Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya adakah bayi yang mati disebabkan penyakit dapat mewarisi harta dari peninggalan bapanya? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Hukum pusaka ini telah disyariatkan dalam Islam dan telah dinaskan oleh al-Quran, al-Sunnah serta ijma’ ulama’. Orang-orang yang mengingkari pensyariatan hukum pusaka adalah kafir dan keluar daripada Islam. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ مِمَّا قَلَّ مِنْهُ أَوْ كَثُرَ ۚ نَصِيبًا مَّفْرُوضًا

Maksudnya: “Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).

(Surah al-Nisa’: 7)

Para ulama ketika menerangkan sebab penurunan ayat ini menyatakan bahawa ketika zaman sebelum datangnya Islam (zaman jahiliyyah), wanita dan kanak-kanak tidak berhak mendapat sedikit pun daripada harta pusaka yang ditinggalkan ahli keluarga mereka. Ini adalah kerana pada ketika itu, hanya lelaki yang boleh mempertahankan kabilah dan keluarga sahaja mewarisi harta pusaka. Hal ini dapat dilihat dalam satu kisah yang direkodkan bahawa ada seorang lelaki dari kaum Ansar meninggal dunia sebelum diturunkan ayat ini, dalam masa yang sama dia meninggalkan empat orang anak perempuan. Namun, kesemua harta yang ditinggalkan diambil oleh sepupunya. Oleh  kerana itu, Allah SWT menurunkan ayat ini yang menyatakan bahawa wanita juga berhak mendapat sebahagian daripada harta pusaka dan sekali gus memuliakan wanita. (Lihat Tafsir Muqatil Bin Sulaiman, 127/5; Tafsir al-Tabari, 597/7; Tafsir al-Maturidi, 28/3; al-Mufassal fi Tarikh al-Arab Qabla al-Islam, 237/10)

Diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَلْحِقُوا الْفَرَائِضَ بِأَهْلِهَا، فَمَا بَقِىَ فَهْوَ لأَوْلَى رَجُلٍ ذَكَرٍ

Maksudnya: “Serahkanlah harta-harta pusaka kepada pemiliknya. Sekiranya ada baki, serahkanlah kepada kaum keluarga lelaki yang terdekat.”

Riwayat al-Bukhari (6351)

Hadis menerangkan tentang cara pewarisan bahagian harta pusaka yang disebut dalam kitab Allah SWT, dengan cara menerangkan golongan yang berhak mewarisi pusaka. Ia juga menerangkan bahagian daripada lebihan harta yang mana tidak dijelaskan secara terperinci di dalam al-Quran yang berkaitan dengan pewaris-pewaris dan bahagian mereka. Dan juga menerangkan cara pembahagian pewarisan baki harta bagi pewaris ‘asabah yang tidak disebut dalam al-Quran secara terperinci. Apabila digabungkan hadis ini dengan ayat al-Quran tentang pewarisan maka tersusun dan lengkaplah pembahagian atau bahagian-bahagian di antara kesemua pewaris dari ashab al-Furudh dan ‘asabah. (Lihat al-Kafi Dan Tatmi al-Kafi Syarah Hadis 40,hlm.414)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan dalam isu ini hendaklah dilihat terlebih dahulu keadaan bayi tersebut dengan memenuhi dua syarat:

  • Kewujudannya terbentuk dalam rahim sejak saat kematian pemberi warisan, walaupun dia hanya berupa nutfah (embrio)
  • Terpisahnya dari rahim ibu dalam keadaan hidup dan masih bernyawa (الحَيَاة المُسْتَقِرَّة)

“الحَيَاة المُسْتَقِرَّة” ialah satu tanda yang menunjukkan adanya tanda-tanda kehidupan, seperti mengeluarkan suara, menyusu, nafas yang panjang, gerakan yang panjang, atau bersin, atau seumpamanya yang menunjukkan wujudnya kehidupan yang stabil. Ini adalah pendapat dari tiga imam mazhab iaitu Abu Hanifah, Imam Shafie, dan Imam Ahmad.

Jika kedua syarat ini tidak terpenuhi, iaitu tidak wujudnya kehidupan ketika kematian pemberi warisan, atau terdapat kehidupan tetapi dia meninggal sebelum kelahiran, atau dia dilahirkan dengan kehidupan yang tidak stabil, seperti nafas yang lemah atau gejala penyakit, maka individu tersebut tidak berhak mewarisi, kerana dia dianggap dalam kalangan yang telah meninggal. (Lihat Taudih al-Ahkam min Bulugh al-Maram,5/172)

Diriwayatkan daripada Jabir R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا اسْتَهَلَّ الْمَوْلُودُ وُرِّثَ

Maksudnya: “Jika anak yang dilahirkan itu menangis keluar suara, maka sabit baginya harta pusaka.

Riwayat Tarmizi(1032), Ibn Majah(2750) dan Ibn Hibban(1223)

Perkara yang disebut dalam hadis ini adalah menunjukkan kehidupan yang stabil, iaitu dengan menangis ketika dilahirkan atau tanda-tanda kehidupan  dan seumpamanya

Syeikh Muhammad al-Zuhaili menyatakan:“Sekiranya kehamilan itu disebabkan oleh si suami yang meninggal dunia, maka anak yang dilahirkan itu sabit nasab dan hak pewarisannya, dengan syarat dia lahir dalam tempoh sepanjang-panjang kehamilan (yakni 4 tahun dari tarikh mati suami).” (Lihat al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie 4/353-354 & 490-491)

Justeru kami katakan dalam isu ini, keadaan bayi yang telah meninggal disebabkan penyakit tersebut tidak memenuhi syarat yang telah dinyatakan di atas, iaitu  mestilah hidup dalam keadaan stabil tanpa adanya gejala penyakit dan sebagainya. Oleh itu, bayi tersebut  tidak layak mendapat harta peninggalan si mati.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّار

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Wallahua’lam

Bertarikh: 24 Oktober 2023 bersamaan 9 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply