Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah isteri mewasiatkan kepada suami untuk memandikannya nanti apabila dia meninggal dunia atau sebaliknya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, secara umumnya, antara hak bagi si mati adalah dengan menyegerakan pengurusan jenazah yang meliputi pemandian, mengkafankan, mensolatkan, serta pengebumian. Ini seperti yang dinyatakan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَسْرِعُوا بِالْجَنَازَةِ فَإِنْ تَكُ صَالِحَةً فَخَيْرٌ تُقَدِّمُونَهَا عَلَيْهِ وَإِنْ تَكُنْ غَيْرَ ذَلِكَ فَشَرٌّ تَضَعُونَهُ عَنْ رِقَابِكُمْ

Maksudnya: “Segerakanlah dengan jenazah. Sekiranya dia merupakan jenazah yang soleh, nescaya dia merupakan suatu kebaikan yang kamu hantarkan ia padanya. Namun sekiranya dia tidak soleh, maka itu suatu keburukan yang kamu pikul di atas bahu-bahu kamu.

Riwayat al-Bukhari (1315) dan Muslim (944)

Berdasarkan hadith ini, disunatkan untuk disegerakan solat jenazah dan membawanya ke perkuburan. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/20 dan 2/51). Selain itu, menyegerakan pengebumian jenazah di dalam hadith di atas termasuk proses memandikan, mengkafankan, mengangkat serta mengusungnya ke tanah perkuburan. (Lihat Fatawa Syeikh Ilisy, 1/155).

Justeru, pada asasnya, jenazah hendaklah dilakukan ke atasnya empat perkara. Pertama, memandikan. Kedua, mengkafankan. Ketiga, menyembahyangkan iaitu melaksanakan solat jenazah ke atasnya. Keempat, mengebumikannya. Ini adalah asas fardu kifayah menurut ijma‘ para ulama tanpa khilaf. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 5/104).

Keduanya, merujuk dan meneliti kitab-kitab fiqh yang ditulis oleh para ulama, mereka menyatakan bahawa yang lebih utama adalah jenazah lelaki dimandikan oleh orang lelaki manakala jenazah wanita dimandikan oleh orang perempuan sendiri.

Bahkan Syeikh Abdullah al-Bassam menyebutkan, haram ke atas lelaki untuk memandikan jenazah perempuan dan begitu juga haram ke atas perempuan untuk memandikan jenazah lelaki sekalipun lelaki itu adalah mahram kepada perempuan tersebut. Oleh itu, tidak boleh bagi seorang lelaki untuk memandikan ibunya, anak perempuannya dan selain mereka yang termasuk dalam mahramnya. Dinyatakan dalam al-Mughni bahawa ini merupakan pendapat kebanyakan (majoriti) ulama. Namun, Imam Malik dan al-Syafi‘i  membolehkan ketika darurat.

Selain itu, terdapat pengecualian dalam hal tersebut, di mana seseorang lelaki dibolehkan untuk memandikan jenazah isterinya dan anak perempuan yang berumur kurang dari tujuh tahun, begitu juga dibolehkan seseorang perempuan untuk memandikan jenazah suaminya dan anak lelakinya yang berumur kurang dari tujuh tahun. Ibn al-Munzir menyatakan, semua ulama yang kami ambil riwayat daripada mereka telah menyatakan ijma‘ bahawa perempuan boleh memandikan anak lelakinya yang masih kecil dalam keadaan budak itu bertelanjang tanpa sebarang pakaian dan perempuan itu juga boleh memegang auratnya dan melihatnya kerana aurat budak itu tidak ada hukum kepadanya (perempuan tersebut) selama hidupnya, maka demikianlah juga selepas kematiannya. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/181-182).

Begitu juga dinyatakan dalam al-Fiqh al-Manhaji (1/234) bahawa mayat lelaki wajib dimandikan oleh orang lelaki dan mayat orang perempuan oleh orang perempuan sebagaimana yang disebut dalam hadith-hadith. Bagaimanapun harus bagi seorang lelaki memandikan mayat isterinya dan perempuan memandikan mayat suaminya.

Penjelasan lanjut mengenai perkara ini bolehlah merujuk kepada artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #792: Suami Mandikan Jenazah Isteri[1] dan #679 Isteri Memandikan Jenazah Suami.[2]

Ketiganya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa dibolehkan kepada suami untuk memberi wasiat kepada isterinya untuk memandikan jenazahnya kelak dan begitu juga sebaliknya.

Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Asma’ bin ‘Umais R.Anha bahawa:

أنَّ فَاطِمَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا أوْصَتْ أنْ يُغَسِّلَهَا عَلَيٌّ رضِيَ اللهُ عَنْهُ

Maksudnya: “Fatimah R.Anha telah mewasiatkan Ali R.A agar beliau memandikan jenazahnya kelak.

Riwayat al-Daraqutni (2/79)[3]

Demikian juga sebuah riwayat daripada Abdullah bin Abu bakar bahawasanya Asma’ binti ‘Umais memandikan jenazah Abu Bakar al-Siddiq ketika beliau meninggal dunia. (Lihat al-Muwata’, 1/223).

Asma’ di atas merupakan isteri kepada Abu Bakar al-Siddiq, dan terdapat riwayat yang lain menunjukkan bahawa Asma’ memandikan jenazah Abu Bakar di atas faktor melaksanakan tuntutan wasiat yang dilakukan oleh Abu Bakar sendiri. Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Ummul Mukminin Aisyah R.Anha, beliau berkata: Abu Bakar al-Siddiq R.A wafat pada malam selasa bersamaan lapan Jamadil Akhir tahun yang ke-13 Hijrah, dan beliau mewasiatkan supaya dia dimandikan oleh Asma’ binti ‘Umais yang merupakan isterinya. (Lihat al-Sunan al-Kubra oleh al-Baihaqi, 3/397).

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa suami boleh memberi wasiat kepada isterinya untuk memandikan jenazahnya kelak dan begitulah juga sebaliknya, dibolehkan kepada isteri untuk memberi wasiat kepada suaminya bagi memandikan jenazahnya kelak.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

[1] Lihat https://maktabahalbakri.com/793-suami-mandikan-jenazah-isteri/. Diakses pada 23 Oktober 2023.

[2] Lihat https://maktabahalbakri.com/279-suami-memandikan-jenazah-isteri/. Diakses pada 23 Oktober 2023.

[3] Syeikh Abdullah al-Bassam menilai athar ini sebagai hasan. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/181).

Bertarikh: 24 Oktober 2023 bersamaan 9 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply