Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya mengenai saksi dalam perkahwinan, apakah syarat yang perlu dipenuhi oleh seorang saksi dalam akad perkahwinan ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Nikah menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud sebuah akad (perjanjian) yang mengandungi lafaz ijab dan kabul yang menghalalkan pasangan lelaki dan perempuan untuk melakukan persetubuhan.[1]

Lafaz nikah ada disebut di dalam firman Allah SWT:

فَانْكِحُوا مَا طَابَ لَكُمْ مِنَ النِّسَاءِ

Maksudnya: “…maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain)…”

Surah Al-Nisa’: 3

Islam menggalakkan umatnya supaya berkahwin kerana perbuatan itu merupakan Sunnah Baginda Nabi SAW. Selain itu perkahwinan juga terdapat pelbagai kebaikan dan faedah, sama ada kepada individu mahupun masyarakat. Hal ini seperti yang disebut di dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abu Ayyub RA, Sabda Nabi SAW:

أَرْبَعٌ مِنْ سُنَنِ الْمُرْسَلِينَ: الْحَيَاءُ، وَالتَّعَطُّرُ، وَالسِّوَاكُ، وَالنِّكَاحُ

Maksudnya: Empat perkara yang merupakan sunnah para rasul, iaitu sifat malu, berwangi-wangian, bersugi dan nikah.

Riwayat al-Tirmizi (1080) dan Ahmad (23628)

Dalam memenuhi tuntutan perkahwinan, seseorang itu tidak dapat lari dari memenuhi tuntuan syarak agar perkahwinannya itu sempurna. Justeru wajib bagi seseorang yang hendak berkahwin untuk mematuihi rukun dan syarat pernikahan supaya perkahwinannya itu menjadi sah. Dr Muhammad Zuhaili menyebut tidak sempurna akad nikah melainkan dengan terlaksana rukunnya dan melengkapi segala syarat bagi rukun tersebut. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh a-Syafi’e, 4/53)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan mensyaratkan saksi dalam akad perkawinan merupakan perkara yang diperselisihi di kalangan ulama. Kami nyatakan pandangan tersebut sebagaimana yang berikut:

Pandangan pertama: Tidak sah sesuatu akad perkahwinan yang dijalankan tanpa adanya saksi. Ini merupakan pandangan jumhur ulama dari Mazhab Hanafi, Syafi’e, dan Hanbali. Begitu juga pandangan dari para salaf.

Mereka berdalilkan hadith yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

لا نِكَاحَ إِلا بِوَلِيٍّ مُرْشِدٍ وَشَاهِدَيْ عَدْلٍ.

Maksudnya: “Tidak sah nikah melainkan oleh wali yang mursyid dan dua orang saksi yang adil.”

Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Sughra (3/19), dan Imam al-Syafi’ei di dalam kitab al-Umm (8/611)

Pengarang al-Fiqh al-Manhaji  menyebut rukun akad nikah mempunyai lima rukun iaitu:

  • Sighah
  • Pengantin perempuan
  • Pengantin lelaki
  • Wali
  • Dua orang saksi (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/55)

Dr. Muhammad Zuhaili memperincikan lagi rukun akad nikah kepada lima iaitu Sighah (Ijab dan Qabul), al-A’qidan (Pengantin lelaki dan wali), pengantin perempuan dan dua orang saksi. (Lihat al-Mu’tamad, 4/53)

Telah dinyatakan dalam al-Mausua’h al-Ijma’ fi Fiqh al-Islami bahawa: Disyaratkan saksi dalam akad perkahwinan agar ianya sah. (Lihat al-Mausua’h al-Ijma’ fi Fiqh al-Islami, 7/341 )

Pandangan Kedua: Tidak disyaratkan saksi dalam akad perkahwinan. Imam Malik dan riwayat dari Imam Ahmad, yang juga  dipilih oleh Sheikh al-Islam, mereka berpendapat bahawa ketika pernikahan diumumkan, tidak perlu lagi disyaratkan saksi. Namun, terdapat keraguan terhadap kesahihan hadis tersebut. Ibn al-Mundhir menyatakan: “Tidak disabitkan dalam hadith tentang pensyaratan dua orang saksi dalam perkahwinan. (Lihat Taudih al-Ahkam Min Bulugh al-Maram, 5,261)

Justeru dalam isu ini kami lebih cenderung kepada pandangan yang kedua iaitu tidak sah perkahwinan yang dilakukan tanpa adanya saksi, ini kerana saksi merupakan rukun dalam nikah dan ia merupakan ijma para ulama. Oleh yang demikian perkahwinan tanpa saksi adalah dikira terbatal.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahu a’lam.

[1]   Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=nikah – Diakses pada 24 Oktober 2023

Bertarikh: 25 Oktober 2023 bersamaan 10 Rabiulakhir 1445 H

Leave a Reply