Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan, apakah ucapan Saidina Umar selepas beliau mencium Hajar Aswad?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَلْيَطَّوَّفُوا بِالْبَيْتِ الْعَتِيقِ

Maksudnya: “Dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu

(Surah al-Hajj: 29)

Al-Hajar al-Aswad merupakan batu yang diletakkan oleh Nabi Ibrahim AS di salah satu daripada penjuru Ka’bah (sudut Timur Ka’bah dan sebelah kiri multazam) dan ia adalah batu yang Allah SWT tururnkan dari Syurga. Daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, sabda Nabi SAW:

نَزَلَ الحَجَرُ الأَسْوَدُ مِنَ الجَنَّةِ، وَهُوَ أَشَدُّ بَيَاضًا مِنَ اللَّبَنِ فَسَوَّدَتْهُ خَطَايَا بَنِي آدَمَ

Maksudnya: “Al-Hajar al-Aswad diturunkan dari Syurga. Warna lebih putih daripada putihnya susu tetapi ia telah dihitamkan oleh sebab dosa-dosa anak Adam.”

Riwayat al-Tirmizi (877) dan beliau nyatakan hadith ini dinilai sebagai hasan sahih

Dalam menjawab persoalan di atas, kami kemukakan hadith daripada ‘Umar R.A, bahawa beliau mencium Hajar Aswad dan berkata:

أَنَّهُ قَبَّلَ الحَجَرَ، وَقَالَ: إِنِّي أعْلَمُ أنَّكَ حَجَرٌ، لاَ تَضُرُّ ولاَ تَنْفَعُ، وَلَوْلَا أَنِّي رَأيْتُ رَسُولَ اللهِ – صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- يُقَبِّلُكَ مَا قَبَّلْتُكَ

Maksudnya: “Sesungguhnya aku tahu bahawa engkau adalah sebuah batu yang tidak mendatangkan bahaya dan tidak mendatangkan manfaat. Seandainya aku tidak melihat Rasulullah SAW menciummu, maka aku tidak akan menciummu.”

Riwayat al-Bukhari (1597) dan Muslim (1720)

Berdasarkan hadith ini, dapat diambil beberapa pengajaran, antaranya:

  • Dari perkataan imam yang mendapat ilham ini, diambil sebuah dasar hukum Syar’i yang agung, iaitu bahawa pada asalnya, ibadah itu larangan dan tegahan. Daripada ibadah itu, disyariatkan apa yang telah diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Tidak ada ruang bagi ra’yu (pandangan) dan istihsan (anggapan baik) dalam hal itu, sebagaimana Umar R.A mengingatkan bahawa mengikuti hal itu khusus, iaitu kepada Nabi SAW. Hal ini kerana Baginda adalah orang yang menyampaikan risalah daripada Allah SWT. Maka Baginda lah sebagai ikutan dan suri teladan dalam masalah-masalah hukum.
  • Imam al-Nawawi berkata: Sesungguhnya perkataan ‘Umar, ‘لاَ تَضُرُّ ولاَ تَنْفَعُ’ (tidak mendatangkan bahaya dan tidak mendatangkan manfaat) adalah supaya sebahagian daripada manusia yang dekat dengan masa Islam – yang tunduk menyembah batu dan mengagungkannya untuk mengharapkan manfaat dan takut bahaya kerana merendahkannya – tidak tertipu dengannya. Umar khuatir jika sebahagian daripada mereka melihatnya mencium batu itu, lalu memerhatikan dan menirunya. Maka, lantas Umar menjelaskan bahawa batu itu adalah hanya makhluk seperti makhluk-makhluk lain, yang tidak boleh mendatangkan bahaya dan tidak juga mampu memberikan manfaat. Umar menyampaikan hal ini pada waktu musim haji, agar dunia dan jemaah yang ada pada waktu itu menyaksikannya.
  • Tidak sama hari ini dengan kelmarin, di mana kebanyakan negeri-negeri umat Islam memiliki ketidaktahuan hukum dan tauhid – yang merupakan dasar agama – seperti yang dimiliki orang-orang Jahiliyyah. Umat Islam sangat memerlukan orang yang dapat menjelaskan kepada mereka masalah agama mereka dan dapat mengajarkannya berdasarkan hakikatnya yang dikehendaki oleh Allah SWT dari mereka, ketika Allah mengutus Rasul-Nya dan menurunkan kitab-Nya yang jelas.
  • Al-Khattabi berkata: Mengikuti sunnah itu wajib sekalipun alasan dan sebabnya tidak diketahui. Allah telah memberikan kelebihan kepada beberapa tanah dan negeri, sepertimana juga memberikan kelebihan kepada sebahagian malam, hari dan bulan.

Inilah seperti yang dijelaskan oleh Syeikh Abdullah al-Bassam dalam Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 4/106)

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Bertarikh: 25 Oktober 2023 bersamaan 10 Rabiulakhir 1445 H

Leave a Reply