Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah beza tanah haram Makkah dan tanah haram Madinah?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Secara umumnya, Tanah Haram merupakan tempat yang Allah SWT mengharamkan beberapa perkara sehingga ke hari kiamat bagi memelihara kesuciannya. Hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda ketika hari pembukaan Kota Mekah:
إنَّ هذا البَلَدَ حَرَّمَهُ اللَّهُ يَومَ خَلَقَ السَّمَواتِ والأرْضَ، فَهو حَرامٌ بحُرْمَةِ اللهِ إلى يَومِ القِيامَةِ، وإنَّه لَمْ يَحِلَّ القِتالُ فيه لأَحَدٍ قَبْلِي، وَلَمْ يَحِلَّ لي إلّا ساعَةً مِن نَهارٍ، فَهو حَرامٌ بحُرْمَةِ اللهِ إلى يَومِ القِيامَةِ، لا يُعْضَدُ شَوْكُهُ، وَلا يُنَفَّرُ صَيْدُهُ، وَلا يَلْتَقِطُ إلّا مَن عَرَّفَها، وَلا يُخْتَلى خَلاها، فَقالَ العَبّاسُ: يا رَسولَ اللهِ، إلّا الإذْخِرَ، فإنَّه لِقَيْنِهِمْ وَلِبُيُوتِهِمْ، فَقالَ: إلّا الإذْخِرَ.
Maksudnya: Sesungguhnya Allah mengharamkan kota ini (Mekah) semenjak Dia menciptakan langit dan bumi. Pengharaman ini berterusan sehingga ke hari kiamat. Sebelumku, tiada siapa yang dihalalkan berperang di negeri ini. Bahkan aku sendiri juga tidak dihalalkan melakukan hal yang sama kecuali sebentar sahaja di siang hari (ketika ingin menakluk kota Mekah). Pengharaman ini berterusan sehingga ke hari kiamat. Pohon yang berduri tak bisa dicabut, tidak boleh memburu binatang, barang yang tercicir tidak boleh diambil melainkan ingin mengumumkan sahaja, serta tumbuh-tumbuhan tidak boleh dipotong.
Al-Abbas berkata: “Kecualikan al-izkhir (pepohon yang wangi baunya seperti serai) wahai Rasulullah kerana ia bermanfaat untuk dijadikan bahan bakar (ganti kepada kayu bakar) dan keperluan rumah (dijadikan bumbung rumah). Rasulullah SAW menjawab: “Baiklah, kecuali al-izkhir.”
Riwayat al-Bukhari (3189
Hadith daripada Abdullah bin Zaid bin ‘Asim, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ إِبْرَاهِيمَ حَرَّمَ مَكَّةَ، وَدَعَا لأَهْلِهَا، وَإِنِّي حَرَّمْتُ المَدِينَةَ، كَمَا حَرَّمَ إِبْرَاهِيمُ مَكَّةَ، وَإِنِّي دَعَوْتُ فِي صَاعِهَا وَمُدِّهَا بِمِثْلَي مَا دَعَا بِهِ إبْرَاهيمُ لأَهْلِ مَكَّةَ
Maksudnya: “Sesungguhnya Ibrahim telah mengharamkan Makkah dan berdoa untuk penduduknya. Aku mengharamkan Madinah sebagaimana Ibrahim mengharamkan Makkah dan aku berdoa dalam sa’ dan mudnya seperti apa yang didoakan Ibrahim untuk penduduk Makkah.”
Riwayat al-Bukhari (2129) dan Muslim (1360)
Dalam menjawab persoalan di atas, kami nyatakan bahawa: Penyebutan ulama’ terhadap perbezaan-perbezaan antara al-Haram Makkah dan al-Haram Madinah itu kembali kepada bahawa seksa dan balasan di wilayah al-Haram Madinah itu lebih ringan daripada al-Haram Makkah.
- Antaranya adalah menyembelih haiwan buruan atau membunuhnya di wilayah al-Haram Madinah itu halal memakannya, berbeza dengan di Makkah di mana haiwan itu dianggap bangkai yang diharamkan.
- Antara perbezaannya juga ialah tiada denda terhadap perburuan di wilayah al-Haram Madinah, berbeza dengan di Makkah, ada denda dalam membunuhnya.
- Antara perbezaannya juga ialah bahawa mengambil sesuatu yang diperlukan dalam bentuk pohon seperti jenis pohon renek dan semua peralatan bercucuk tanam.Hal ini antaranya kerana terdapat hadith Nabi SAW dalam hadith Abu Syuraih:
وَلاَ يُخْبَطَ فِيهَا شَجَرَةٌ إِلاَّ لِعَلْفٍ
Maksudnya: “Di Madinah, tidak boleh ditebang pohonnnya kecuali untuk memberi makan binatang.”
Riwayat Muslim (1354)
Inilah juga seperti yang dijelaskan oleh Syeikh Abdullah al-Bassam dalam Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 4/106)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”
Bertarikh: 25 Oktober 2023 bersamaan 10 Rabiulakhir 1445