak-anak dan cucu-cicit.”

(Surah al-Nahl: 72)

Syeikh Muhammad Amin al-Syinqiti menyebutkan bahawa ayat ini menerang bahawa pasangan, anak-anak, dan rezeki yang baik merupakan nikmat Allah SWT yang sangat besar. (Lihat Adhwa’ al-Bayan, 2/412)

Perlu diingati bahawa setiap zuriat adalah kurniaan yang berharga dan bukan sesuatu yang boleh diambil mudah. Apatah lagi sekiranya ibu bapa tergerak untuk menggugurkan kandungan mereka tanpa sebarang sebab yang diharuskan oleh syara‘. Allah SWT telah berfirman:

إِنَّ قَتْلَهُمْ كَانَ خِطْئًا كَبِيرًا

Maksudnya: “Sesungguhnya membunuh mereka (anak-anak) itu adalah satu kesalahan yang besar.”

(Surah Al-Isra’: 31)

Fuqaha’ membezakan hukum menggugurkan janin dalam kandungan dan ianya boleh dibahagikan kepada 2, iaitu menggugurkan kandungan sebelum berusia 4 bulan dan menggugurkannya selepas berusia 4 bulan. Hal ini kerana tempoh 4 bulan merupakan tempoh kandungan itu ditiupkan padanya roh.

Ini berdasarkan hadith riwayat daripada Ibn Mas‘ud R.A, Rasulullah SAW bersabda:

إنَّ أَحَدَكُمْ يُجْمَعُ خَلْقُهُ فِيْ بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِيْنَ يَوْمَاً نُطْفَةً، ثُمَّ يَكُوْنُ عَلَقَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يَكُوْنُ مُضْغَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يُرْسَلُ إِلَيْهِ المَلَكُ فَيَنفُخُ فِيْهِ الرٌّوْحَ

Maksudnya: “Sesungguhnya setiap daripada kamu dihimpunkan penciptaannya di dalam rahim perut ibunya selama 40 hari, kemudian jadilah (nutfah) itu segumpal darah selama tempoh itu juga, kemudian jadilah (`alaqah) itu segumpal daging selama tempoh itu juga, kemudian diutuskan malaikat dan ditiupkan ke dalamnya roh.”

Riwayat al-Bukhari (3208) dan Muslim (2643)

Majlis Hai’ah Kibar Ulama’ telah membincangkan tentang hukum menggugurkan janin di dalam qarar (140) 20 Jumada al-Akhir 1407 H. Pada pertemuan kali ke 29 yang berlangsung di  Riyadh, bermula pada 9 Jumada al-Akhir 1407 H, mereka meneliti rekod-rekod pengguguran janin yang berlaku di hospital tentera di Riyadh. Selepas mereka meneliti dengan mengambil kira kesan dan risiko pengguguran ini berdasarkan usia janin tersebut, dan sebagai langkah berhati-hati agar ibu-ibu mengandung tidak tergerak untuk menggugurkan janin mereka kerana sebab-sebab yang remeh, dan juga bagi menolak keburukan dan memperoleh kebaikan, maka Majlis Hai’ah Kibar Ulama’ memutuskan:

  • Tidak boleh menggugurkan janin pada mana-mana usia sekalipun, kecuali dengan alasan yang dibenarkan oleh syara‘, dan dengan syarat yang amat ketat.
  • Jika kandungan itu pada peringkat pertama iaitu dalam tempoh 40 hari, dan ada maslahah syar‘iyyah pada pengguguran itu, atau untuk mengelakkan kemudharatan yang dijangkakan berlaku, maka dibolehkan menggugurkan janin. Akan tetapi jika pengguguran janin pada peringkat ini kerana takut akan kesusahan dalam membesarkan anak-anak, atau kerana takut tidak dapat menampung kos sara hidup dan pendidikan mereka, atau demi masa depan mereka, atau kerana merasa cukup dengan bilangan anak yang dimiliki pasangan itu, maka ini tidak dibenarkan.
  • Tidak dibenarkan menggugurkan janin jika ia pada peringkat ‘alaqah (seketul darah) atau mudghah (segumpal daging), sehinggalah jawatankuasa perubatan yang boleh dipercayai memutuskan bahawa membiarkannya boleh mendatangkan bahaya kepada keselamatan ibunya, seperti dia dikhuatiri mati, maka dibenarkan untuk menggugurkannya setelah kehabisan segala cara untuk mengelakkan bahaya tersebut.
  • Jika pada peringkat yang ketiga dan telah sempurna 4 bulan, tidak boleh menggugurkan janin itu sehinggalah keputusan pakar-pakar perubatan yang boleh dipercayai memutuskan bahawa membiarkannya boleh menyebabkan kematian si ibu, dan setelah kehabisan segala cara untuk melindungi nyawa si ibu tersebut. Ketika itu dibenarkan untuk menggugurkan janin dengan syarat-syarat yang disebutkan, bagi menolak mudharat yang lebih besar dan juga mencapai maslahah yang lebih besar.

Disebutkan pula di dalam qarar 71 (12/4) al-Majma‘ al-Fiqhi al-Islami dalam perbahasan mereka tentang pengguguran janin yang cacat. Pada pertemuan kali ke 12 yang berlangsung di  Makkah, bermula pada 15 Rejab 1410 H hingga 22 Rejab 1410 H, ahli majlis al-Majma‘ al-Fiqhi al-Islami dengan pengesahan pakar perubatan yang turut hadir bersama memutuskan bahawa:

  • Jika usia kandungan telah mencapai 120 hari, tidak dibenarkan untuk menggugurkannya, meskipun diagnosis perubatan menunjukkan bahawa ia adalah cacat. Akan tetapi, jika dibuktikan dengan laporan dari jawatankuasa doktor perubatan yang boleh dipercayai dan pakar bahawa membiarkan kehamilan itu boleh mendatangkan bahaya kepada nyawa si ibu, maka ketika itu dibenarkan untuk menggugurkannya, sama ada ia cacat atau tidak, bagi menolak mudharat yang lebih besar.
  • Jika usia kandungan belum mencapai seratus dua puluh hari, kemudian dibuktikan dan disahkan dengan laporan dari jawatankuasa doktor perubatan dan pakar yang boleh dipercayai, dan berdasarkan diagnosis menggunakan alatan dan apa sahaja cara yang mungkin, bahawa janin mengalami kecacatan yang serius dan tidak boleh dirawat, dan bahawa jika ia bertahan dan dilahirkan tepat pada waktunya, maka buruklah hidupnya dan akan menyusahkannya dan keluarganya. Maka ketika itu boleh menggugurkannya sekiranya dengan permintaan ibu bapa. (Lihat Qararat al-Majma‘ al-Fiqhi al-Islami, 71)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-26 yang telah diputuskan pada 7 Mac 1990 menyatakan:

  • Menurut Ijma‘ Fuqaha’, haram menggugurkan janin yang telah berumur lebih 120 hari kerana pengguguran itu dianggap satu jenayah bunuh ke atas janin yang telah ditiupkan roh kecuali pengguguran itu untuk menyelamatkan nyawa ibu atas sebab-sebab kecacatan yang teruk.
  • Makruh menggugurkan janin yang berumur antara satu hari hingga 40 hari sekiranya tidak mendatangkan bahaya pada ibu dan mendapat persetujuan daripada kedua-dua suami dan isteri.
  • Ijma‘ Fuqaha’ berpendapat hukum pengguguran janin yang berumur sebelum 120 hari adalah harus sekiranya janin itu cacat dan berpenyakit yang boleh membahayakan nyawa ibu.

Muzakarah telah mengambil keputusan bahawa adalah haram menggugurkan janin di dalam kandungan kecuali atas sebab-sebab kecacatan yang teruk yang boleh membahayakan nyawa ibu.

Dan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang kali ke-26 pada 7- 8 Mac 1990 telah membincangkan isu Pengguguran Kandungan Atas Nasihat Doktor Disebabkan Kecacatan dan telah bersetuju memutuskan bahawa haram hukumnya menggugurkan janin di dalam kandungan kecuali atas sebab-sebab kecacatan yang teruk yang boleh membahayakan nyawa ibu.

Pengguguran janin ini merupakan salah satu bentuk mudharat terhadap kandungan, sedangkan mendatangkan mudharat ini telah dilarang oleh syara‘. Ini berdasarkan hadith riwayat Abu Sa‘id al-Khudri R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ

Maksudnya: “Tidak boleh memudharatkan orang lain, dan tidak boleh membalas mudharat (yang dilakukan oleh orang lain dengan mudharat yang lebih besar).”

Riwayat Ahmad (22778) dan Ibn Majah (2340)

Dalam riwayat Abu Zar al-Ghifari R.A, Rasulullah SAW menyampaikan kalam Allah SWT dalam hadith qudsi, firman-Nya:

يَاعِبَادِي إِنِّي حَرَّمْتُ الظُّلْمَ عَلَى نَفْسِي وَجَعَلْتُهُ بَيْنَكُمْ مُحَرَّمًا فَلاَ تَظَالَمُوا

Maksudnya: “Wahai hamba-hamba-Ku, sesungguhnya Aku telah mengharamkan kezaliman atas diri-Ku dan Akupun jadikan kezaliman itu di antara kalian sebagai sesuatu yang haram.”

Riwayat Muslim (2577) dan Ibn Hibban (619)

Apabila dikhuatiri si berisiko menghadapi kematian kerana kandungan tersebut, maka barulah dibolehkan untuk menggugurkannya. Dan ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebut:

إِذَا تَعَارَضَ مَفْسَدَتَانِ رُوعِيَ أَعْظَمُهُمَا ضَرَرًا بِارْتِكَابِ أَخَفِّهِمَا

Maksudnya: “Apabila bertembungnya dua keburukan, maka dipelihara (ditolak) keburukan yang paling besar dengan melakukan keburukan yang lebih ringan.”

Ibn Nujaim menukilkan kata-kata Imam Al-Zaila‘ie yang menyebut: “Sesiapa yang diuji dengan dua bala (musibah) dan kedua-duanya selari (dari sudut keburukan) maka dia boleh memilih untuk melakukan salah satu mengikut kehendaknya. Namun sekiranya keduanya berbeza (dari sudut salah satu lebih besar keburukan berbanding satu yang lain) maka dia memilih (keburukan) yang paling ringan antara keduanya.” (Lihat al-Asybah wa al-Nazha’ir, hlm. 76)

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah mengatakan di dalam Majmu‘ al-Fatawa (34/160), ulama’ telah bersepakat bahawa haram hukumnya menggugurkan kandungan kerana ia termasuk dalam al-wa’d (الوَأْدُ) yang disebutkan dalam firman Allah SWT:

وَإِذَا الْمَوْءُودَةُ سُئِلَتْ ‎﴿٨﴾‏ بِأَيِّ ذَنبٍ قُتِلَتْ

Maksudnya: “Dan apabila anak perempuan yang ditanam hidup-hidup ditanya: ‘Dengan dosa apakah ia dibunuh?’.”

(Surah al-Takwir: 8-9)

Sedangkan Allah SWT telah berfirman di dalam ayat yang lain:

وَلَا تَقْتُلُوا أَوْلَادَكُمْ خَشْيَةَ إمْلَاقٍ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepada kefakiran.”

(Surah Al-Isra’: 31)

Kesimpulan

Berdasarkan nas, perbincangan dan fatwa di atas, kami simpulkan bahawa hukum menggugurkan janin dalam kandungan dengan sebab-sebab yang kuat secara umumnya adalah dibenarkan, tetapi wajib diikat dengan syarat yang berikut:

  • Pakar perubatan telah mengesahkan sekiranya janin tersebut kekal dalam kandungan untuk satu tempoh masa yang tertentu, maka ia akan membahayakan nyawa si ibu sehingga membawa kepada kematian.
  • Pakar perubatan perlu berusaha dengan apa jua cara yang ada terlebih dahulu untuk menyelamatkan kedua-duanya; si ibu dan janin dalam kandungan.

Tanpa kedua-dua syarat yang disebutkan di atas, maka hukumnya kekal haram sebagaimana yang kami perincikan permasalahannya di atas.

Dalam kesempatan ini, kami nasihat bahawa semua urusan rumah tangga, termasuk pengurusan anak-anak, sepatutnya dijalankan dengan penuh tanggungjawab dan amanah. Tanggungjawab ini adalah satu beban yang seharusnya dipikul bersama oleh suami dan isteri, sebagai satu pasangan yang menjalani kehidupan bersama. Semoga Allah SWT memberikan kepada kita semua kefahaman yang benar dalam beragama. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 24 Oktober 2023 bersamaan 9 Rabiulakhir 1445

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *