Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah terkadang, diam itu lebih baik daripada bertanya? Ada tak dalil berkaitan hal ini? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami mulakan dengan hadith daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, katanya:

خطَبَنا رَسُولُ الله -صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- فقَالَ: إنَّ الله كَتَبَ عَلَيْكُمُ الحَجَّ، فَقَامَ الأَقْرَعُ بنُ حَابسٍ، فَقَال: أَفِي كُلِّ عَامٍ يَا رَسُولَ الله؟ قَالَ: لَوْ قُلْتُهَا لَوَجَبَتْ، الحَجُّ مَرَّةً، فَمَا زادَ فَهُوَ تَطَوُّعٌ.

Maksudnya: “Rasulullah SAW berkhutbah: “Sesungguhnya Allah telah mewajibkan haji atas kamu semua.” Lalu Aqra’ bin Habis berdiri dan bertanya: “Apakah setiap tahun wahai Rasulullah?” Rasululah menjawab, “Seandainya aku mengatakan ya, maka pastilah wajib. Haji itu sekali. Jika lebih daripada sekali, maka itu merupakan sunat.”

Riwayat Abu Daud (1721), al-Nasa’ie (2620), Ibn Majah (2886), Ahmad (2642) dan al-Hakim (3155). Syeikh Ahmad Syakir menyatakan isnadnya sahih dalam takhrij al-Musnad (4/224)

Syeikh Abdullah al-Bassam menyebut: Antara pengajaran penting daripada hadith ini ialah, bahawa perkara yang utama adalah diam dan tidak membahaskan masalah-masalah yang tidak disebutkan oleh Syarak. Allah SWT telah berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَسْأَلُوا عَنْ أَشْيَاءَ إِن تُبْدَ لَكُمْ تَسُؤْكُمْ وَإِن تَسْأَلُوا عَنْهَا حِينَ يُنَزَّلُ الْقُرْآنُ تُبْدَ لَكُمْ عَفَا اللَّهُ عَنْهَا ۗ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu bertanyakan (kepada Nabi) perkara-perkara yang jika diterangkan kepada kamu, akan menyusahkan kamu, dan jika kamu bertanya mengenainya ketika diturunkan al-Quran, tentulah akan diterangkan kepada kamu. Allah maafkan (kamu) dari (kesalahan bertanyakan) perkara-perkara itu (yang tidak dinyatakan di dalam al-Quran).”

(Surah al-Ma’idah: 101)

Terdapat hadith daripada ‘Amir bin Sa’d bin Abi Waqqas, daripada bapanya, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ أَعْظَمَ الـمُسْلِمِينَ جُرْمًا، مَنْ سَأَلَ عَنْ شَيْءٍ لَمْ يُحَرَّمْ، فَحُرِّمَ مِنْ أَجْلِ مَسْأَلَتِهِ.

Maksudnya: “Sesungguhnya sebesar-besar kejahatan bagi orang-orang Islam adalah yang bertanya tentang sesuatu yang belum diharamkan, lalu diharamkan disebabkan oleh pertanyaannya.”

Riwayat al-Bukhari (6845) dan Muslim (4349)

Terdapat juga hadith daripada Abu Tsa’labah secara marfu’:

 وَسَكَتَ عَنْ أَشْيَاءَ -رَحْمَةً بِكُمْ غَيْرَ نِسْيَانٍ- فَلَا تَسْأَلُوا عَنْهَا

Maksudnya: “Dan mendiamkan sesuatu (dengan tidak menjelaskan hukumnya) sebagai rahmat bagi kamu semua, dan bukan kerana lupa. Maka janganlah kamu semua bertanyakan tentangnya.”

Riwayat al-Daraqutni (4/183), al-Hakim (7114) dan al-Baihaqi (20217). Syeikh Ahmad Syakir menyatakannya sebagai sahih dalam ‘Umdah al-Tafsir (1/744)

Justeru, marilah sama-sama kita bermujahadah untuk bercakap perkara yang baik atau diam. Maka, ia termasuk dalam beriman dengan Allah SWT dan hari akhirat. Daripada Abi Hurairah RA, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ،

Maksudnya: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia berkata baik atau diam,”

Riwayat al-Bukhari (6475) dan Muslim (47)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”

Bertarikh: 25 Oktober 2023 bersamaan 10 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply