Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya benarkah waris tidak boleh diwasiatkan untuk menerima harta? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Ilmu faraidh pada syara’ bermaksud pengetahuan mendalam tentang pusaka dan ilmu kira-kira yang membolehkan kita mengetahui bahagian pusaka yang berhak diterima oleh orang-orang yang berhak. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/273)
Hukum pusaka ini telah disyariatkan dalam Islam dan telah dinaskan oleh al-Quran, al-Sunnah serta ijma’ ulama’. Orang-orang yang mengingkari pensyariatan hukum pusaka adalah kafir dan keluar daripada Islam. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ مِمَّا قَلَّ مِنْهُ أَوْ كَثُرَ ۚ نَصِيبًا مَّفْرُوضًا
Maksudnya: “Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).”
(Surah al-Nisa’: 7)
Para ulama ketika menerangkan sebab penurunan ayat ini menyatakan bahawa ketika zaman sebelum datangnya Islam (zaman jahiliyyah), wanita dan kanak-kanak tidak berhak mendapat sedikit pun daripada harta pusaka yang ditinggalkan ahli keluarga mereka. Ini adalah kerana pada ketika itu, hanya lelaki yang boleh mempertahankan kabilah dan keluarga sahaja mewarisi harta pusaka. Hal ini dapat dilihat dalam satu kisah yang direkodkan bahawa ada seorang lelaki dari kaum Ansar meninggal dunia sebelum diturunkan ayat ini, dalam masa yang sama dia meninggalkan empat orang anak perempuan. Namun, kesemua harta yang ditinggalkan diambil oleh sepupunya. Oleh kerana itu, Allah SWT menurunkan ayat ini yang menyatakan bahawa wanita juga berhak mendapat sebahagian daripada harta pusaka dan sekali gus memuliakan wanita. (Lihat Tafsir Muqatil Bin Sulaiman, 127/5; Tafsir al-Tabari, 597/7; Tafsir al-Maturidi, 28/3; al-Mufassal fi Tarikh al-Arab Qabla al-Islam, 237/10)
Ayat-ayat berkenaan pusaka di dalam al-Quran jelas mengesahkan bahawa pusaka adalah disyariatkan. Berdasarkan nas di atas, disebut kalimah مِّمَّا تَرَكَ iaitu daripada apa yang ditinggalkan oleh si mati, maka ia dianggap pusaka selama mana ia adalah termasuk dalam harta; sama ada wang ringgit, kenderaan, pakaian, rumah, dan lain-lain.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
تَعَلَّمُوا الفَرائِضَ، فإنَّهَا مِن دِينِكُمْ، وَإِّنَّهَا نِصْفُ العِلْمِ، وَإنَّهُ أَوَّلُ مَا يُنزَعُ مِنْ أمَّتي
Maksudnya: Pelajarilah ilmu faraid kerana ia merupakan sebahagian daripada agama kamu dan ia adalah setengan daripada ilmu. Ia juga adala ilmu yang pertama dicabut daripada umatku.
Riwayat Ibn Majah (2719)
Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan wasiat itu merupakan salah satu dari amal kebaikan yang dilakukan seseorang bagi menampung kekurangannya daripada amal kebaikan ketika hayatnya, dan juga wasiat itu kerana mengharapkan ganjaran daripada Allah SWT. Ia disyariatkan berdasarkan firman Allah SWT:
مِنْ بَعْدِ وَصِيَّةٍ يُوصِي بِهَا أَوْ دَيْنٍ
Maksudnya: “(Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya.”
Dan juga firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا شَهَادَةُ بَيْنِكُمْ إِذَا حَضَرَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ حِينَ الْوَصِيَّةِ اثْنَانِ ذَوَا عَدْلٍ مِّنكُمْ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila salah seorang di antara kamu hampir mati, ketika (ia mahu) berwasiat, hendaklah wasiatnya itu disaksikan oleh dua orang yang adil di antara kamu.”
(Surah al-Ma’idah: 106)
Ini juga berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَا حَقُّ امْرِئٍ مُسْلِمٍ لَهُ شَىْءٌ، يُوصِي فِيهِ يَبِيتُ لَيْلَتَيْنِ، إِلاَّ وَوَصِيَّتُهُ مَكْتُوبَةٌ عِنْدَهُ
Maksudnya: “Tidak ada hak bagi seorang muslim yang akan berwasiat dengan sesuatu untuk tidur dua malam, kecuali wasiat tersebut sudah dituliskannya di sisinya.”
Riwayat al-Bukhari (2438) dan Muslim (1627)
Dalam isu ini kami katakan ulama ada berbeza pandang. Kami nyatakan sebagaimana yang berikut;
Pendapat pertama: Wasiat yang ditinggalkan kepada ahli waris adalah batil secara mutlak walaupun mendapat kebenaran daripada seluruh ahli waris. Ini adalah pendapat dalam mazhab Imam Malik, pendapat kedua dalam mazhab Imam asy-Syafi’e dan satu riwayat dalam mazhab Imam Ahmad. (Lihat Hasyiyah ad-Dusuki, 4/427, Nihayah al-Muhtaj, 6/48), al-Mughni ma’a Syarh al-Kabir,6/419).
Mereka berhujahkan dengan zahir hadith yang diriwayatkan daripada Abi Umamah al-Bahili bahawa beliau mendengan Rasulullah SAW bersabda:
أنَّ اللهَ قد أعطَى كلَّ ذي حقِّ حقَّهُ, فلا وصيَّةَ لوارثٍ
Maksudnya: “Sessungguhnya Allah SWT telah menentukan setiap yang mempunyai hak (ahli waris) akan mendapat hak mereka. Maka, tidak ada wasiat kepada ahli waris”
Riwayat Abu Daud (2870), Ibn Majah (2210), dan Ahmad (286)
Pendapat Kedua: Wasiat yang ditinggalkan kepada ahli waris adalah sah jika mendapat persetujuan daripada ahli waris lain selepas kematian orang yang meninggalkan wasiat. Jika mendapat persetujuan hanya sebahagian daripada ahli waris, maka wasiat yang ditinggalkan hanya sah mengikut kadar ahli waris yang membenarkannya. Ini adalah pendapat muktamad dalam mazhab Imam asy-Syafi’e, mazhab Imam Ahmad dan satu pendapat dalam mazhab Imam Malik. ( Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh asy-Syafi’e ,4/561, al-Fiqh al-Manhaji,2/258, Hasyiyah ad-Dusuki,4/427, al-Mughni,6/419)
Hujah para fuqaha’ yang membenarkan wasiat kepada waris dengan syarat hendaklah ahli waris bersetuju dengan wasiat yang telah ditinggalkan mereka juga berhujahkan dengan hadith yang diriwayatkan daripada Abi Umamah al-Bahili bahawa beliau mendengan Rasulullah SAW bersabda
أنَّ اللهَ قد أعطَى كلَّ ذي حقِّ حقَّهُ, فلا وصيَّةَ لوارثٍ
Maksudnya: “Sessungguhnya Allah SWT telah menentukan setiap yang mempunyai hak (ahli waris) akan mendapat hak mereka. Maka, tidak ada wasiat kepada ahli waris”
Riwayat Abu Daud (2870), Ibn Majah (2210), dan Ahmad (286)
Apa yang dapat difahami melalui hadith ini adalah seperti berikut:
- Pada permulaan Islam, wasiat kepada ahli waris adalah satu kewajipan terhadap ahli keluarga. Ini berlaku sebelum turunnya ayat-ayat pewarisan. Setelah ayat-ayat pewarisan diturunkan, wasiat kepada ahli waris dibatalkan, kecuali setelah mendapat persetujuan daripada ahli Hadith ini diperincikan lagi dengan hadith yang lain yang diriwayatkan daripada Abdullah Bin ‘Abbas bahawa Rasulullah SAW bersabda :
لاَ تَجُوزُ الْوَصِيَّةُ لِوَارِثٍ إِلاَّ أَنْ يَشَاءَ الْوَرَثَةُ
Maksudnya: “Tidak harus meninggalkan wasiat kepada waris kecuali dengan keizinan waris”
Riwayat ad-Daruqutni (4295)
- Hadis ini menunjukkan pensyariatan wasiat selagi ia mengikuti panduan dan arahan daripada hukum syara’. Ini menunjukkan bahawa pada asal wasiat adalah sah.
- Muslim dalam kehidupannya allah telah berikan peluang baginya untuk menafkahkan sebahagian hartanya selepas kematian dengan kadar sepertiga dari harta peninggalannya untuk tujuan amal kebaikan. Sementara selebihnya perlu ditinggalkan untuk ahli warisnya, terutamanya orang-orang yang lebih berhak menerima berdasarkan hubungan kekeluargaan baik usul dan furu’ dari si mati serta hawasyi. Seseorang tidak boleh meninggalkan wasiat yang melebihi sepertiga hartanya, untuk mengelakkan ketidakadilan terhadap hak waris. (Lihat Taudih al-Ahkam min Bulgh al-Maram,5/198)
Justeru kami katakan dibolehkan mewasiatkan harta kepada ahli waris akan tetapi hendaklah mendapat persetujuan dari ahli waris yang lain dan hendaklah wasiat tersebut tidak melebihi sepertiga dari hartanya. Kami nasihati sekiranya tidak ada apa-apa keperluan maka adalah lebih baik untuk tidak berwasiat. Ini bagi mengelakkan berlakunya perselisihan dan pertikaian di antara ahli keluarga selepas kematiannya. Kita melihat pada harini betapa ramai yang telah memutuskan hubungan kekeluargaan disebabkan perebutan harta pusaka atau pembahagian wasiat yang tidak adil. Oleh yang demikian, sekiranya pembahagian harta boleh membawa kepada perpecahan ahli keluarga maka kami nasihati agar tidak melakukan wasiat tersebut.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Wallahua’lam
Bertarikh: 25 Oktober 2023 bersamaan 10 Rabiulakhir 1445 H