Sale!
Original price was: RM28.00.Current price is: RM20.00.
Sale!
Original price was: RM35.00.Current price is: RM20.00.
Sale!

Buku Fizikal

Taufan Al-Aqsa

Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM40.00.Current price is: RM30.00.
Sale!

Buku Fizikal

Hakikat Dajjal

Original price was: RM13.00.Current price is: RM9.10.
Sale!
Original price was: RM70.00.Current price is: RM60.00.

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Apa hukum bercakap ketika azan? Benarkah bahawa ada hadith yang menyebut bahawa jika bercakap ketika azan, lidah akan menjadi kelu? Selain itu, saya juga pernah dengar dakwaan bahawa sesiapa yang bercakap ketika azan, maka lidahnya akan menjadi berat untuk melafazkan kalimah tauhid ketika akan meninggal dunia. Adakah terdapat sandaran mengenai hal ini? Mohon pencerahan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Azan merupakan zikir yang khusus, yang disyariatkan sebagai pemberitahuan masuknya waktu solat fardhu serta menyeru orang Islam bersama menunaikan solat. Hukum azan bagi solat fardhu dan solat qadha’ adalah sunat muakkad, iaitu sunat kifayah bagi solat berjemaah dan sunat ‘ainiah bagi solat bersendirian. Azan mempunyai peranan yang amat penting bagi menzahirkan syiar Islam. [1]

Imam al-Nawawi berkata: “Azan dan iqamah disyariatkan berdasarkan nas-nas syarak dan ijma’. Dan tidak disyariatkan (azan dan iqamah ini) pada selain solat lima waktu, tidak ada perselisihan (dalam masalah ini). [2]

Awal disyariatkannya berlaku pada tahun pertama hijriyah. Dalam hadith riwayat Ibn ‘Umar R.Anhuma, katanya:

كَانَ المُسْلِمُونَ حِينَ قَدِمُوا المَدِينَةَ يَجْتَمِعُونَ فَيَتَحَيَّنُونَ الصَّلاَةَ لَيْسَ يُنَادَى لَهَا، فَتَكَلَّمُوا يَوْمًا فِي ذَلِكَ، فَقَالَ بَعْضُهُمْ: اتَّخِذُوا نَاقُوسًا مِثْلَ نَاقُوسِ النَّصَارَى، وَقَالَ بَعْضُهُمْ: بَلْ بُوقًا مِثْلَ قَرْنِ اليَهُودِ، فَقَالَ عُمَرُ: أَوَلاَ تَبْعَثُونَ رَجُلًا يُنَادِي بِالصَّلاَةِ، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: يَا بِلاَلُ قُمْ فَنَادِ بِالصَّلاَةِ

Maksudnya: Ketika kaum Muslimin datang ke Madinah, mereka berkumpul dan menunggu-nunggu waktu solat, tidak ada yang menyerukannya. Maka pada suatu hari, mereka berbincang mengenainya, lalu sebahagian daripada mereka berkata: “Gunakanlah loceng sebagaimana loceng orang-orang Nasrani.” Sebahagian yang lain pula berkata: “Bahkan gunalah trompet seperti trompet orang-orang Yahudi.” Lalu Umar berkata: “Mengapa kamu semua tidak tugaskan seorang lelaki untuk menyerukan solat?” Maka Rasulullah SAW bersabda: “Wahai Bilal, bangunlah dan serukanlah untuk solat.” [3]

Menurut Imam al-Syaukani, inilah yang paling sahih daripada hadith Nabi SAW dalam penentuan awal waktu disyariatkan azan. [4]. Hal ini juga yang dirajihkan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani. [5]

 

Hukum Menjawab Laungan Azan

Pada asasnya, hukum menjawab azan adalah sunnah muakkadah (sunat yang dituntut). Ketika azan dilaungkan, kita sebagai umat Islam dianjurkan agar meninggalkan segala aktiviti yang sedang dilakukan serta dalam masa yang sama perlulah menjawab azan sebagai satu bentuk penghormatan. Daripada Abdullah bin ‘Amr R.A, Nabi SAW bersabda:

إِذَا سَمِعْتُمُ الْمُؤَذِّنَ ، فَقُولُوا مِثْلَ مَا يَقُولُ ثُمَّ صَلُّوا عَلَيَّ ، فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلاَةً صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا ، ثُمَّ سَلُوا اللَّهَ لِيَ الْوَسِيلَةَ ، فَإِنَّهَا مَنْزِلَةٌ فِي الْجَنَّةِ ، لاَ تَنْبَغِي إِلاَّ لِعَبْدٍ مِنْ عِبَادِ اللهِ ، وَأَرْجُو أَنْ أَكُونَ أَنَا هُوَ ، فَمَنْ سَأَلَ لِي الْوَسِيلَةَ حَلَّتْ لَهُ الشَّفَاعَةُ

Maksudnya“Apabila kamu semua mendengar muazzin (melaungkan azan), maka sebutlah sebagaimana yang muazzin itu laungkan. Kemudian selawatlah ke atasku. Sesungguhnya sesiapa yang berselawat sekali kepadaku, Allah akan berselawat kepadanya sebanyak 10 kali. Kemudian mohonlah kepada Allah agar aku mendapat wasilah. Sesungguhnya ia adalah satu kedudukan di syurga yang hanya layak kepada seorang hamba Allah. Aku berharap agar aku adalah orang tersebut. Sesiapa yang memohon wasilah untuk aku, maka syafaatku akan diberikan kepadanya.” [6]

Selain itu, dalil perintah menjawab azan yang dikumandangkan dengan cara mengulangi apa yang telah disebutkan oleh muazzin adalah berdasarkan sebuah hadis yang mana Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا سَمِعْتُمُ النِّدَاءَ فَقُولُوا مِثْلَ مَا يَقُولُ الْمُؤَذِّنُ

Maksudnya: “Apabila kalian mendengar azan maka ucapkanlah sama seperti yang muazzin katakan.” [7]

Berdasarkan hadis di atas, sebahagian para fuqaha mengatakan bahawa hukum menjawab azan adalah wajib. Ini kerana, di sana terdapat kata perintah dari Rasulullah SAW iaitu: “Maka ucapkanlah”. Ayat perintah ini kata mereka menunjukkan kepada wajib.

Manakala majoriti fuqaha berpendapat, hukum menjawab azan adalah sunnah mu’akkadah (sunat yang sangat dituntut). Mereka berdalilkan dengan sebuah hadis yang sahih daripada Anas bin Malik R.anhu beliau berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يُغِيرُ إِذَا طَلَعَ الْفَجْرُ وَكَانَ يَسْتَمِعُ الأَذَانَ فَإِنْ سَمِعَ أَذَانًا أَمْسَكَ وَإِلاَّ أَغَارَ فَسَمِعَ رَجُلاً يَقُولُ اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ ‏.‏ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏”‏ عَلَى الْفِطْرَةِ ‏”‏ ‏.‏ ثُمَّ قَالَ أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ ‏.‏ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏”‏ خَرَجْتَ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: Rasulullah SAW pernah menyerang musuh apabila terbitnya fajar dan baginda meneliti untuk mendengar seruan azan. Sekiranya baginda mendengar azan baginda berhenti sebentar dan jika tidak baginda teruskan menyerang. Maka baginda mendengar seorang lelaki mengucapkan: “Allahu Akbar Allahu Akbar”. Maka Rasulullah SAW mengatakan: “(Dia) berada di atas fitrah”. Kemudian lelaki itu mengatakan: “Aku bersaksi bahawasanya tiada Tuhan yang selain Allah”. Maka baginda mengatakan: “Kau telah keluar daripada neraka.” [8]

Berdasarkan hadis di atas, Rasulullah SAW apabila mendengar azan baginda tidak mengikut atau mengulangi ucapan azan sebagaimana yang diucapkan oleh muazzin. Ini menunjukkan bahawasanya hukum menjawab atau mengulangi azan adalah sunat sahaja di sisi majoriti fuqaha.

Menurut Syeikh Dr. Muhammad al-Zuhaili, disunatkan kepada sesiapa yang mendengar azan untuk menjawabnya, tidak kira orang tersebut dalam keadaan suci ataupun berhadas, orang yang berjunub atau perempuan yang sedang haid, orang dewasa mahupun kanak-kanak. [9] Hal ini kerana mereka itu kesemuanya termasuk dalam kalangan ahli zikir. Dikecualikan daripada hal ini — yakni menjawab azan — orang yang sedang mendirikan solat, yang sedang berada di dalam tandas dan yang sedang berjimak. [10]

Berkenaan Kesan Bercakap Ketika Azan Dilaungkan

Berbalik kepada persoalan di atas, dakwaan bahawa lidah akan kelu dan jadi berat ketika akan meninggal dunia, maka hal tersebut adalah tidak benar dan ia sama sekali tidak boleh disandarkan kepada Nabi SAW. Ini kerana, kami tidak menjumpai asal baginya dan kita juga sama sekali tidak boleh meriwayatkannya atau menyandarkannya kepada Nabi SAW kerana ia merupakan satu pendustaan di atas nama junjungan besar Nabi Muhammad SAW jika kita melakukan hal sedemikian.

Adapun bercakap ketika azan dibolehkan dan ia tidaklah menjadi satu kesalahan apabila melakukannya. Namun begitu, jika percakapan itu boleh menyibukkan atau mengganggu seseorang itu dalam menjawab sepertimana yang dilaungkan oleh muazzin, maka meninggalkannya adalah lebih utama kerana menjawab azan adalah daripada sunnah.

Di dalam al-Muwatha’, Imam Malik telah meriwayatkan sebuah athar daripada Tha’labah, beliau berkata:

أَنَّهُمْ كَانُوا فِي زَمَانِ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ يُصَلُّونَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ حَتَّى يَخْرُجَ عُمَرُ فَإِذَا خَرَجَ عُمَرُ وَجَلَسَ عَلَى الْمِنْبَرِ وَأَذَّنَ الْمُؤَذِّنُونَ قَالَ ثَعْلَبَةُ جَلَسْنَا نَتَحَدَّثُ فَإِذَا سَكَتَ الْمُؤَذِّنُونَ وَقَامَ عُمَرُ يَخْطُبُ أَنْصَتْنَا فَلَمْ يَتَكَلَّمْ مِنَّا أَحَدٌ قَالَ ابْنُ شِهَابٍ فَخُرُوجُ الْإِمَامِ يَقْطَعُ الصَّلَاةَ وَكَلَامُهُ يَقْطَعُ الْكَلَامَ

Maksudnya: Mereka menunaikan solat Jumaat di zaman Umar bin al-Khattab sehingga Umar keluar. Apabila Umar keluar dan duduk di atas mimbar maka azan dilaungkan oleh muazzin. Telah berkata Tha’labah: Kami duduk dan bercakap. Apabila muazzin selesai dan Umar pun berdiri untuk menyampaikan khutbah maka kami pun diam dan tidak ada seorang daripada kami pun yang bercakap. Telah berkata Ibn Syihab: Keluarnya imam menghentikan solat dan khutbah imam menghentikan percakapan. [11]

Berdasarkan athar di atas, jelas menunjukkan bahawa para sahabat RA bercakap ketika azan sedang dilaungkan. Jika benar sebagaimana yang didakwa, maka para sahabat adalah orang yang pertama akan meninggalkan hal tersebut.

Sunnah-Sunnah Ketika Azan (Bagi Pendengar)

 Antara sunnah bagi orang yang mendengar azan adalah:

  • Diam ketika mendengar azan dan menjawabnya sama ada dalam keadaan bersih atau berhadas, junub atau haidh, besar atau mumayyiz. Kemudian perlu menjawab apa yang diucapkan oleh muazzin kecuali pada lafaz (حي على الصلاة) dan (حي على الفلاح).
  • Selawat kepada Nabi SAW dengan suara yang perlahan, kemudian memohon kepada Allah wasilah dan berdoa kepada-Nya selepas selesai azan dengan jarak yang tidak lama.
  • Berdoa untuk diri sendiri kerana waktu tersebut adalah waktu yang mulia, berkat dan mustajab. Disunatkan berdoa selepas azan dan sebelum iqamah. [12]

Penutup

Berdasarkan keterangan di atas, walaupun kita dibenarkan untuk bercakap ketika azan tetapi yang lebih baik adalah meninggalkannya, melainkan apa yang diucapkan itu merupakan hal atau perkara yang penting dan dalam masa yang sama ia tidak mengganggu seseorang itu dalam menjawab apa yang dilaungkan oleh muazzin kerana ia adalah sunnah yang dituntut di dalam agama.

Akhir kalam, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman di dalam agama serta memelihara lidah kita daripada berdusta di atas nama Nabi SAW.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 5 April 2022 bersamaan 3 Ramadhan 1443H

The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.

 

[1] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/337

[2] Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/83)

[3] Riwayat al-Bukhari (604)

[4] Lihat Nail al-Autar, 2/32

[5] Lihat Fath al-Bari, 2/78

[6] Riwayat Muslim (384), Abu Daud (523) dan al-Nasa’ie (678)

[7] Riwayat Muslim (383)

[8] Riwayat Muslim (382)

[9] Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 1/190)

[10] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/118

[11] Lihat al-Muwatha’ (215)

[12] Lihat al-Wasith, 1/82-83

Leave a Reply