Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah perkara baru atau bid’ah ditentang oleh agama? Bagaimana pandangan Imam al-Nawawi berkenaan perkara ini?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Daripada Ummul Mukminin Ummu ‘Abdillah, Aisyah R.Anha, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda:

 مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ مِنْهُ، فَهُوَ رَدُّ ، وَفِي رِوَايَةٍ مُسْلِمٍ: مَنْ عَمِلَ عَمَلاً لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا؛ فَهُوَ رَدُّ

Maksudnya: “Sesiapa yang mengadakan pembaharuan dalam urusan kami ini (agama) yang bukan berasal darinya, maka ia tertolak.” Manakala dalam riwayat Muslim: “Sesiapa yang beramal dengan amalan yang bukan berasal daripada agama kami, maka amalan itu tertolak.”

Riwayat al-Bukhari (2550) dan Muslim (1718)

Imam al-Nawawi telah memberikan pengertian bid’ah seperti berikut: “Bid’ah (بدعة) dibaca dengan baris bawah pada huruf ba’. Dari segi istilah syara’ bermaksud mencipta sesuatu amalan ibadah yang tidak wujud pada zaman Rasulullah. Bid’ah terbahagi kepada bid’ah yang baik dan bid’ah yang keji.”

Definisi bid’ah dalam perkara ibadat menurut Imam al-Syatibi:

طَرِيقَةٌ فِي الدِّينِ مُخْتَرَعَةٌ، تُضَاهِي الشَّرْعِيَّةَ يُقْصَدُ بِالسُّلُوكِ عَلَيْهَا الْمُبَالَغَةُ فِي التَّعَبُّدِ اللَّهِ سُبْحَانَهُ

Maksudnya: “Suatu jalan dalam agama yang dibuat-buat (tanpa ada dalil) yang menyerupai syari’at (ajaran Islam), yang dimaksudkan ketika menempuhnya adalah untuk berlebih-lebihan dalam beribadah kepada Allah SWT.”

Bid’ah dalam perkara adat (tradisi) menurut Imam al-Syatibi:

الْبِدْعَةُ: طَرِيقَةٌ فِي الدِّينِ مُخْتَرَعَةٌ، تُضَاهِي الشَّرْعِيَّةَ، يُقْصَدُ بِالسُّلُوكِ عَلَيْهَا مَا يُقْصَدُ بِالطَّرِيقَةِ الشَّرْعِيَّةِ.

Maksudnya: “Suatu jalan dalam agama yang dibuat-buat (tanpa ada dalil) dan menyerupai syari’at (ajaran Islam), yang dimaksudkan ketika melakukan (adat tersebut) adalah sebagaimana niat ketika menjalani syari’at.”(Lihat al-I’tisam, 1/26).

Menurut Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Sa’di: “Hadis ini menunjukkan makna lafzi dan mafhum. Secara lafzi, hadis ini menunjukkan, segala amal perbuatan yang diada-adakan dalam urusan beragama yang tidak ada dasarnya dalam al-Quran mahupun Sunnah akan ditolak. Bid’ah mungkin dalam bentuk perkataan atau fahaman seperti Jahmiyyah, Rafidhah, Mu’tazilah ataupun berbentuk bid’ah-bid’ah amaliah seperti melakukan ibadah yang tidak disyariatkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Manakala makna mafhum hadis ini adalah siapa sahaja yang melakukan amalan berdasarkan ajaran Allah dan Rasul-Nya sama ada yang wajib, sunat mahupun mustahab, amalannya diterima Allah dan diberi balasan oleh-Nya.”

Menjawab persoalan di atas, kami nukilkan pendapat Imam al-Nawawi yang berkata: “Perkara-perkara baru itu dua bentuk: Pertama: perkara baru yang menyalahi al-Qur’an dan al-Sunnah atau athar atau ijmak, maka ini merupakan kesesatan. Kedua; perkara baru yang baik, tiada khilaf dalam kalangan ulama dalam perkara ini, maka ini merupakan perkara baru yang tidak dicela234. la juga dipegang oleh Imam al-Syafi’i. (Lihat Diskusi Isu Akidah dan Pemikiran Semasa di Malaysia, hlm. 368)

Semoga Allah SWT kurniakan kepada kita untuk sentiasa berpandukan kepada kebenaran dalam hidup. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”

Bertarikh: 26 Oktober 2023 bersamaan 11 Rabiulakhir 1445 H

Leave a Reply