Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan yang makrifatullah sebagai penegak agama atau tiang seri yang menjadi pengukuh?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَمَا قَدَرُوا اللَّهَ حَقَّ قَدْرِهِ
Maksudnya: “Dan tiadalah mereka (kaum Yahudi) menghormati Allah sesuai dengan penghormatan yang sebenarnya”
(Surah al-An’am: 91)
Imam al-Qusyairi berkata, “Sebahagian tafsir menyebut, ‘Dan mereka tidak mengenali Allah dengan sebenar-benar pengenalan.’”
Daripada Aisyah R.Anha, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِنَّ دِعَامَةَ الْبَيْتِ أَسَاسُهُ، وَدِعَامَةَ الدِّينِ الْمَعْرِفَةُ بِاللَّهِ تَعَالَى وَالْيَقِينُ وَالْعَقْلُ الْقَامِعُ. فَقُلْتُ: بِأَبِي أَنْتَ وَأُمِّي , مَا الْعَقْلُ الْقَامِعُ؟ قَالَ: الْكَفُّ عَنْ مَعَاصِي اللَّهِ وَالْحِرْصُ عَلَى طَاعَةِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ
Maksudnya: “Sesungguhnya, tiang atau pengukuh bagi sesebuah rumah adalah asas atau tiangnya. Dan pengukuh bagi agama ialah makrifatullah, yakin, berakal dengan kukuh dan kuat. Lantas, aku bertanya, dengan bapa dan ibuku apakah maksud akal yang kukuh dan kuat? Jawab Baginda SAW: Menegah diri daripada sebarang maksiat kepada Allah dan loba untuk mentaati Allah.”
Pengarang al-Kanz (3/381) (no. 7047) menyebut: Hadith ini diriwayatkan oleh al-Dailami daripada Aisyah R.Anha.
Al-Imam al-Qusyairi berkata, “Makrifah mengikut lisan ulama ialah ilmu. Maka, setiap ilmu adalah makrifah dan setiap makrifah adalah ilmu.” Denagn sebab itu, dikatakan orang yang alim dengan Allah adalah orang yang arif. Dan orang yang arif adalah orang yang alim.
Abu ‘Ali al-Daqqaq berkata, “Daripada tanda-tanda makrifah dengan Allah adalah merasakan kehebatan daripada Allah. Siapa yang bertambah makrifahnya, maka, bertambahlah rasa hebatnya kepada Allah.”
Al-Imam al-Qusyairi berkata, “Makrifah membawa kepada ketenangan dalam hati, sebagaimana ilmu membawa ketenangan. Justeru, siapa yang bertambah makrifahnya, akan bertambah ketenangan.”
Dalam sebuah hadis, diriwayatkan bahawa Nabi SAW pernah bertanya kepada seorang lelaki Ansar dan dikatakan beliau ialah Harisah bin al-Nu’man RA:
كَيْفَ أَصْبَحْتَ يَا حَارِثَةُ؟ فَقَالَ: أَصْبَحْتُ مُؤْمِنًا حَقًّا، فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ، أُنْظُرْ مَا تَقُولُ. فَإِنَّ لِكُلِّ شَيْءٍ حَقِيقَةً. فَمَا حَقِيقَةُ إِيمَانِكَ؟ قَالَ حَارِثَةُ: عَزَفَتْ نَفْسِي عَنِ الدُّنْيَا، فَأَسْهَرْتُ لَيْلِي، وَأَظْمَأْتُ نَهَارِي. وَكَأَنِّي أَنْظُرُ إِلَى عَرْشِ رَبِّي بَارِزًا. وَكَأَنيِّ أَنْظُرُ إِلَى أَهْلِ الْجَنَّةِ يَتَزَاوَرُونَ فِيهَا. وَكَأَنِّي أَنْظُرُ إِلَى أَهْلِ النَّارِ يَتَضَاغَوْنَ فِيهَا. فَقاَلَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ: يَا حَارِثَةُ! عَرَفْتَ فَالْزَمْ. وَفِي رِوَايَةٍ: عَبْدٌ نَوَّرَ اللَّهُ قَلْبَهُ.
Maksudnya: “Bagaimana kamu berpagi hari ini, wahai Harithah?” Jawab beliau: “Aku berpagi dalam keadaan benar-benar beriman.” Renungilah apa yang kamu ucapkan itu, kerana setiap sesuatu mempunyai hakikat. Maka apakah hakikat imanmu?” Tanya Rasulullah SAW.‘ “Jiwaku berpaling dari dunia (dan tidak memandang kepadanya). Jadi aku berjaga malam (untuk qiamullail), dan berdahaga pada siang hari (dengan berpuasa). Seolah-olah aku melihat ‘Arasy Tuhanku secara zahir dan jelas. Seolah-olah aku melihat ahli syurga saling menziarahi di antara satu sama lain di dalam syurga. Seolah-olah aku melihat ahli neraka bertempik-tempik kesakitan di dalamnya, jawab beliau. ‘Wahai Harithah! Kamu telah mengetahui hakikat iman, maka sentiasalah berkeadaan demikian, balas Rasulullah SAW. Dalam satu riwayat lain, baginda bersabda: “Kamu seorang hamba yang hatinya telah diterangi oleh Allah SWT (dengan cahaya-Nya).”
Riwayat al-Bazzar (6948); Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (74); al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (10106) dan al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (3/266). Hadis ini adalah dha’if. Menurut al-Haithami dalam Majma’ al–Zawa’id (no. 190), hadis ini diriwayatkan oleh al-Bazzar dan di dalam sanadnya terdapat perawi bernama Yusuf bin ‘Athiyyah yang tidak boleh dijadikan hujah.
Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita makrifah yang sebenar yang seterusnya membawa ketenangan. Kami akhiri dengan doa:
يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ
Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”
Bertarikh: 25 Oktober 2023 bersamaan 10 Rabiulakhir 1445 H