Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya membunuh dengan cara syari’ seperti qisas atau membela diri  adakah boleh mewarisi ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Hukum pusaka ini telah disyariatkan dalam Islam dan telah dinaskan oleh al-Quran, al-Sunnah serta ijma’ ulama’. Orang-orang yang mengingkari pensyariatan hukum pusaka adalah kafir dan keluar daripada Islam. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ مِمَّا قَلَّ مِنْهُ أَوْ كَثُرَ ۚ نَصِيبًا مَّفْرُوضًا

Maksudnya: “Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).

(Surah al-Nisa’: 7)

Para ulama ketika menerangkan sebab penurunan ayat ini menyatakan bahawa ketika zaman sebelum datangnya Islam (zaman jahiliyyah), wanita dan kanak-kanak tidak berhak mendapat sedikit pun daripada harta pusaka yang ditinggalkan ahli keluarga mereka. Ini adalah kerana pada ketika itu, hanya lelaki yang boleh mempertahankan kabilah dan keluarga sahaja mewarisi harta pusaka. Hal ini dapat dilihat dalam satu kisah yang direkodkan bahawa ada seorang lelaki dari kaum Ansar meninggal dunia sebelum diturunkan ayat ini, dalam masa yang sama dia meninggalkan empat orang anak perempuan. Namun, kesemua harta yang ditinggalkan diambil oleh sepupunya. Oleh  kerana itu, Allah SWT menurunkan ayat ini yang menyatakan bahawa wanita juga berhak mendapat sebahagian daripada harta pusaka dan sekali gus memuliakan wanita. (Lihat Tafsir Muqatil Bin Sulaiman, 127/5; Tafsir al-Tabari, 597/7; Tafsir al-Maturidi, 28/3; al-Mufassal fi Tarikh al-Arab Qabla al-Islam, 237/10)

Diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَلْحِقُوا الْفَرَائِضَ بِأَهْلِهَا، فَمَا بَقِىَ فَهْوَ لأَوْلَى رَجُلٍ ذَكَرٍ

Maksudnya: “Serahkanlah harta-harta pusaka kepada pemiliknya. Sekiranya ada baki, serahkanlah kepada kaum keluarga lelaki yang terdekat.”

Riwayat al-Bukhari (6351)

Hadis menerangkan tentang cara pewarisan bahagian harta pusaka yang disebut dalam kitab Allah SWT, dengan cara menerangkan golongan yang berhak mewarisi pusaka. Ia juga menerangkan bahagian daripada lebihan harta yang mana tidak dijelaskan secara terperinci di dalam al-Quran yang berkaitan dengan pewaris-pewaris dan bahagian mereka. Dan juga menerangkan cara pembahagian pewarisan baki harta bagi pewaris ‘asabah yang tidak disebut dalam al-Quran secara terperinci. Apabila digabungkan hadis ini dengan ayat al-Quran tentang pewarisan maka tersusun dan lengkaplah pembahagian atau bahagian-bahagian di antara kesemua pewaris dari ashab al-Furudh dan ‘asabah. (Lihat al-Kafi Dan Tatmi al-Kafi Syarah Hadis 40,hlm.414)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan membunuh merupakan salah satu dari sebab seseorang itu terhalangnya dari menerima harta pusaka. Ini sebagaimana yang telah dinyatakan dalam hadith yang diriwayatkan  daripada Abu Hurairah R.anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda :

القاتلُ لا يَرِثُ

Maksudnya : “Orang yang membunuh tidak boleh mewarisi.”

Riwayat Tarmizi (2109) dan Ibn Majah (2735)

Hadith ini menunjukkan bahawa pembunuh tidak boleh mewarisi harta peninggalan orang yang dibunuh samada membunuh dengan sengaja atau tidak sengaja. Ia merupakan pandangan kebanyakan ulama. Manakala, sebahagian yang lain pula berpandangan orang yang membunuh kerana tidak sengaja boleh mewarisi harta si mati yang terbunuh. Ia juga merupakan pendapat Imam Malik. (Lihat Syarh Sunan Ibn  Majah, 15/368)

Namun ulama berselisih pandangan mengenai sifat pembunuhan yang menghalang daripada menerima harta warisan. Kami nyatakan sebagaimana yang berikut:

Imam Syafi’i berpendapat bahawa pembunuh tidak akan dapat mewarisi harta waris dari mangsanya dalam keadaan apa pun, walaupun pembunuhan itu sah, seperti dalam kes qisas, hukuman mati melalui qisas, hudud, atau hukuman yang dikenakan oleh pemerintah,  atau menjadi saksi yang mengesahkan kesalahan waris dalam pembunuhan tersebut. Begitu juga jika pembunuhan berlaku semasa  tidur, pembunuh oleh orang gila, atau memberi hukuman kepada anaknya yang bertujuan mendidik  yang kemudian meninggal dunia, atau jika dia membuka balik luka  semasa merawat orang lain dan meninggal akibat luka tersebut. Dalam semua situasi ini, menurut Imam Syafi’i, pembunuh tidak berhak mewarisi harta waris.

Dalam isu ini pandangan Imam Malik bahawa Pembunuhan terbahagi kepada dua jenis iaitu:

  • Membunuh dengan sengaja disebabkan permusuhan. Dalam kes ini pembunuh tidak kayak mewarisi harta pusaka.
  • Membunuh secara tidak sengaja atau tersilap. Dalam kes ini dia boleh mewarisi harta pusaka namun tidak boleh mewarisi diyah. Ini kerana harta itu tidak dicapai dengan segera, dan ad-diyah adalah wajib ke atasnya. Tidak ada makna dalam mewaris sesuatu yang menjadi tanggungjawabnya.

Selain itu Imam Abu Hanifah berpandangan bahawa hukuman mati yang menghalang warisan adalah yang mewajibkan qisas atau kifarah . Ini termasuk pembunuhan yang disengajakan, pembunuhan yang seumpama sengaja, dan pembunuhan yang tidak disengajakan, seperti  situasi di mana dimana dia terbalik ketika tidur sehingga menimpa atau terjatuh di atas ahli keluarganya dan mati.

Berbeza dengan pembunuhan dengan sebab penggalian lubang  peringi, meletakkan batu di jalanan, atau pembunuh adalah seorang kanak-kanak atau gila. Begitu juga sekiranya pembunuhan itu disebabkan mejalankan hukuman qisas. Maka jenis-jenis pembunuhan ini tidak menghalanginya dari menerima harta pusaka disisi mazhab Hanafi

Manakala Imam Ahmad pula berpandangan bahawa hukuman mati yang menghalang warisan adalah pembunuhan tanpa hak, yang dibenarkan oleh syara’ dengan balasan qisas , diyah, atau kaffarah. Yang demikian seperti pembunuhan secara sengaja, seumpama sengaja,pembunuhan tidak sengaja dan  situasi di mana terdapat unsur kesilapan seperti  penyebab kepada berlakunya kematian, membunuh kanak-kanak, orang gila dan orang sedang tidur (Lihat Taudih al-Ahkam Min Bulugh al-Maram,5/174-175)

Oleh yang demikian, kami berpendapat bahawa pembunuhan yang berlaku disebabkan melaksanakan hukuman qisas dan hudud, atau sebagai tindakan pembelaan diri, tidak menghalang individu tersebut daripada menerima warisan harta pusaka daripada waris. Ini kerana pembunuhan tersebut bukanlah pembunuhan tanpa hak, bahkan dilakukan dengan kebenaran syara’.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 25 Oktober 2023 bersamaan 10 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply