Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum bersalaman selepas solat Asar dan Subuh?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ هُمْ عَلَىٰ صَلَوَاتِهِمْ يُحَافِظُونَ

Maksudnya: “Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya;

(Surah al-Mukminun: 9)

Menjadi kelaziman masyarakat Melayu Islam yang pergi ke masjid atau surau terutamanya masyarakat kampung dan desa akan bersalaman selepas solat Subuh dan juga Asar. Adakah ia termasuk dalam bid’ah yang dicegah dan dilarang kerana tidak dilakukan oleh salafussoleh, bahkan pada zaman Rasulullah SAW?

Daripada Ummul Mukminin Ummu ‘Abdillah, Aisyah R.Anha, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda:

 مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ مِنْهُ، فَهُوَ رَدُّ ، وَفِي رِوَايَةٍ مُسْلِمٍ: مَنْ عَمِلَ عَمَلاً لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا؛ فَهُوَ رَدُّ

Maksudnya: “Sesiapa yang mengadakan pembaharuan dalam urusan kami ini (agama) yang bukan berasal darinya, maka ia tertolak.” Manakala dalam riwayat Muslim: “Sesiapa yang beramal dengan amalan yang bukan berasal daripada agama kami, maka amalan itu tertolak.”

Riwayat al-Bukhari (2550) dan Muslim (1718)

Imam al-Nawawi telah memberikan pengertian bid’ah seperti berikut: “Bid’ah (بدعة) dibaca dengan baris bawah pada huruf ba’. Dari segi istilah syara’ bermaksud mencipta sesuatu amalan ibadah yang tidak wujud pada zaman Rasulullah. Bid’ah terbahagi kepada bid’ah yang baik dan bid’ah yang keji.”

Menjawab persoalan di atas, kami nukilkan pendapat Imam al-Nawawi katanya: “Adapun yang selalu dibuat oleh orang iaitu bersalaman selepas solat Subuh dan solat Asar, ia tidak ada asalnya dalam hukum syarak dalam bentuk ini, namun ia tidak mengapa, kerana asal bersalaman itu adalah sunnah… kemudian beliau (al-Nawawi) mengambil dalil daripada pandangan al-lzz ibn ‘Abd al-Salam. (Lihat al-Azkar, hlm. 237) (Lihat Diskusi Isu Akidah dan Pemikiran Semasa di Malaysia, hlm. 369)

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

Surah Ibrahim (40-41)

Bertarikh: 26 Oktober 2023 bersamaan 11 Rabiulakhir 1445 H

Leave a Reply