#3822: Benarkah Wujudnya Firasat?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya sering membaca tentang kebenaran firasat orang-orang soleh. Betulkah firasat ini wujud dan apakah dalilnya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Abu Sa’id al-Kharraz berkata, “Orang yang mampu beristinbat ialah siapa yang mendapati yang ghaib sentiasa tanpa dihalangnya dan dia tidak disembunyikan sesuatu. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَلَوْ رَدُّوهُ إِلَى الرَّسُولِ وَإِلَىٰ أُولِي الْأَمْرِ مِنْهُمْ لَعَلِمَهُ الَّذِينَ يَسْتَنبِطُونَهُ مِنْهُمْ

Maksudnya: “Padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada Rasulullah dan kepada – “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) di antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang yang layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka.”

(Surah al-Nisa’ : 83)

Orang yang berfirasat ialah orang yang mengetahui alamat. Dalam bahasa yang lain, orang yang mengetahui lubuk hati dengan dalil dan juga alamatnya. Firman Allah SWT:

إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِلْمُتَوَسِّمِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Kami) bagi orang-orang yang memperhatikan tanda-tanda.”

(Surah al-Hijr:75)

Sebahagian ulama mengatakan bahawa ayat ini turun terhadap para ahli firasat. Mengenai kata “al-Mutawassimin” dalam ayat ini:

  • Ibn ‘Abbas R.Anhuma berkata, ”’Mereka yang mampu mentaksir sesuatu di masa hadapan (ahl al-nazar).”
  • Qatadah berkata, “Orang-orang yang mengambil pelajaran.”
  • Muqatil RA berkata, “Orang-orang yang berfikir. Dalam mengulas hal ini, beliau menyatakan bahawa hal itu merupakan salah satu sifat seorang mukmin, sebahagian dari kemuliaan yang Allah anugerahkan padanya, sebahagian dari buah-buah keimanan, dan sebahagian dari pahala amal soleh yang dilakukan pelakunya.”
  • Ibn al-Qayyim menukilkan bahawa Mujahid berkata: “(Mereka adalah) para ahli firasat.”
  • Orang dahulu kala dan sekarang telah menyusun buku tentang perkara itu dan sebahagian ulama’ telah menjadikannya sebagai petunjuk untuk menjatuhkan hukuman sebagaimana yang dilakukan oleh Iyas ibn Mu’awiyah, seorang qadhi yang berwibawa pada zaman Tabi’in.

Dalam ayat lain, Allah SWT berfirman:

وَلَوْ نَشَاءُ لَأَرَيْنَاكَهُمْ فَلَعَرَفْتَهُمْ بِسِيمَاهُمْ وَلَتَعْرِفَنَّهُمْ فِي لَحْنِ الْقَوْلِ وَاللَّهُ يَعْلَمُ أَعْمَالَكُمْ

Maksudnya: “Dan kalau Kami menghendaki, niscaya Kami tunjukkan mereka kepadamu, sehingga kamu benar-benar dapat mengenal mereka dengan tanda-tandanya. Dan kamu benar-benar akan mengenal mereka dari kiasan-kiasan perkataan mereka dan Allah mengetahui perbuatan-perbuatan kamu.”

(Surah Muhammad :30)

Sebahagian orang-orang soleh menyatakan, “Barangsiapa yang memenuhi zahirnya dengan mengikuti sunnah dan batinnya dengan Muraqabatullah (merasa diawasi Allah SWT), menahan pandangannya dari hal-hal yang diharamkan, mengekang dirinya dari hawa-hawa nafsu, dan terbiasa dengan makanan yang halal, maka firasatnya tidak akan pernah meleset.”

Ibn al-Qayyim mengatakan, “Rahsia hal ini, bahawa suatu perbuatan akan dibalas dengan hal yang setimpal. Barangsiapa yang memalingkan pandangannya dari apa yang diharamkan Allah, maka Dia akan menggantinya dengan yang sejenisnya, yang lebih baik dari itu. Sebagaimana dia telah mengekang cahaya pandangannya dari hal-hal yang diharamkan, maka Allah melepaskan cahaya batin dan hatinya sehingga dengannya dia dapat melihat apa yang tidak dapat dilihat oleh orang yang melepaskan pandangannya namun tidak menjaganya dari hal-hal yang diharamkan Allah SWT.”

Firasat hanya dimiliki oleh seorang Mukmin sedangkan selain Mukmin tidak memiliki firasat tetapi hanyalah ilusi. Oleh itu, perlu dibezakan antara firasat dan prasangka (zhan), kerana prasangka boleh jadi salah dan benar, boleh terjadi dengan ketaatan atau kemaksiatan, dengan hati yang hidup, sakit atau mati dan juga di antaranya ada yang haram. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ

Maksudnya: “Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebagian prasangka itu adalah dosa.”

(Surah al-Hujurat:12)

Daripada Abu Sa’id al-Khudri bahawa Rasulullah SAW bersabda:

اتَّقُوا فِرَاسَةَ الْمُؤْمِنِ ، فَإِنَّهُ يَنْظُرُ بِنُورِ اللَّهِ

Maksudnya: “Takutlah kamu firasat orang yang beriman kerana dia melihat berdasarkan cahaya Ilahi.”

Riwayat al-Tirmizi (3127) dan al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsat (7843)

Ibn al-Athir berkata, “Ia memberi maksud dengan dua makna, pertama berdasarkan kepada zahir hadith ke atasnya. Maka, Allah mencampakkan kepada hati-hati auliya’ (wali-walinya). Justeru, mereka dapat mengetahui keadaan sebahagian manusia dengan jenis daripada karamah atau ketepatan dzan dan sangkaan yang kuat. Kedua, jenis dengan mengetahui tanda-tanda, pengalaman, rupa bentuk dan akhlak. Maka, akhirnya dia dapat mengetahui keadaan manusia.”

Al-Mubarakfuri berkata: “Takutlah firasat orang yang beriman. Perkataan firasat dengan baris bawah adalah nama dari ucapan kamu, ‘Aku berfirasat kepada si fulan dengan kebaikan.’ Ia terbahagi kepada dua:

Pertama, menunjukkan padanya oleh zahir hadith iaitu apa yang Allah campakkan pada hati wali-walinya. Akhirnya, mereka mengetahui demikian itu keadaan manusia sama ada daripada jenis karamah, benarnya sangkaan dan pemerhatian serta dzan dan tasabbut.

Kedua, ialah apa yang terhasil dengan bukti-bukti pengalaman dan akhlak yang diketahui dengannya keadaan manusia juga.” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 8/441)

Al-Munawi berkata, “Takutlah kamu firasat orang yang beriman iaitu pengamatannya berdasarkan hati dan dhamir melalui cahaya-cahaya yang terang pada hatinya. Justeru, maka berlakulah tajalli baginya dengan hakikat-hakikat. Maka, sesungguhnya orang yang berilmu itu melihat dengan cahaya Allah melalui mata hatinya yang disinari dengan cahaya Allah.” (Lihat al-Taisir bi Syarh al-Jami’ al-Saghir, 1/31)

Al-Raghib berkata, “Berdalilkan dengan keadaan manusia, bentuknya, warnanya dan percakapannya dapat menunjuk kepada akhlaknya, kelebihannya atau kehinaannya. Dan boleh jadi dikatakan ia perbuatan pemburu bagi mengenali akhlak manusia dan keadaannya.”

Al-Wasiti menyebut, bahawa firasat itu terdiri daripada cahaya yang cemerlang di dalam hati, yang membuatkan seorang ahli makrifat mampu membawa rahsia-rahsia dari satu alam ghaib ke alam ghaib yang lain, sedemikian rupa sehingga dia dapat melihat hal-hal dengan cara di mana Allah memperlihatkannya kepadanya, hingga dia dapat berbicara tentang bahagian penciptaan yang paling dalam.”

Hal ini juga seperti pendapat Abu Sa’id al-Kharraz di mana seseorang yang melihat dengan cahaya firasat bererti melihat dengan cahaya Allah; inti pengetahuannya datang dari Allah, tidak bercampur dengan kealpaan atau kelalaian. Sungguh, ketentuan Allah mengalir melalui lidah seorang hamba.” Dengan perkataan, “dia melihat dengan cahaya Allah,” maksudnya adalah, “dengan cahaya yang dianugerahkan Allah kepadanya.” (Lihat al-Risalah al-Qusyairiyyah, hlm. 309)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا

Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”

Riwayat al-Tirmizi (3173), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (1443) dan Ahmad (223)

 

Bertarikh: 25 Oktober 2023 bersamaan 10 Rabiulakhir 1445 H

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *