Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah haji yang dilakukan oleh Nabi SAW itu, haji Qiran, atau Tamattu’, atau Ifrad?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّهِ ۚ فَإِنْ أُحْصِرْتُمْ فَمَا اسْتَيْسَرَ مِنَ الْهَدْيِ ۖ وَلَا تَحْلِقُوا رُءُوسَكُمْ حَتَّىٰ يَبْلُغَ الْهَدْيُ مَحِلَّهُ ۚ فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوْ بِهِ أَذًى مِّن رَّأْسِهِ فَفِدْيَةٌ مِّن صِيَامٍ أَوْ صَدَقَةٍ أَوْ نُسُكٍ ۚ فَإِذَا أَمِنتُمْ فَمَن تَمَتَّعَ بِالْعُمْرَةِ إِلَى الْحَجِّ فَمَا اسْتَيْسَرَ مِنَ الْهَدْيِ ۚ فَمَن لَّمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ فِي الْحَجِّ وَسَبْعَةٍ إِذَا رَجَعْتُمْ ۗ تِلْكَ عَشَرَةٌ كَامِلَةٌ ۗ ذَٰلِكَ لِمَن لَّمْ يَكُنْ أَهْلُهُ حَاضِرِي الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Maksudnya: “Dan sempurnakanlah ibadat Haji dan Umrah kerana Allah; maka sekiranya kamu dikepong (dan dihalang daripada menyempurnakannya ketika kamu sudah berihram, maka kamu bolehlah bertahallul serta) sembelihlah Dam yang mudah didapati; dan janganlah kamu mencukur kepala kamu (untuk bertahallul), sebelum binatang Dam itu sampai (dan disembelih) di tempatnya. Maka sesiapa di antara kamu sakit atau terdapat sesuatu yang menyakiti di kepalanya (lalu ia mencukur rambutnya), hendaklah ia membayar fidyah. Iaitu berpuasa, atau bersedekah, atau menyembelih Dam. Kemudian apabila kamu berada kembali dalam keadaan aman, maka sesiapa yang mahu menikmati kemudahan dengan mengerjakan Umrah, (dan terus menikmati kemudahan itu) hingga masa (mengerjakan) ibadat Haji, (bolehlah ia melakukannya kemudian wajiblah ia) menyembelih Dam yang mudah didapati. Kalau ia tidak dapat (mengadakan Dam), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari dalam masa mengerjakan Haji dan tujuh hari lagi apabila kamu kembali (ke tempat masing-masing); semuanya itu sepuluh (hari) cukup sempurna. Hukum ini ialah bagi orang yang tidak tinggal menetap (di sekitar) masjid Al-Haraam (Makkah). Dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah; dan ketahuilah bahawasanya Allah Maha berat balasan seksaNya (terhadap orang-orang yang melanggar perintahNya).

(Surah al-Baqarah: 196)

Para ulama’ berbeza pendapat berkenaan cara haji Nabi SAW. Adakah Baginda SAW mengerjakannya dengan cara Qiran, Tamattu’ atau Ifrad? Setiap kumpulan dari kalangan ulama’ berpendapat pada satu cara.

Pendapat Pertama: Nabi SAW Mengerjakan Haji Secara Tamattu’

Ulama’ yang berpendapat bahawa Nabi SAW mengerjakan haji secara Tamattu’ berdalilkan dengan riwayat daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma, katanya:

تَمَتَّعَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي حَجَّةِ الْوَدَاعِ بِالْعُمْرَةِ إِلَى الْحَجِّ

Maksudnya: “Rasulullah bertamattu’ pada haji Wada’ dengan mengerjakan umrah, lalu setelah itu mengerjakan haji.”

Riwayat al-Bukhari (1691) dan Muslim (1227)

Pendapat Kedua: Nabi SAW Mengerjakan Haji dengan Cara Ifrad

Adapun ulama’ yang berpendapat bahawa Nabi SAW mengerjakan haji dengan cara Ifrad, dalil mereka ialah hadith bab ini, iaitu hadith daripada Aisyah R.Anha, katanya:

خَرَجْنَا مَعَ رَسُولِ الله -صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- عَامَ حَجَّةِ الوَدَاعِ، فَمِنَّا مَنْ أَهلَّ بِعُمْرَةٍ، وَمِنَّا مَنْ أَهلَّ بِحَجٍّ وَعُمْرَةٍ، وَمِنَّا مَنْ أَهلَّ بِحَجٍّ، وأَهلَّ رَسُولُ الله -صلى الله عليه وسلم- بالحَجِّ

Maksudnya: “Kami keluar bersama Rasulullah SAW pada tahun Haji Wada’. Antara kami, ada yang melaksanakan umrah terlebih dahulu, ada yang melaksanakan haji dan umrah secara beriringan, dan ada yang hanya melaksanakan haji. Rasulullah SAW melaksanakan haji sahaja.”

Riwayat al-Bukhari (1562) dan Muslim (1211)

Begitu juga, hadith yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَفْرَدَ بِالْحَجِّ

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW mengerjakan haji sahaja (Ifrad).”

Riwayat Muslim (1211), Abu Daud (1777) dan Ibn Hibban (3934)

Pendapat Ketiga: Nabi SAW Mengerjakan Haji Secara Qiran

Adapun ulama’ yang berpendapat bahawa Nabi SAW mengerjakan haji secara Qiran berpandukan dalil yang dirajihkan oleh para pentahqiq dari kalangan ulama’, antaranya Ibn al-Qayyim yang mengemukakan lebih daripada dua puluh hadith sahih dalam masalah tersebut. Imam Ahmad berkata, “Tidak diragukan lagi bahawa Nabi SAW mengerjakan haji dengan cara Qiran.”

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah termasuk ulama’ yang menetapkan bahawa Nabi SAW mengerjakan haji dengan cara Qiran dan beliau menggabungkan riwayat-riwayat hadith yang secara zahir bertentangan, dan beliau berkata: “Yang benar adalah bahawa hadith-hadith dalam bab ini disepakati. Hanya saja ada perbezaan sedikit yang berlaku pada hadith yang menyerupainya dalam selain hal itu.”

Para sahabat menetapkan bahawa Nabi SAW mengerjakan haji secara Tamattu’. Menurut mereka, Tamattu’ itu meliputi Qiran.

Para ulama’ yang berpendapat bahawa Nabi SAW melakukan haji secara Ifrad, diriwayatkan juga dari mereka bahawa Nabi melakukannya dengan cara Tamattu’.

Yang mereka maksudkan dengan Ifrad adalah hanya mengerjakan haji di mana ia tidak melakukan perjalanan untuk dua ibadah dengan dua kali perjalanan dan tidak bertawaf dengan dua tawaf dan tidak bersa’i dengan dua sa’i.

Dikatakan: Tamattu’ adalah Qiran, mengifradkan perbuatan-perbuatan haji dan menggabungkan (Qiran) dua ibadah. (Lihat juga Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 4/59)

Guru kami Fadhilatul Syeikh Atiyyah Muhammad Salim berkata bahawa gurunya Syeikh al-Allamah Muhammad al-Amin al-Syanqiti ketika ditanya oleh Mufti Besar Arab Saudi menjawab bahawa Rasulullah SAW melakukan ibadat haji secara qiran. Ia berhujahkan dengan hujah yang dikemukakan oleh al-Syauqani melalui kitabnya Nail al-Autar.

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Bertarikh: 25 Oktober 2023 bersamaan 10 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply