Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan tentang, di manakah had sempadan tanah haram Madinah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan hadith daripada Ali bin Abi Talib R.A, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

المَدِينَةُ حَرَامٌ مَا بَيْنَ عَيْرٍ إِلَى ثَوْرٍ

Maksudnya: “Madinah itu haram antara ‘Air sehingga ke Thaur.”

Riwayat al-Bukhari (6755) dan Muslim (1370)

Syeikh Abdullah al-Bassam menjelaskan: Al-Haram iaitu sesuatu yang dilarang dengan pengharaman Ilahi atau larangan akal. Dinamakan demikian kerana di dalamnya Allah mengharamkan banyak perkara yang tidak diharamkan di tempat-tempat yang lain.

‘Air adalah sebuah gunung berwarna hitam kemerah-merahan, yang memanjang dari Timur hingga ke Barat, menghadap Madinah Munawwarah dari selatan dan di kakinya sebelah utara lembah al-’Aqiq yang di dalamnya terdapat telaga Urwah bin Zubair dan masih terkenal sehingga sekarang.


https://scontent.fkul2-4.fna.fbcdn.net/v/t39.30808-6/233608016_4121154021337076_4986433124507241906_n.jpg?_nc_cat=109&ccb=1-7&_nc_sid=5f2048&_nc_ohc=kix-eDh6-Q4AX9SaJqW&_nc_ht=scontent.fkul2-4.fna&oh=00_AfDMXS36zx6v8I1sQwUa0J1a2irvNdya7-93_blZvN-2kg&oe=653CF627

Thaur adalah sebuah gunung kecil bulat berwarna merah, terletak di sebelah utara Madinah Munawwarah. Kedudukannya di belakang bukit Uhud. Jika orang-orang dari Madinah menuju ke lapangan terbang dan sejajar dengan bukit Uhud, maka dia melihat gunung itu dari sebelah kirinya.


https://scontent.fkul2-4.fna.fbcdn.net/v/t1.6435-9/197677854_3955930631192750_2966911196120878701_n.jpg?_nc_cat=109&ccb=1-7&_nc_sid=84c479&_nc_ohc=Eys3B6k80B4AX8ER2th&_nc_oc=AQnTQNd3Wd4fxZXEqu50a2_aitRpDBNnmNkepBDVMOzvgpFHK1Ys1q8bQodbh1qKJMQ&_nc_ht=scontent.fkul2-4.fna&oh=00_AfBENXuK2QaI1I0DH_pvVzjMf0pijzjT6iMSWU1CXg2fKA&oe=655E7F84

https://pbs.twimg.com/media/EWmzga-XkAY22dv.jpg

Oleh kerana gunung Thaur Madinah itu tidak dikenali dan tidak masyhur, dan yang masyhur adalah gunung Thaur di Makkah al-Mukarrah, maka kebanyakan para penulis di sini keliru sehingga mereka meniadakan keberadaannya di Madinah. Yang benar adalah bahawa Thaur di Madinah itu ada dan dikenali. Berdasarkan pembatasan ini, maka antara dua gunung itu adalah al-Haram Madinah, kerana bukit Uhud termasuk dalam wilayah al-Haram Madinah al-Munawwarah. Justeru, batasan Haram Madinah adalah dari Timur hingga ke Barat dua kawasan itu, dan dari arah selatan gunung ‘Air serta dari arah utara adalah gunung Thaur.

Justeru, tanah haram Madinah itu dibataskan dari arah selatan oleh gunung ‘Air dan dari arah utara, dibataskan dengan gunung Thaur, sebagaimana yang ditetapkan dalam hadith.

Adapun batas al-Haram sebelah timur dan barat di Madinah keduanya adalah dua harrah timur dan barat berdasarkan hadith daripada Abu Hurairah R.A, katanya:

حَرَّمَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا بَيْنَ لاَبَتَىِ الْمَدِينَةِ ‏.‏ ‏ وَجَعَلَ اثْنَىْ عَشَرَ مِيلاً حِمًى

Maksudnya: “Rasulullah telah mengharamkan daerah antara dua labit (daerah yang berbatuan hitam) Madinah dan menjadikan 12 batu (sekitar 19 km) sebagai wilayah penjagaan.”

Riwayat al-Bukhari (1869) dan Muslim (1372)

Inilah seperti yang dijelaskan oleh Syeikh Abdullah al-Bassam dalam Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 4/106)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Bertarikh: 25 Oktober 2023 bersamaan 10 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply