Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya apakah hikmah pensyariatan hak rujuk dalam Islam ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Definisi Rujuk
Rujuk berasal dari bahasa Arab iaitu ‘رَجَعَ يَرْجِعُ رَجْعًا وَرُجُوعًا’ yang bermaksud kembali atau mengembalikan. Rujuk menurut istilah adalah mengembalikan status hukum perkahwinan secara penuh setelah berlaku talaq raj‘i yang dilakukan oleh bekas suami terhadap bekas isterinya dalam tempoh iddahnya dengan ucapan tertentu. (Lihat Fiqh Munakahat, hlm. 174)
Syeikh Dr. Muhammad Al-Zuhaili menyatakan: ‘’(Ruju’) adalah lafaz yang ringkas maka tidak sah ruju’ melainkan dengan perkataan. Hendaklah ia merupakan lafaz yang sarih dan ia tidak memerlukan kepada niat. Seperti ucapan ‘aku ruju’ kamu’, dan lain-lain’’. (Lihat Al-Mu’tamad, 4/185 – 190).
Perkahwinan ialah ikatan syarie antara pasangan suami dan isteri. Dengan hanya akad dan kalimah yang ringkas ini, telah mengubah berbagai macam hukum antara pasangan tersebut. Allah SWT menyebutnya sebagai (ميثاقاً غليظاً) yang bermaksud ikatan yang kuat, ini sebagaimana firman-Nya:
وَأَخَذْنَ مِنْكُمْ مِيثَاقًا غَلِيظًا
Maksudnya: “Mereka (para wanita itu) telah mengambil perjanjian yang kuat dari kamu.”
(Surah an-Nisa’: 21)
Islam amat menggalakkan supaya dikekalkan hubungan perkahwinan di antara suami isteri. Meskipun begitu, menjadi adat dalam berumahtangga, pasti boleh berlaku perselisihan dan salah faham sesama pasangan, yang mana ia mungkin membawa kepada kesukaran untuk dipertahankan ikatan perkahwinan tersebut. Maka Islam mensyariatkan talak (penceraian) sebagai jalan keluar untuk sekalian umatnya.
Islam menjadikan asal bagi talak adalah merupakan talak raj’ie (yang boleh dirujuk semula) yang tidak memutuskan ikatan perkahwinan secara menyeluruh. Kerana itulah syarak memberikan hak kepada seorang suami untuk merujuk semula dengan isterinya selama dalam tempoh iddah. Firman Allah SWT:
وَالْمُطَلَّقَاتُ يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ ثَلَاثَةَ قُرُوءٍ ۚ
Maksudnya: “Dan wanita-wanita yang diceraikan itu maka mereka ‘mengurung’ diri mereka selama tiga kali suci.”
(Surah Al-Baqarah: 228)
Dalam tempoh tersebut, suami mempunyai hak untuk merujuk kembali isterinya yang telah diceraikan. Ini berdasarkan firman Allah SWT di dalam sambungan ayat di atas:
وَبُعُولَتُهُنَّ أَحَقُّ بِرَدِّهِنَّ فِي ذَٰلِكَ إِنْ أَرَادُوا إِصْلَاحًا ۚ
Maksudnya: “Dan suami-suami mereka berhak mengambil kembali (rujuk akan) isteri-isteri itu dalam masa iddah mereka jika suami-suami bertujuan hendak berdamai.”
(Surah Al-Baqarah: 228)
Imam al-Syafi‘e ketika mengulas ayat di atas, beliau berkata: “Memperbaiki talak adalah dengan cara melakukan rujuk.” (Lihat Al-Umm, 5/260)
Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa adalah menjadi hak suami untuk merujuk semula perkahwinan yang telah berakhir akibat perceraian, sebagaimana yang diterangkan dalam nas-nas yang telah disebutkan. Islam mensyariatkan rujuk ini disebabkan ia mengandungi hikmah dan kebaikan yang besar, termasuklah mencegah perpecahan dalam institusi keluarga yang boleh membawa kepada kesan yang negatif.
Antara hikmah pensyariatan ruju’ ini sebagaimana yang telah dinyatakan oleh al-Razi bahawa : Selagimana suami isteri itu masih lagi dalam ikatan dia tidak mengetahui samaada akan sukar untuk berpisah atau tidak . Apabila telah berpisah, pada saat itu kebenaran akan terungkap. Sekiranya Allah menjadikan talak satu itu tidak boleh dirujuk kembali, ia akan menjadi satu kesulitan bagi manusia sekiranya timbul rasa kasih sayang setelah berlakunya penceraian.
Ujian tidak berlaku dalam satu percubaan, oleh itu, Allah SWT mensyariatkan hak untuk merujuk adalah sebanyak dua kali selepas perceraian. Setelah itu, manusia menguji dirinya sendiri dalam perpisahan tersebut, dengan ini, dia dapat memahami keadaan hatinya. Jika yang terbaik adalah untuk merujuk, dia boleh melakukannya dengan baik. Jika yang terbaik adalah untuk melepaskannya, maka dia boleh melepaskannya dengan cara yang baik. Susunan ini menggambarkan kesempurnaan rahmat dan belas kasihan Allah terhadap hamba-Nya.
Sayid Qutub menyatakan bahawa: Talak pertama ialah ujian dan pengalaman, manakala yang kedua ialah ujian yang lain. Sekiranya kehidupan menjadi baik selepas itu, maka demikianlah. Tetapi jika tidak, talak ketiga merupakan petunjuk kepada kerosakan asal dalam hubungan perkahwinan yang tidak sesuai lagi hidup bersama. Lebih baik jika kedua pasangan itu berpisah dan mencari pasangan yang baru.
Sekiranya suami yang lain juga bercerai dengannya, maka tidak ada salah bagi kedua-dua pihak untuk merujuk kembali tetapi dengan syarat sebagaimana firman Allah SWT:
إِن ظَنَّا أَن يُقِيمَا حُدُودَ اللَّهِ ۗ
Maksudnya: jika mereka kuat menyangka akan dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah.
(Surah al-Baqarah:230)
Mereka tidak dibiarkan mengikut hawa nafsu dan keinginan mereka, sama ada dalam kebersamaan atau perpisahan. Tetapi ini adalah batasan-batasan Allah yang harus dijaga di antara mereka. (Lihat Taudih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 5/306)
Telah dinyatakan dalam al-mausu’ah al-Fiqhiyyah bahaawa: Perceraian mungkin berlaku dalam keadaan marah, atau mungkin dikeluarkan tanpa pertimbangan, perenungan, dan pemikiran terhadap akibat-akibat negatif yang timbul akibat perceraian. Oleh itu, Allah SWT menetapkan hak rujuk kembali kepada kehidupan perkahwinan sebagai hak suami seperti hak talak. (Lihat al-Mausu’ah al-Fuqhiyyah, 3/119)
Justeru kami katakan bahawa rujuk dalam Islam adalah satu tindakan yang mempunyai banyak manfaat dan kebaikan untuk pasangan suami dan isteri. Dengan peluang untuk rujuk, pasangan suami dan isteri dapat saling memperbaiki hubungan yang renggang akibat perceraian, serta meneruskan kehidupan rumahtangga yang lebih sejahtera dan harmoni.”
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
Wallahu a’lam.
Bertarikh: 26 Oktober 2023 bersamaan 11 Rabiulakhir 1445 H