Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah Saidina Ali melaksanakan syura?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Syura berasal daripada perkataan ‘syawara’ yang bermaksud ‘al-tasyawur’ (التَّشَاوُر) atau perbincangan. (Lihat al-Ra’id Mu’jam al-Lughawi al-‘Asri, hlm. 900) Penggunaan perkataan tersebut dalam bahasa Arab adalah dengan tujuan ‘al-istikhraj’ dengan maksud ‘mengeluarkan sesuatu’ sepertimana disebut oleh Ibn Manzur dalam kitabnya Lisan al-‘Arab. (Lihat Lisan al-‘Arab, 4/434-436)
Menurut al-Raghib al-Asfahani: Syura didefinisikan sebagai proses mengemukakan pendapat dengan saling muraja’ah dan bertukar pendapat antara sesama ahli syura. (Lihat al-Mufradat, hlm. 573. Lihat juga Ruh al-Ma’ani, 2/42)
Ibn al-Arabi al-Maliki pula mentakrifkan syura dengan berkumpul untuk meminta pendapat (dalam sesuatu permasalahan) di mana ahli syura saling melontarkan pandangan masing-masing. (Lihat Ahkam al-Quran, 1/389)
Khalifah ‘Ali RA meneruskan konsep syura (mesyuarat) berdasarkan petunjuk al-Quran yang diwahyukan kepada Rasulullah SAW ketika memimpin umat. Firman Allah SWT:
فَبِمَا رَحْمَةٍ مِّنَ اللَّهِ لِنتَ لَهُمْ ۖ وَلَوْ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لَانفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ ۖ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ ۖ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ
Maksudnya: “Maka, dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) daripada Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari sekelilingmu. Oleh itu, maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonlah keampunan bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal- hal keduniaan) itu. Kemudian, apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat untuk membuat sesuatu), maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang- orang yang bertawakal kepada-Nya.”
(Surah Ali Imran: 159)
Imam al-Tabari menukilkan bahawa Sufyan bin `Uyainah berkata: “Firman Allah SWT, ‘وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ’ membawa maksud orang Islam hendaklah bermusyawarah dalam perkara yang tidak terdapat athar daripada Nabi SAW berkenaan dengannya.” (Lihat Jami’ al-Bayan, 4/152)
Al-Zamakhsyari pula berkata: ‘وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ’ (dan hendaklah kamu melakukan syura dengan mereka) bermakna dalam urusan peperangan dan lain-lain sepertinya yang tidak diturunkdan wahyu terhadapnya. (Lihat al-Kassyaf, 1/341)
Dinaqalkan dalam kitab al-Siyasah al-Syar`iyyah oleh Ibnu Taimiyyah bahawa Ulil Amri (iaitu Pemimpin dan Ulama) hendaklah sentiasa melakukan musyawarah. Dan Allah SWT perintahkan Nabi-Nya supaya bermusyawarah adalah bagi melembutkan dan mengikat hati para Sahabat R.Anhum, supaya orang Islam selepasnya mengikutinya serta untuk menghasilkan sebuah pandangan dalam perkara yang tidak diturunkan wahyu terhadapnya, sama ada dalam urusan peperangan, urusan-urusan cabang (juz’iyyah) dan lain-lain. Maka perkara-perkara ini adalah lebih utama bagi Nabi SAW untuk bermusyawarah.” (Lihat al-Siyasah al-Syar’iyyah, hlm. 162-164)
Ulama kontemporari seperti Syeikh Rashid Redha juga turut berpandangan bahawa syura berlaku pada semua perkara yang tidak terdapat nas Al-Quran dan Sunnah serta Ijmak atau hanya berlaku pada perkara yang bersifat ijtihadi dan tidak qat`ie seperti urusan politik dan peperangan yang berdiri atas dasar maslahah. (Lihat al-Khilafah, hlm. 38)
Firman Allah SWT:
وَالَّذِينَ اسْتَجَابُوا لِرَبِّهِمْ وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَأَمْرُهُمْ شُورَىٰ بَيْنَهُمْ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنفِقُونَ
Maksudnya: “Dan juga mereka itu orang-orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan sembahyang dengan sempurna; dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka; dan mereka pula mendermakan sebahagian daripada apa yang Kami beri kepadanya.”
(Surah al-Syura: 38)
Imam al-Tabari dalam menjelaskan ayat di atas menukilkan pendapat al-Dhahak yang menyatakan: “Tidaklah Allah perintahkan Nabi-Nya bermusyawarah melainkan kerana Allah mengetahui bahawa terdapat kelebihan padanya.” (Lihat Jami’ al-Bayan ʿan Taʾwil ay al-Qurʾan, 4/150)
Ibn Kathir berkata: “Mereka tidak menetapkan satu-satu keputusan sehingga mereka syura sesama mereka. Ini bertujuan untuk saling menguatkan dengan pandangan mereka seperti isu peperangan dan apa yang berlaku dalam strateginya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/211)
Betapa tinggi kedudukan syura dalam Islam sehingga ia diletakkan sebagai salah satu ciri menyahut seruan Allah bersama mendirikan solat yang menjadi rukun Islam kepada individu Muslim. Maka, Saidina ‘Ali RA meneruskan amalan syura sepertimana tiga orang khalifah sebelumnya juga. Bahkan, Saidina ‘Ali RA menegaskan kata-kata hikmah:
الاسْتِشَارَةُ عَيْنُ الْهِدَايَةِ وَقَدْ خَاطَرَ مَنْ اسْتَغْنَى بِرَأْيِهِ.
Maksudnya: “Bermesyuarat itu laksana mata hidayah (sebab hadirnya hidayah), dan orang yang bergantung dengan pendapat dirinya sahaja (tanpa bermesyuarat) akan menempuh bahaya.” (Lihat al-Adab al-Syar’iyyah wa al-Minah al-Mar’iyyah, 1/325, dan Adab al-Dunya wa al-Din, hlm. 300) (Lihat Fiqh Siasah Khalifah ‘Ali RA, hlm. 220-221)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا
Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”
Bertarikh: 25 Oktober 2023 bersamaan 10 Rabiulakhir 1445