Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. boleh kisahkan Saidina Ali memerangi golongan Khawarij dan hukum Khawarij?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami definisikan dahulu maksud Khawarij. Dari segi sejarah, kemunculan Khawarij berkait rapat dengan suasana ketidakstabilan politik yang berlaku dalam kalangan umat Islam pada penghujung zaman Khulafa al-Rasyidin. Menurut Dr. Muhammad ‘Imarah, kumpulan Khawarij pada awalnya muncul kebanyakannya daripada kalangan golongan al-Qurra’ yang majoritinya terdiri daripada golongan ‘arab badwi yang tidak memahami selok belok percaturan politik. Mereka juga tidak mampu untuk menerima hakikat apabila kaum Quraish mengambil alih kepimpinan dan memiliki keistimewaan tertentu setelah Islam menyamaratakan antara kaum Muslimin.

Golongan al-Qurra’ berperanan besar sehingga tercetusnya pemberontakan terhadap Sayyiduna Uthman bin Affan, terutamanya ketika timbulnya isu yang melibatkan kaum kerabat Bani Umayyah pada enam tahun kedua pemerintahan Uthman. Selepas pembunuhan Uthman, golongan al-Qurra’ menjadi kumpulan teramai yang menyokong Sayyiduna Ali bin Abi Talib dalam memerangi penentang-penentang Ali. Bagaimanapun setelah perang Siffin dan peristiwa tahkim antara Ali dan Mu‘awiyah, golongan ini telah keluar daripada kumpulan Ali kerana tidak bersetuju dengan tindakan Ali untuk menerima tahkim. Kumpulan ini kemudiannya dikenali dengan gelaran Khawarij. (Lihat Tayyarat al-Fikr al-Islami, 15-19)

Kata-kata terkenal yang dilaungkan oleh puak Khawarij ketika menolak tahkim antara Ali dan Mu’awiyah adalah, “Kedua-dua pengadil itu telah kafir, tidak ada pengadilan melainkan bagi Allah”. (Lihat Tarikh al-Ya’qubi, 2/190) Peristiwa tahkim adalah titik mula kemunculan golongan Khawarij. Ia bermula dengan pendirian mereka yang mengkafirkan Ali bin Abi Talib, Mu’awiyah bin Abi Sufyan, Talhah, al-Zubayr dan Aishah RAnhm serta menghalalkan darah mereka. Lama kelamaan konsep kafir turut mengalami perubahan. Kafir bukan lagi hanya dinisbahkan kepada orang yang tidak berhukum dengan al-Quran, tetapi orang yang berbuat dosa besar juga turut dipandang sebagai kafir oleh golongan Khawarij. (Lihat Tayyarat al-Fikr al-Islami, 23; al-Madhahib al-Tawhidiyyah wa al-Falsafah al-Mu‘asirah, 59-60)

 Yusair bin Amru mengatakan, aku bertanya kepada Sahal bin Hunaif:

 هَلْ سَمِعْتَ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: فِي الخَوَارِجِ شَيْئًا؟ قَالَ: سَمِعْتُهُ يَقُولُ، وَأَهْوَى بِيَدِهِ قِبَلَ العِرَاقِ: «يَخْرُجُ مِنْهُ قَوْمٌ يَقْرَءُونَ القُرْآنَ، لاَ يُجَاوِزُ تَرَاقِيَهُمْ، يَمْرُقُونَ مِنَ الإِسْلاَمِ مُرُوقَ السَّهْمِ مِنَ الرَّمِيَّةِ»

Maksudnya: “Apakah engkau mendengar Nabi SAW bersabda tentang Khawarij? Ia menjawab: Aku mendengar beliau bersabda – sambil beliau arahkan tangannya menuju Iraq – Dari sanalah muncul sekelompok kaum yang membaca al-Qur’an tidak melebihi kerongkongan mereka, mereka keluar dari Islam sebagaimana anak panah keluar dari busurnya.

Riwayat al-Bukhari (6934)

Para ulama yang mensyarahkan hadis ini telah bersepakat bahawa hadis ini ingin mengisyaratkan kepada kemunculan Khawarij. Ia termasuk daripada tanda-tanda kenabian Baginda SAW kerana apa yang dikhabarkan oleh Baginda benar-benar telah berlaku. Kemunculan Khawarij bermula di Kufah yang terletak di sebelah timur Madinah. Mereka telah mengisytiharkan diri keluar daripada tentera Ali, lalu mereka dengan jumlah lapan ribu orang telah menuju ke Harura’, sebuah perkampungan di Kufah sebelum menjadikan Basrah sebagai markas mereka. (Lihat Akmal al-Bayan fi Sharh Hadith Najd Qarn al-Shaytan, 52)

Bahkan al-Hafiz Ibn Hajar telah menukilkan satu athar yang diriwayatkan oleh al-Tabarani di dalam al-Mu’jam al-Awsat dengan sanad yang baik bahawa Abu Hurairah dan Abu Sa’id al-Khudri telah ditanya oleh seorang lelaki dari Iraq. Lelaki itu mengatakan bahawa di negerinya terdapat satu kaum yang memberontak dan membunuh sesiapa sahaja yang mengucapkan syahadah dan beriman kecuali daripada kumpulan mereka. Lalu kedua-duanya menjawab: “Kami mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang memerangi mereka, baginya pahala syahid dan sesiapa yang dibunuh oleh mereka maka baginya pahala syahid”. (Lihat Fath al-Bari, 12/302)

Menjawab persoalan di atas, kami petik daripada buku Khalifah Ali RA: Fiqh Siasah Khulafa’ al-Rasyidin, antara lain menyebut:

Pada tahun ke-38 Hijrah, berlaku pertempuran yang wajib dilancarkan ke atas kumpulan Khawarij. Khalifah ‘Ali RA memimpin sendiri bala tentera beliau dengan disertai oleh beberapa orang sahabat RA bagi menghadapi golongan yang paling ganas itu, antara mereka ialah Abu Ayyub al-Ansari RA.

Akhirnya, bala tentera ‘Ali RA berjaya mengalahkan kumpulan Khawarij. Antara yang berjaya dibunuh ialah salah seorang pemimpinnya yang telah dinamakan oleh Rasulullah SAW ketika dia berjumpa Rasulullah SAW pada masa hayat Baginda:

إِنَّ مِنْ صِنْضِي هَذَا، قَوْمًا يَقْرَءُونَ الْقُرْآنَ، لَا يُجَاوِزُ حَنَاجِرَهُمْ، يَمْرُقُونَ مِنَ الإِسْلَامِ مُرُوقَ السَّهْمِ مِنَ الرَّمِيَّةِ، يَقْتَلُونَ أَهْلَ الإِسْلَامِ، وَيَدَعُونَ أَهْلَ الْأَوْثَانِ، لَئِنْ أَدْرَكْتُهُمْ لَأَقْتُلَنَّهُمْ قَتْلَ عاد.

“Sesungguhnya, daripada keturunan dia ini, akan muncul mereka yang pandai membaca al-Quran, namun bacaan al-Quran itu tidak masuk (dihayati) ke dalam dirinya melainkan sekadar di kerongkongnya sahaja. Mereka keluar daripada Islam laksana anak panah meluncur keluar dari busurnya sehingga menembusi sasarannya. Mereka memerangi orang Islam dan membiarkan musuh para penyembah berhala. Sungguh, andai kata aku berkesempatan menemui mereka, nescaya aku pasti akan memerangi mereka laksana memerangi kaum ‘Ad sampai habis.”

Riwayat al-Bukhari (7432), Muslim (1064) dan lain-lain

‘Ali RA meminta supaya dicari mayat pemimpin itu. Apabila menemuinya, ‘Ali RA terus bersujud syukur kepada Allah SWT kerana menyaksikan benarnya janji Rasulullah SAW.

Peristiwa Nahrawan juga menjadi nas bahawa Khalifah Ali RA berada pada pihak yang benar dan penentangnya berada pada tempat yang salah. Namun begitu, ‘Ali RA sangat beradab dalam menghadapi fitnah dalaman umat Islam.

Pernah ditanya kepada Khalifah ‘Ali RA dalam satu dialog, apakah hukumnya kumpulan Khawarij itu. Berikut ialah jawapan Khalifah ‘Ali RA setelah beliau ditanyakan dengan beberapa soalan seperti berikut:

أَمُشْرِكُونَ هُمْ؟

Maksudnya: “Adakah mereka itu orang-orang Musyrikin?”

‘Ali RA menjawab:

مِنَ الشَّرْكِ فَرُّوا .

Maksudnya: “Tidak! Mereka melarikan diri daripada kesyirikan.”

Kemudian ditanyakan lagi:

أَفَمُنَافِقُونَ هُمْ؟

Maksudnya: “Adakah mereka itu orang-orang munafiq?”

‘Ali RA menjawab:

إِنَّ الْمُنَافِقِينَ لَا يَذْكُرُونَ اللَّهَ إِلَّا قَلِيلًا.

Maksudnya: “Tidak, kerana orang munafiq itu tidak ingat kepada Allah melainkan sedikit sahaja (mereka itu kuat berzikir).”

Mereka bertanya lagi:

فَمَا هُمْ؟

Maksudnya: “Apakah sebenarnya mereka itu?”

‘Ali RA menjawab:

إِخْوَانُنَا بَغَوْا عَلَيْنَا.

Maksudnya: “Mereka ialah saudara-saudara kita yang melampau terhadap kita.”

Diriwayatkan oleh al-Baihaqi, al-Sunan al-Kubra, 8/300, no. 16713

(Lihat Fiqh Siasah Khalifah ‘Ali RA, hlm. 338-341)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”

Bertarikh: 25 Oktober 2023 bersamaan 10 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply