Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa hukum sa’ie? Adakah ia rukun, wajib atau sunat?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَأَذِّن فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالًا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ
Maksudnya: ““Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.”
(Surah al-Hajj: 27)
Perlaksanaan ibadah sa’ie merupakan salah satu dari tuntutan rukun haji dan umrah dan ia berdasarkan dalil berikut, firman Allah SWT:
إِنَّ الصَّفَا وَالْمَرْوَةَ مِن شَعَائِرِ اللَّهِ ۖ فَمَنْ حَجَّ الْبَيْتَ أَوِ اعْتَمَرَ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِ أَن يَطَّوَّفَ بِهِمَا ۚ وَمَن تَطَوَّعَ خَيْرًا فَإِنَّ اللَّهَ شَاكِرٌ عَلِيمٌ
Maksudnya: “Sesungguhnya “Safa” dan “Marwah” itu ialah sebahagian daripada Syiar (lambang) ugama Allah; maka sesiapa yang menunaikan ibadat Haji ke Baitullah atau mengerjakan Umrah, maka tiadalah menjadi salah ia bersaie (berjalan dengan berulang-alik) di antara keduanya. Dan sesiapa yang bersukarela mengerjakan perkara kebajikan, maka sesungguhnya Allah memberi balasan pahala, lagi Maha Mengetahui.”
Surah al-Baqarah (158)
Istilah sa`ie pada bahasa ialah bekerja dan juga diberi maksud dengan cepat dapat perjalanan iaitu berlari. Sedangkan sa`ie antara Safa’ dan Marwah ialah Tawaf antara keduanya. (Mu’jam Lughah al-Fuqaha’, 1/292)
Sa`ie juga dengan maksud apa-apa pekerjaan yang dilakukan atau usaha dan digunakan juga dengan maksud berjalan banyak sebagaimana yang tercatat dalam firman-Nya:
وَجَآءَ مِنۡ أَقۡصَا ٱلۡمَدِينَةِ رَجُلٞ يَسۡعَىٰ قَالَ يَٰقَوۡمِ ٱتَّبِعُواْ ٱلۡمُرۡسَلِينَ
Maksudnya: Dan (semasa Rasul-rasul itu diancam), datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu dengan berlari, lalu memberi nasihat dengan katanya: “Wahai kaumku! Turutlah rasul-rasul itu.”
(Surah Yasin: 20)
Menurut Sa`di Abu Jaib, antara maksud sa`ie itu ialah kerja, usaha dan mengambil upah. (Lihat al-Qamus al-Fiqhi Lughtan wa Istilahan, hlm 173)
Pada istilahnya iaitu berjalan antara Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali pergi dan balik selepas tawaf haji dan umrah. (Lihat al-Muhazzab, 2/769)
Berkenaan persoalan di atas, Para ulama’ berbeza pendapat dalam masalah hukum Sa’ie. Adakah ia merupakan rukun, wajib atau sunat?
Dalam mazhab Ahmad dan yang masyhur dari mazhabnya, sa’ie merupakan rukun. Al-Qadhi memilih bahawa ia merupakan salah satu kewajiban haji dan bukan rukun.
Al-Muwaffaq berkata: “Itulah pendapat yang mendekati kebenaran insya Allah; Dia berkata dalam al-Syarh al-Kabir: Itulah yang lebih utama kerana dalil orang yang mewajibkannya itu menunjukkan mutlaknya kewajiban itu dan tidak berdasarkan bahawa haji tidak sempurna kecuali dengan melaksanakannya, maka ia menghendaki membayar dam. Sa’ie itu merupakan hal yang wajib, bukan rukun dan inilah mazhab Abu Hanifah dan al-Thauri.”
Dikatakan dalam Syarh al-’Umdah, bahawa syeikh kami berkata: “Perkataan al-Qadhi itu lebih mendekati kepada kebenaran, kerana hadith yang diriwayatkan daripada Aisyah dan dikerjakan oleh Nabi SAW serta para sahabatnya itu menunjukkan kewajibannya seperti melontar, bercukur dan lain-lain. Itu pasti tidak menunjukkan sebagai sebuah rukun.”
Menurut mazhab Syafi’i dan Maliki, Sa’i merupakan salah satu rukun daripada rukun-rukun Haji dan Umrah. Manakala mazhab Hanafi pula berpandangan bahawa sa’ie adalah perkara wajib yang dapati diganti dengan dam.
Jumhur ulama’ termasuk mazhab al-Syafi’i menyatakan bahawa Sa’ie adalah rukun daripada rukun-rukun haji dan umrah. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 3/180) Dan kami lebih cenderung kepada pandangan ini.
Kami akhiri dengan doa:
اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.
Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”
Bertarikh: 25 Oktober 2023 bersamaan 10 Rabiulakhir 1445 H