Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa hikmah disyariatkan pakaian ihram haji?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّهِ ۚ فَإِنْ أُحْصِرْتُمْ فَمَا اسْتَيْسَرَ مِنَ الْهَدْيِ ۖ وَلَا تَحْلِقُوا رُءُوسَكُمْ حَتَّىٰ يَبْلُغَ الْهَدْيُ مَحِلَّهُ ۚ فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوْ بِهِ أَذًى مِّن رَّأْسِهِ فَفِدْيَةٌ مِّن صِيَامٍ أَوْ صَدَقَةٍ أَوْ نُسُكٍ ۚ فَإِذَا أَمِنتُمْ فَمَن تَمَتَّعَ بِالْعُمْرَةِ إِلَى الْحَجِّ فَمَا اسْتَيْسَرَ مِنَ الْهَدْيِ ۚ فَمَن لَّمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ فِي الْحَجِّ وَسَبْعَةٍ إِذَا رَجَعْتُمْ ۗ تِلْكَ عَشَرَةٌ كَامِلَةٌ ۗ ذَٰلِكَ لِمَن لَّمْ يَكُنْ أَهْلُهُ حَاضِرِي الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
Maksudnya: “Dan sempurnakanlah ibadat Haji dan Umrah kerana Allah; maka sekiranya kamu dikepong (dan dihalang daripada menyempurnakannya ketika kamu sudah berihram, maka kamu bolehlah bertahallul serta) sembelihlah Dam yang mudah didapati; dan janganlah kamu mencukur kepala kamu (untuk bertahallul), sebelum binatang Dam itu sampai (dan disembelih) di tempatnya. Maka sesiapa di antara kamu sakit atau terdapat sesuatu yang menyakiti di kepalanya (lalu ia mencukur rambutnya), hendaklah ia membayar fidyah. Iaitu berpuasa, atau bersedekah, atau menyembelih Dam. Kemudian apabila kamu berada kembali dalam keadaan aman, maka sesiapa yang mahu menikmati kemudahan dengan mengerjakan Umrah, (dan terus menikmati kemudahan itu) hingga masa (mengerjakan) ibadat Haji, (bolehlah ia melakukannya kemudian wajiblah ia) menyembelih Dam yang mudah didapati. Kalau ia tidak dapat (mengadakan Dam), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari dalam masa mengerjakan Haji dan tujuh hari lagi apabila kamu kembali (ke tempat masing-masing); semuanya itu sepuluh (hari) cukup sempurna. Hukum ini ialah bagi orang yang tidak tinggal menetap (di sekitar) masjid Al-Haraam (Makkah). Dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah; dan ketahuilah bahawasanya Allah Maha berat balasan seksaNya (terhadap orang-orang yang melanggar perintahNya).”
(Surah al-Baqarah: 196)
Kami mulakan dengan hadith daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma, katanya: Rasulullah SAW ditanya berkenaan, “Apakah pakaian yang dipakai oleh orang yang berihram?” Lalu Baginda menjawab:
لاَ يَلْبَسِ القَمِيصَ، وَلاَ العَمَائِمَ، وَلاَ السَّرَاوِيلاَتِ، وَلاَ البُرْنُسَ، وَلاَ ثَوْبًا مَسَّهُ زَعْفَرَانٌ، وَلاَ وَرْسٌ، وَإِنْ لَمْ يَجِدْ نَعْلَيْنِ فَلْيَلْبَسِ الخُفَّيْنِ وَلْيَقْطَعْهُمَا حَتَّى يَكُونَا أَسْفَلَ مِنَ الكَعْبَيْنِ.
Maksudnya: “(Orang yang berihram) tidak boleh memakai baju, serban, seluar, jubah yang ada penutup kepala, pakaian yang disapukan dengan za’faran dan juga wars (sejenis wangian). Sekiranya dia tidak mempunyai selipar, maka hendaklah dia memakai sepasang khuf, dan memotong keduanya (terlebih dahulu) sehingga sampai ke bahagian bawah buku lalinya.”
Riwayat al-Bukhari (1542) dan Muslim (1177)
Dalam menjawab persoalan di atas, antara hikmahnya ialah:
- Seorang yang melakukan haji dalam keadaan rambut tidak tersisir, kusut, berdebu dan tidak mengenakan penutup kepala, dalam keadaan ini, hatinya dekat kepada Tuhannya, tidak dikuasai oleh penampilan luar, tidak diperdaya dan tidak terbuai oleh perhiasan.
- Keadaan seperti ini mendorong seseorang untuk tunduk, rendah hati dan khusyuk kepada Allah SWT, dan itu merupakan inti dan ruh dari sesuatu ibadah.
- Pakaiannya itu mengingatkannya kepada situasi pada hari Kiamat, ketika dia datang kepada Tuhannya dalam keadaan telanjang dan tanpa alas kaki. Jika mengingati situasi itu, maka dia akan bertambah dekat kepada Allah, berdoa kepada-Nya, takut kepada-Nya dan mengharap kepada-Nya.
- Ibadah ini dan ibadah-ibadah yang lain mengisyaratkan kesatuan umat Islam dan kesatuan di antara mereka juga mengisyaratkan kepada persamaan dan kesetaraan. Oleh kerana itu, pakaian dan tempat mereka dijadikan satu hingga tidak ada seseorang yang melampaui yang lain, dan seorang individu tidak berbeza dengan individu yang lain. Orang kaya tidak lebih menonjol terhadap orang miskin. Begitu juga orang yang kuat terhadap orang yang lemah. Mereka semua dalam kedudukan yang satu, ibadah yang satu, iaitu kepada Allah SWT. Mereka menyuarakan tujuan yang sama. Pakaian itu menundukkan hati dan menyatukan jiwa.
- Pakaian yang khas ini memberikan kesan bahawa dia dalam keadaan berihram, lalu dia memperbanyakkan berdoa, berzikir dan menjaga dirinya daripada melakukan hal-hal yang dilarang.
- Adapun dalam hal pakaian wanita, maka dipertimbangkan oleh suatu kaedah:
دَرْءُ الْمَفَاسِدِ مُقَدَّمٌ عَلَى جَلْبِ الْمَصَالِحِ
Maksudnya: “Mencegah kerosakan itu didahulukan daripada mengambil kemaslahatan.”
Maka wanita itu tetap tertutup dan terpelihara daripada fitnah, apatah lagi dalam keadaan seperti ini.
Inilah sepertimana yang dijelaskan oleh Syeikh Abdullah al-Bassam. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 4/71-72)
Kami akhiri dengan doa:
اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.
Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”
Bertarikh: 25 Oktober 2023 bersamaan 10 Rabiulakhir 1445