#3771: Kewajipan Haji: Sekali atau Lebih?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah kewajiban haji itu hanya sekali sahaja, atau lebih daripada sekali?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan firman Allah SWT:

وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.”

 (Surah Ali ‘Imran: 97)

Syeikh al-Maraghi ketika menafsirkan ayat di atas, menerangkan bahawa ibadah haji ini diwajibkan kepada setiap orang Muslim yang mukallaf yang berkemampuan. Hal ini kerana, perintah haji merupakan satu penghormatan besar kepada Baitullah bermula dari zaman Nabi Ibrahim A.S sehinggalah ke zaman Nabi Muhammad SAW. Justeru, pelaksanaan ibadah haji dan umrah mampu menjadi mercu tanda dan bukti pengabdian setiap hamba kepada Penciptanya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/853).

Selain itu, Allah SWT berfirman:

وَأَذِّنْ فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ

Maksudnya: “Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji.”

(Surah al-Hajj: 27)

Syeikh al-Sa‘di ketika menafsirkan ayat di atas menyatakan, maksudnya adalah beritahu kepada mereka mengenai ibadat haji tersebut, dan ajaklah mereka kepadanya. Sampaikan kepada mereka sama ada orang yang dekat dan jauh tentang kewajipan haji dan keutamaannya. Hal ini kerana jika kamu telah memanggil mereka, pasti mereka akan datang kepadamu sebagai orang-orang yang mengerjakan haji atau umrah. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/536).

Dalam menjawab persoalan di atas, kami kemukakan hadith daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, katanya:

خطَبَنا رَسُولُ الله -صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- فقَالَ: إنَّ الله كَتَبَ عَلَيْكُمُ الحَجَّ، فَقَامَ الأَقْرَعُ بنُ حَابسٍ، فَقَال: أَفِي كُلِّ عَامٍ يَا رَسُولَ الله؟ قَالَ: لَوْ قُلْتُهَا لَوَجَبَتْ، الحَجُّ مَرَّةً، فَمَا زادَ فَهُوَ تَطَوُّعٌ.

Maksudnya: “Rasulullah SAW berkhutbah: “Sesungguhnya Allah telah mewajibkan haji atas kamu semua.” Lalu Aqra’ bin Habis berdiri dan bertanya: “Apakah setiap tahun wahai Rasulullah?” Rasululah menjawab, “Seandainya aku mengatakan ya, maka pastilah wajib. Haji itu sekali. Jika lebih daripada sekali, maka itu merupakan sunat.”

Riwayat Abu Daud (1721), al-Nasa’ie (2620), Ibn Majah (2886), Ahmad (2642) dan al-Hakim (3155). Syeikh Ahmad Syakir menyatakan isnadnya sahih dalam takhrij al-Musnad (4/224)

Syeikh Abdullah al-Bassam menjelaskan: Perkataan ‘كَتَبَ’ mempunyai beberapa pengertian. Yang dimaksudkan di sini ‘فَرَضَ’ (mewajibkan). Terdapat dalam riwayat yang lain menyebut: ‘فَرَضَ اللهُ عَلَيْكُمُ الْحَجَّ’ (Allah mewajibkan haji atas kamu semua.)

Antara pelajaran penting daripada hadith ini ialah, haji hanya wajib sekali sahaja seumur hidup. Lebih daripada itu, ia merupakan sunat. Selain itu, bentuk pengulangan dalam mengerjakannya lebih daripada sekali, selama mana tidak ada penjelasan berupa dalil yang lain. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 4/39)

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Bertarikh: 25 Oktober 2023 bersamaan 10 Rabiulakhir 1445

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *