Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Siapakah Ammar bin Yasir? Benarkah beliau mati dibunuh oleh puak pelampau?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan memberi sedikit latar belakang ringkas ‘Ammar bin Yasir. Nama penuh beliau ialah ‘Ammar bin Yasir bin ‘Amir bin Malik bin Kinanah bin Qais bin al-Husain bin al-Wazim bin Tha‘labah bin ‘Auf bin Harithah bin ‘Amir al-Akbar bin Yam bin ‘Ans bin Malik bin Adad bin Zaid bin Yasyjab al-‘Anasi.

Beliau ialah Abu al-Yaqazan dan merupakan antara yang terawal memeluk Islam. Beliau berada di bawah jagaan Bani Makhzum. Ibunya yang bernama Sumayyah pula adalah orang pertama yang syahid dalam Islam. Umurnya ketika memeluk Islam 30 tahun lebih. Beliau memeluk Islam di Dar al-Arqam bersama-sama dengan Suhaib bin Sinan dalam waktu yang sama. (Lihat Usd al-Ghabah  fi Ma‘rifah al-Sahabah, 4/122).

‘Ammar bin Yasir termasuk dalam kalangan sahabat yang awal memeluk Islam. Hal ini sehinggakan beliau berkata:

رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَمَا مَعَهُ إِلَّا خَمْسَةُ أَعْبُدٍ وَامْرَأَتَانِ، وَأَبُو بَكْرٍ

Maksudnya:Aku melihat Rasulullah SAW (di awal Islam) dan tidak ada bersamanya kecuali lima orang hamba lelaki, dua orang wanita, dan Abu Bakar.”

Riwayat al-Bukhari (3857)

Ini menunjukkan ‘Ammar adalah orang yang kesembilan memeluk Islam dan mengikut Nabi SAW. Ini satu kelebihan dan kedudukan yang besar dan mulia yang ada pada ‘Ammar bin Yasir.

Ammar bin Yasir berkata lagi:

 لَقِيتُ صُهَيْبَ بْنَ سِنَانٍ عَلَى بَابِ دَارِ الْأَرْقَمِ، وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِيهَا، فَقُلْتُ لَهُ: مَا تُرِيدُ؟ فَقَالَ لِي: مَا تُرِيدُ أَنْتَ؟ فَقُلْتُ: أَرَدْتُ أَنْ أَدْخُلَ عَلَى مُحَمَّدٍ، فَأَسْمَعَ كَلَامَهُ، قَالَ: وَأَنَا أُرِيدُ ذَلِكَ فَدَخَلْنَا عَلَيْهِ فَعَرَضَ عَلَيْنَا الْإِسْلَامَ فَأَسْلَمْنَا

Maksudnya:Aku berjumpa Suhaib bin Sinan di pintu Dar al-Arqam, dan Rasulullah SAW berada di dalamnya. Aku pun bertanya kepadanya: ‘Apakah yang kamu mahu?’ Suhaib pun kembali bertanya kepadaku: ‘Apa pula yang kamu mahu?’ Aku menjawab: ‘Aku ingin bertemu dengan Muhammad dan mendengar kata-katanya.’ Beliau pun berkata: ‘Aku juga menginginkan perkara seperti itu.’ Maka kami masuk bertemu Baginda dan Baginda menunjukkan kepada kami Islam, dan kami masuk Islam.

Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (5698). Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij Siyar A‘lam al-Nubala’ (2/19) menyatakan, dalam sanad hadith ini terdapat perawi bernama al-Waqidi dan dia adalah seorang yang matruk (ditinggalkan hadithnya).

‘Ammar R.A termasuk dalam kalangan sahabat yang dijamin syurga. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Anas R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الْجَنَّةَ تَشْتَاقُ إِلَى ثَلاَثَةٍ عَلِيٍّ وَعَمَّارٍ وَسَلْمَانَ

Maksudnya: “Sesungguhnya syurga benar-benar merasa rindu kepada tiga orang iaitu Ali, ‘Ammar dan Salman.”

Riwayat al-Tirmizi (3797)

Dalam riwayat lain, daripada Anas bin Malik R.A, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الْجَنَّةَ تَشْتاقُ إِلَى أَرْبَعَةٍ: عَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ، وَعَمَّارِ بْنِ يَاسِرٍ، وَسَلْمَانَ الْفَارِسِيِّ، وَالْمِقْدَادِ بْنِ الْأَسْوَدِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمْ

Maksudnya: “Sesunguhnya syurga benar-benar merasa rindu kepada empat orang iaitu Ali bin Abu Talib, ‘Ammar bin Yasir, Salman al-Farisi dan al-Miqdad bin al-Aswad R.Anhum.

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Kabir (6045); riwayat Abu Nu‘aim dalam Ma‘rifah al-Sahabah (3346); al-Albani dalam Dha‘if al-Jami‘ (1427) menilainya sebagai dhaif; al-Haithami dalam Majma‘ al-Zawa’id (9/310) menyebutkan, di dalamnya terdapat perawi yang bernama Salamah bin al-Fadhl dan ‘Imran bin Wahb. Para ulama berselisih mengenai hadith kedua-duanya sebagai hujah, sedangkan baki perawinya yang lain adalah thiqah.

Telah diriwayatkan bahawa, al-Zubair RA melihat ‘Ammar bin Yasir RA berada pada pihak Saidina Ali RA. Perkara tersebut mengingatkannya kepada sabda Rasulullah SAW:

وَيْحَ عَمَّارٍ، تَقْتُلُهُ الْفِئَةُ البَاغِيَةُ، يَدْعُوهُمْ إِلَى الْجَنَّةِ، وَيَدْعُونَهُ إِلَى النَّارِ. قَالَ : يَقُولُ عَمَّارٌ : أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنَ الفِتَنِ.

Maksudnya: “Celaka! ‘Ammar akan dibunuh oleh kumpulan yang melampau kederhakaannya. Dia mengajak mereka ke syurga, tetapi mereka mengajaknya ke neraka.” ‘Ammar menyampuk: “Aku berlindung dengan Allah daripada fitnah.”

Riwayat al-Bukhari (447)

(Lihat Fiqh Siasah Khalifah ‘Ali RA, hlm. 294)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Bertarikh: 25 Oktober 2023 bersamaan 10 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply