Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apabila melihat kes pembunuhan anggota bomba yang pernah hangat diperbualkan, dan juga kes kematian mahasiswa sebuah universiti tempatan, kematian yang berlaku melibatkan lebih dari seorang pesalah. Persoalannya, apakah hukum ramai orang yang membunuh seorang menurut Islam? Adakah kesemua mereka menerima hukuman qisas juga?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَلَا تَقْتُلُوا النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ ۗ وَمَن قُتِلَ مَظْلُومًا فَقَدْ جَعَلْنَا لِوَلِيِّهِ سُلْطَانًا فَلَا يُسْرِف فِّي الْقَتْلِ ۖ إِنَّهُ كَانَ مَنصُورًا
Maksudnya: “Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar. Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisannya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah ia melampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana sesungguhnya ia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum syara‘).”
(Surah al-Isra’: 33)
Ini merupakan pengharaman yang jelas oleh syara‘ atas perbuatan bunuh, kecuali jika terdapat sebarang perkara yang mengharuskannya menurut syara‘.
Pembunuhan boleh berlaku dengan pelbagai cara, antaranya adalah sekumpulan orang membunuh seseorang yang telah mengejutkan Malaysia. Imam al-Syafi‘i mengatakan bahawa jika pembunuhan seorang mangsa dilakukan secara beramai-ramai, maka kesemua yang terlibat dihukum qisas. Beliau berhujjah dengan sebuah riwayat yang sahih daripada Ibn ‘Umar R.A, katanya:
أَنَّ غُلاَمًا قُتِلَ غِيلَةً، فَقَالَ عُمَرُ: لَوِ اشْتَرَكَ فِيهَا أَهْلُ صَنْعَاءَ لَقَتَلْتُهُمْ. وَقَالَ مُغِيرَةُ بْنُ حَكِيمٍ عَنْ أَبِيهِ: إِنَّ أَرْبَعَةً قَتَلُوا صَبِيًّا، فَقَالَ عُمَرُ: مِثْلَهُ
Maksudnya: “Seorang budak lelaki telah dibunuh secara tipu muslihat (rahsia), lalu ‘Umar berkata: ‘Seandainya warga San‘a’ bersekongkol dalam pembunuhan ini, pasti aku akan membunuh mereka semua.’ Mughirah bin Hakim berkata daripada ayahnya: ‘Ada empat orang yang telah membunuh seorang anak kecil, lalu ‘Umar berkata seperti (ucapan) tadi’.”
Riwayat al-Bukhari (6896)
Imam al-Mawardi berkata, sebagaimana yang disebutkan Imam al-Syafi‘i, apabila sekumpulan orang bersekongkol membunuh seorang nescaya mereka semua akan dihukum bunuh jika mereka sama-sama melakukannya. Dan inilah pandangan para sahabat seperti ‘Umar bin al-Khattab, ‘Ali bin Abi Talib, ‘Abdullah bin ‘Abbas, dan al-Mughirah bin Shu‘bah R.Anhum. Dan antara tabi‘in yang memegang pandangan ini adalah Sa‘id bin al-Musayyib, al-Hasan al-Basri dan ‘Ata’. Manakala dari kalangan fuqaha’ pula seperti Imam Malik, al-Auza‘ie, al-Thauri, Imam Abu Hanifah, Imam Ahmad dan Ishaq.
Kemudian Imam al-Mawardi mendatangkan pandangan sebahagian ulama’ lain yang mengatakan bahawa sekumpulan orang tidak dihukum bunuh kerana mereka membunuh seorang sahaja, akan tetapi diambil dari setiap mereka diyah secara sama rata. Inilah pandangan Rabi‘ah bin Abi ‘Abd al-Rahman, Dawud bin ‘Ali dan para ulama’ Mazhab al-Zahiri. Mereka berhujjah dengan firman Allah SWT:
وَكَتَبْنَا عَلَيْهِمْ فِيهَا أَنَّ النَّفْسَ بِالنَّفْسِ
Maksudnya: “Dan kami telah tetapkan atas mereka di dalam kitab Taurat itu, bahawa nyawa dibalas dengan nyawa.”
(Surah al-Ma’idah: 45)
Dan juga firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِصَاصُ فِي الْقَتْلَى ۖ الْحُرُّ بِالْحُرِّ وَالْعَبْدُ بِالْعَبْدِ وَالْأُنثَىٰ بِالْأُنثَىٰ ۚ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman Qisas (balasan yang seimbang) dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh iaitu: orang merdeka dengan orang merdeka, dan hamba dengan hamba, dan perempuan dengan perempuan.”
(Surah al-Baqarah: 178)
Pada zahir nas-nas ini, tidak boleh dihukum bunuh lebih dari seorang sebagai balasan kepada pembunuhan seorang sahaja, dan tidak boleh juga dihukum bunuh lebih dari seorang lelaki merdeka sebagai balasan kepada pembunuhan seorang lelaki merdeka sahaja. Ini sebagaimana dalam firman Allah SWT:
وَمَن قُتِلَ مَظْلُومًا فَقَدْ جَعَلْنَا لِوَلِيِّهِ سُلْطَانًا فَلَا يُسْرِف فِّي الْقَتْلِ ۖ
Maksudnya: “Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisannya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah ia melampau dalam menuntut balas bunuh itu.”
(Surah al-Isra’: 33)
Mereka juga berhujjah dengan sebuah riwayat dari al-Dahhak dari al-Juwaibir, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَا يُقْتَلُ اثْنَانِ بِوَاحِدٍ
Maksudnya: “Tidak dihukum bunuh 2 orang yang membunuh seorang.”
Ini kerana seorang tidak menyamai sekumpulan orang, maka dia tidak dihukum bunuh apabila dia membunuh sekumpulan orang itu, akan tetapi dia akan dihukum bunuh apabila dia membunuh salah seorang dari sekumpulan itu. Kemudian diambil dari hartanya sebagai diyah untuk orang lain yang masih hidup dari kumpulan itu.
Begitu juga jika sekumpulan orang membunuh seorang, maka mereka tidak dihukum bunuh, kerana pertambahan sifat tertentu menghalang hukuman qisas itu dari berlaku, seperti orang yang merdeka tidak dihukum bunuh kerana membunuh hamba sahaya, dan muslim tidak dihukum bunuh kerana membunuh orang buan Islam. Oleh yang demikian, pertambahan bilangan lebih awla untuk tidak dihukum qisas. Ini kerana terdapat 2 bentuk balasan apabila satu nyawa itu dibunuh, sama ada dengan qisas atau diyah.
Imam al-Mawardi menjawab semula pandangan sebahagian ulama’ ini dengan firman Allah SWT:
وَلَكُمْ فِي الْقِصَاصِ حَيَاةٌ يَا أُولِي الْأَلْبَابِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Maksudnya: “Dan di dalam hukuman qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu bertaqwa.”
(Surah al-Baqarah: 179)
Dan sebab (qisas) ini ada jaminan kehidupan adalah apabila pembunuh tahu bahawa dia akan dihukum qisas jika dia membunuh, maka dia akan meninggalkan niat untuk membunuh. Maka terjaminlah kehidupan si pembunuh dan juga mangsa yang akan dibunuh itu. Akan tetapi, sekiranya sekumpulan pembunuh tidak dihukum qisas atas pembunuhan seorang sahaja, maka tidak ada jaminan kehidupan pada hukuman pada qisas itu sendiri. Dan pembunuh pula apabila berniat ingin membunuh, dia akan mengajak orang lain menyertai pembunuhan itu agar gugur hukuman qisas dari mereka berdua, dan pembunuh itu seakan terangkat dari hukum yang disebutkan dalam nas.
Telah warid satu hadith tentang hukuman bunuh ke atas sekumpulan orang yang membunuh seorang seperti sabda Rasulullah SAW:
ثُمَّ أَنْتُمْ يَا خُزَاعَةُ! قَدْ قَتَلْتُمْ هَذَا الْقَتِيلَ مِنْ هُذَيْلٍ، وَأَنَا – وَاللَّهُ – عَاقِلَهُ، مَنْ قَتَلَ بَعْدَهُ قَتِيلًا؛ فَأَهْلُهُ بَيْنَ خِيرَتَيْنِ: إِنْ أَحَبُّوا قَتَلُوا، وَإِنْ أَحَبُّوا أَخَذُوا الْعَقْلَ
Maksudnya: “Adapun kalian wahai Bani Khuza‘ah! Kalian telah membunuh mangsa ini dari Bani Huzail, dan demi Allah aku mengetahuinya. Sesiapa yang mempunyai (hak terhadap) mangsa bunuh maka bagi ahli keluarganya dua pilihan: jika mereka mahu mereka boleh menuntut balas bunuh, dan jika mereka mahu mereka boleh menerima diyah.”
Riwayat al-Bukhari (6880) dan al-Baihaqi (16461)
Perkataan (مَنْ) yang bersifat umum merujuk kepada sesiapa sahaja termasuklah sekumpulan orang yang menyerang seseorang. Maka hadith ini menunjukkan bahawa sekumpulan orang juga dihukum bunuh apabila membunuh seseorang, kerana apabila suatu hukum itu warid atas sebab yang tertentu (contohnya hukuman qisas warid atas sebab pembunuhan), maka sebab itu tidak boleh dikeluarkan dari hukum tersebut. (Lihat al-Hawi al-Kabir, 12/27)
Syeikh ‘Abdullah bin ‘Abd al-Rahman al-Bassam menyebutkan, ini adalah dalil bahawa sekumpulan orang boleh dihukum bunuh jika mereka membunuh seseorang, dan inilah mazhab majoriti ulama’. Beliau menukilkan kalam Ibn al-Qayyim, katanya: “Sahabat dan fuqaha’ secara umumnya bersepakat bahawa sekumpulan orang boleh dihukum bunuh jika mereka membunuh seseorang, meskipun hukum asal qisas seakan melarang perkara tersebut. Ini kerana jika hukuman qisas tidak dilakukan, ia akan menjadi zari‘ah (sesuatu yang boleh membawa kepada keburukan) dengan membantu (menggalakkan) pertumpahan darah.”
Dan antara yang berpegang dengan pandangan ini adalah Imam Ahmad dan pengikutnya. al-Buhuti menyebutkan bahawa sekumpulan orang akan dihukum bunuh sekiranya mereka membunuh seseorang, jika tindakan setiap dari mereka boleh menyebabkan kematian meskipun dilakukan seorang diri. Sekiranya tindakan setiap dari mereka tidak boleh menyebabkan kematian, sebagai contoh mereka memukul orang itu dengan batu yang kecil sahaja, tiba-tiba dia mati, maka tidak dikenakan qisas ke atas mereka selagimana mereka memang tidak bersepakat untuk membunuhnya. Mereka ini dikenakan qisas (jika tindakan setiap dari mereka boleh menyebabkan kematian) agar tidak berlakunya zari‘ah kepada penghapusan hukuman qisas. (Lihat Kassyaf al-Qina‘, 5/514)
Syeikh ‘Abdullah bin ‘Abd al-Rahman al-Bassam juga menukilkan kalam Syeikh ‘Abdullah Ababatin yang menghuraikan kalam al-Buhuti di atas, katanya: “yang dimaksudkan dengan ‘jika tindakan setiap dari mereka boleh menyebabkan kematian meskipun dilakukan seorang diri’, perbuatan setiap dari mereka itu memang boleh menjadi sebab kematian mangasa, dan bukannya dengan sekadar ‘kebarangkalian’ perbuatan itu mungkin boleh menyebabkan kematian. Ini kerana fuqaha’ hanya memberi contoh dengan perkara yang jelas dan terang sahaja, meskipun jarang berlakunya kematian dengan perkara yang dijelaskan itu.” (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 6/118-119)
Kesimpulan
Melihat kepada perincian masalah yang kami bawakan di atas, kami katakan bahawa hukuman bagi pembunuhan yang dilakukan oleh sekumpulan orang terhadap seseorang perlu dibalas dengan hukuman qisas. Akan tetapi, perlu diyakini bahawa kesemua mereka memang berniat untuk membunuh mangsa, dan perbuatan setiap dari mereka sememangnya boleh menyebabkan kematian.
Meskipun begitu, kami tetap menasihatkan agar saudara mendapat keterangan lanjut di Mahkamah Rendah Syariah yang berdekatan kerana mereka lebih berkepakaran dalam perihal yang melibatkan hukuman. Semoga, hukum Allah SWT sentiasa tertegak di bumi Malaysia sebagaimana yang telah ditetapkan oleh syara‘.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا ظُلْمًا كَثِيرًا، ولَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إلَّا أنْتَ، فَاغْفِرْ لَنَا مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنَا، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
Maksudnya: “Ya Allah! Sungguh kami telah menzalimi diri kami dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka ampunilah kami dengan suatu pengampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah kami. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
Wallahu a‘lam
Bertarikh: 25 Oktober 2023 bersamaan 10 Rabiulakhir 1445