Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya bekerja sebagai jururawat di sebuah hospital, dan saya dapati doktor kadang-kadang melakukan kesilapan semasa merawat pesakit. Adakah doktor ini menerima sebarang hukuman menurut hukum Islam kerana kesilapan tersebut?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kesilapan dalam perubatan telah menjadi punca kebimbangan bagi ramai orang di seluruh dunia, termasuk negara-negara maju dan yang lain. Oleh yang demikian, para ilmuan Islam membincangkan beberapa masalah yang berkaitan dengan kesilapan doktor semasa melakukan rawatan dan kesannya terhadap pesakit, sama ada doktor tersebut wajar dipertanggungjawabkan atas kesalahan tersebut atau tidak.

Perbincangan ini bertitik tolak dari sebuah riwayat daripada ‘Amru bin Syu‘aib, daripada bapanya, daripada datuknya, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَطَبَّبَ وَلَمْ يَكُنْ بِالطِّبِّ مَعْرُوفًا فَأَصَابَ نَفْسًا فَمَا دُونَهَا فَهُوَ ضَامِنٌ

Maksudnya: “Sesiapa yang mengaku pandai berubat, sedangkan dia tidak tahu tentang perubatan, lalu dia menyebabkan kehilangan nyawa atau selainnya, maka dia perlu bertanggungjawab memberi jaminan.”

Riwayat al-Nasa’ie (4830), Ibn Majah (3466), al-Baihaqi (16530) dan al-Daruqutni (3439)

Imam Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah berkata, Rasulullah SAW menggunakan perkataan (مَنْ تَطَبَّبَ) dan bukannya (مَنْ طَبَّ) kerana lafaz perkataan dengan wazan (التَّفَعُّلُ) menunjukkan berpura-pura pada sesuatu, susah untuk menyertainya, kesukaran, dan dia bukan ahli tentangnya.

Beliau kemudian memperincikan pembahagian doktor kepada 5 pecahan:

Pertama: Doktor yang bijaksana, memberikan hak yang sepatutnya kepada kerjaya tersebut, tidak melakukan kesalahan dengan tangannya. Apabila mendapat keizinan dari sudut syara‘ dan dari pesakit yang dirawatnya, apa yang terjadi ketika merawat pesakit itu seperti kecacatan anggota, kemalangan nyawa, atau hilangnya sifat anggota, maka tidak diwajibkan ke atasnya tanggungjawab memberi jaminan dengan persepakatan ulama’.

Kedua: Orang yang berpura-pura doktor sedangkan dia jahil, dia pergi merawat pesakit dan terjadinya masalah. Maka orang ini, jika pesakit tahu bahawa dia seorang yang jahil dan tiada ilmu, tetapi masih mengizinkannya untuk merawatnya, maka tidak dipertanggungjawabkan memberi jaminan ke atas orang itu.

Gambaran yang dibawakan ini tidak bercanggah dengan zahir hadith, konteksnya merujuk kepada orang yang menipu pesakit, sehingga mereka menyangka bahawa dia ini seorang doktor sedangkan bukan begitu. Dan jika pesakit menyangka dia doktor yang sebenar, lalu mengizinkannya untuk merawatnya kerana pengetahuannya, dan kebijaksanaannya, kemudian berlakunya kemalangan, maka dia dipertanggungjawabkan memberi jaminan ke atas orang itu.

Ketiga: Doktor yang bijaksana, diberikan keizinan (menurut syara‘ dan dari pesakit yang dirawatnya), memberikan hak yang sepatutnya kepada kerjaya tersebut, akan dia melakukan kesalahan dengan tangannya sehingga terkena anggota tubuh yang sihat lalu mencederakannya. Contohnya, tangan doktor yang mengkhatankan terlajak sehingga terkena kepala zakar, maka doktor ini perlu bertanggungjawab memberi jaminan kerana ia umpama jenayah yang tidak sengaja dilakukan.

Keempat: Doktor yang bijaksana, berkemahiran dalam kerjanya, dan bersungguh-sungguh. Apabila dia mengesan suatu penyakit pada pesakit, tetapi dia tersilap sehingga mengakibatkan kematian pesakit itu, maka ada 2 riwayat dari Imam Ahmad tentang doktor ini:

  • Diyah pesakit itu diberikan kepada Baitulmal
  • Diyah itu diwajibkan ke atas keluarga doktor tersebut.

Kelima: Doktor yang bijaksana, memberikan hak yang sepatutnya kepada kerjaya tersebut, tetapi dia memotong mana-mana lebihan daging pada tubuh pesakit lelaki, kanak-kanak atau orang gila, tanpa izin mereka atau izin wali mereka, lalu berlaku masalah. Fuqaha’ al-Hanabilah berpandangan orang seperti ini perlu  bertanggungjawab memberi jaminan kerana masalah itu berlaku dalam keadaan dia tidak diberikan izin untuk merawat pesakit.

Jika dia diizinkan oleh orang yang baligh atau wali kepada kanak-kanak dan orang gila tersebut, maka dia tidak perlu bertanggungjawab. Bahkan seakan dia tidak akan dipertanggungjawabkan secara mutlak kerana doktor ini cuba nak perbaiki masalah (pada pesakit itu), dan Allah SWT berfirman:

 مَا عَلَى الْمُحْسِنِينَ مِن سَبِيلٍ ۚ

Maksudnya: “Tidak ada jalan sedikitpun bagi menyalahkan orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.”

(Surah al-Taubah: 91)

Jika dia memang sengaja niat berbuat zalim, maka tidak ada kesan sekalipun dia mendapat keizinan wali untuk dia tidak dipertanggungjawabkan. Akan tetapi jika dia tiada niat berbuat zalim, maka dia tidak dipertanggungjawabkan. (Lihat Zad al-Ma‘ad, 4/127-130)

Syeikh Muhammad bin Ibrahim Al al-Syeikh berkata, jika seorang doktor yang bijaksana dan memberikan hak yang sepatutnya kepada kerjaya tersebut, tidak melakukan kesalahan dengan tangannya atau senang-wenang memberikan ubatan dengan kuantiti yang mencukupi dan cara yang betul. Jika dia menyempurnakan segala perkara mengikut kemampuannya, dan berlaku kemalangan nyawa atau kecacatan anggota selepas mendapat keizinan dari mukallaf atau wali pesakit, maka dia tidak perlu bertanggungjawab memberi jaminan berdasarkan persepakatan ulama’. Ini kerana luka yang berlaku itu asalnya dengan keizinan, seperti izin melakukan had dan qisas. (Lihat Fatwa al-Syeikh Muhammad bin Ibrahim, 8/104)

Ahli al-Lajnah al-Da’imah juga pernah ditanya tentang masalah ini, lalu mereka menjawab:

“Apabila seorang doktor melakukan apa yang diperintahkan untuk dilakukan, mahir dalam bidangnya, mahir dalam mengenal penyakit yang memerlukan pembedahan serta pelaksanaannya, dan tidak melampaui batasan yang sepatutnya dilakukan, maka dia tidak dipertanggungjawabkan atas kesalahan yang berlaku, atau akibat kematian atau kecacatan yang berlaku akibat tindakannya. Ini kerana dia menjalankan tindakan yang diizinkan menurut syara‘, seperti halnya jika seorang imam memotong tangan pencuri, atau melakukan tindakan yang dibenarkan menurut undang-undang. (Lihat Fatawa  Lajnah al-Da’imah, 24/400)

Kemudian, Syeikh ‘Abd al-‘Aziz bin Baz dan Syeikh ‘Abd al-Razzaq ‘Afifi menyebutkan beberapa pesanan kepada doktor:

“Doktor wajib berusaha sepenuhnya dalam menganalisis penyakit, bekerjasama dengan rakan sejawatnya sebelum menjalankan pembedahan, menggunakan peralatan moden sebanyak yang mungkin dalam analisa, tidak tergesa-gesa dalam menjalankan pembedahan sebelum memastikan analisa penyakit. Dan jika kesalahan berlaku selepas itu, dia perlu mengakui kesilapannya kepada pihak yang bertanggungjawab, tanpa berbohong atau menyembunyikan, dan mencatatnya dalam rekod pesakit, kerana takut kepada Allah SWT, menjalankan tugas kepercayaan, memberikan keutamaan kepada kepentingan pesakit berbanding penjagaan doktor, dan menghindari kesan buruk yang mungkin timbul akibat penyembunyian dan penipuan terhadap pesakit.” (Lihat Fatawa  Lajnah al-Da’imah, 24/401)

Dan ini sesuai dengan kalam Imam al-Syafi‘i, katanya: “Sekiranya seorang lelaki meminta untuk dibekam, atau disunat anaknya, atau diberikan ubat kepada binatangnya, tetapi berlaku kesilapan dalam perbuatan tersebut; jika perbuatan seperti itu memang sepatutnya memberikan kebaikan kepada pesakit menurut ahli ilmu dalam bidang ini, maka tidak perlu dipertanggungjawabkan memberi jaminan. Akan tetapi jika perbuatan seperti itu kebiasaannya tidak dilakukan untuk memberikan kebaikan, dan orang yang merawat itu tahu tentangnya, maka dia bertanggungjawab memberi jaminan.” (Lihat al-Umm, 6/166)

Kata Syeikh Muhammad al-Mukhtar al-Syinqiti, kesengajaan doktor untuk membunuh dan memotong anggota dengan tujuan memudharatkan itu telah mengeluarkannya dari sifat seorang doktor kepada seorang yang sengaja melakukan kezaliman. Dan itu telah menjadikan gelaran doktornya itu tidak mempunyai sebarang kesan kerana jenayah perubatan yang dilakukannya dengan niat.

Dan ini sebenarnya jarang berlaku dalam kalangan doktor, kerana mereka ini dikenali sebagai sangat berjaga-jaga dalam memberikan manfaat kepada pesakitnya, dan mereka ini sentiasa dipandang baik. Oleh kerana itu, kita dapati fuqaha’ yang mengatakan bahawa ini adalah sal bagi seorang doktor.

Dan dengan itu, sebahagian mereka mengatakan ketika menerangkan perihal gugurnya hukuman qisas dari doktor jika melakukan kesilapan: “Hukum asal adalah tidak ada sebarang kebencian jika didakwa bahawa doktor melakukan perkara itu (kesilapan).” (Lihat Ahkam al-Jarahah al-Tibbiyyah, hlm. 365)

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan di atas, jelas bahawa ulama’ tidak meletakkan hukum ke atas seseorang doktor yang melakukan kesilapan jika dia memenuhi syarat berikut:

  • Memang doktor yang mahir dan amanah terhadap kerjanya.
  • Tidak berniat dengan sengaja untuk menzalimi pesakit, dengan melakukan sebarang kesilapan yang boleh memberi kesan kepada tubuh atau nyawa pesakit.
  • Dia telah bersungguh-sungguh berusaha dengan menggunakan segala alat-alatan moden untuk mengenal pasti penyakit.
  • Mendapat keizinan pesakit atau wali kepada pesakit untuk menjalankan sebarang pembedahan atau rawatan ke atas pesakit.

Kita sepatutnya memberikan kepercayaan kepada para doktor yang berusaha untuk memberikan khidmat rawatan sebaiknya kepada pesakit di hospital dan klinik di Malaysia. Mereka telah berhempas pulas mengerah tenaga demi menjaga kebajikan masyarakat. Kerana itulah, syarat untuk menjadi seorang doktor perubatan di Malaysia ini tidak begitu mudah sehingga memungkinkan seseorang itu menipu dirinya sebagai doktor yang berkeahlian.  Oleh itu, kesilapan doktor yang emmang berkeahlian dan telah berusaha semasa merawat pesakit tidak sepatutnya dikenakan hukuman diyah atau qisas kerana mereka bukanlah orang yang sengaja berniat melakukan kezaliman.

Semoga, penerangan ini dapat memberikan kefahaman kepada kita tentang hukum-hakam agama tentang masalah kesilapan dalam perubatan ini. Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ أَنْتَ رَبُّنَا لاَ إِلَـهَ إِلاَّ أَنْتَ، خَلَقْتَنَا وَنَحْنُ عَبِيْدُكَ، وَنَحْنُ عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْنَا، نَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْنَا، نَبُوْءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيْنَا، وَنَبُوْءُ بِذُنُوْبِنَا، فَاغْفِرْ لَنَا فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوْبَ إِلاَّ أَنْتَ

Maksudnya: “Ya Allah, Engkau adalah Tuhan kami. Tidak ada tuhan yang berhak disembah kecuali Engkau, Engkaulah yang menciptakan kami dan kami adalah hamba-Mu. Kami akan setia pada perjanjian kami pada-Mu dan janji-Mu dengan sedaya upaya kami. Kami berlindung kepada-Mu dari kejahatan yang kami lakukan. Kami mengakui nikmat-Mu kepada kami dan kami mengakui dosa kami, maka ampunilah kami. Sesungguhnya tiada yang mengampuni dosa kecuali Engkau.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 26 Oktober 2023 bersamaan 11 Rabiulakhir 1445 H

Leave a Reply