Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah al-Imam al-Khattabi mempunyai pandangan khusus berkenaan bid’ah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Daripada Ummul Mukminin Ummu ‘Abdillah, Aisyah R.Anha, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda:

 مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ مِنْهُ، فَهُوَ رَدُّ ، وَفِي رِوَايَةٍ مُسْلِمٍ: مَنْ عَمِلَ عَمَلاً لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا؛ فَهُوَ رَدُّ

Maksudnya: “Sesiapa yang mengadakan pembaharuan dalam urusan kami ini (agama) yang bukan berasal darinya, maka ia tertolak.” Manakala dalam riwayat Muslim: “Sesiapa yang beramal dengan amalan yang bukan berasal daripada agama kami, maka amalan itu tertolak.”

Riwayat al-Bukhari (2550) dan Muslim (1718)

Imam al-Nawawi telah memberikan pengertian bid’ah seperti berikut: “Bid’ah (بدعة) dibaca dengan baris bawah pada huruf ba’. Dari segi istilah syara’ bermaksud mencipta sesuatu amalan ibadah yang tidak wujud pada zaman Rasulullah. Bid’ah terbahagi kepada bid’ah yang baik dan bid’ah yang keji.”

Definisi bid’ah dalam perkara ibadat menurut Imam al-Syatibi:

طَرِيقَةٌ فِي الدِّينِ مُخْتَرَعَةٌ، تُضَاهِي الشَّرْعِيَّةَ يُقْصَدُ بِالسُّلُوكِ عَلَيْهَا الْمُبَالَغَةُ فِي التَّعَبُّدِ اللَّهِ سُبْحَانَهُ

Maksudnya: “Suatu jalan dalam agama yang dibuat-buat (tanpa ada dalil) yang menyerupai syari’at (ajaran Islam), yang dimaksudkan ketika menempuhnya adalah untuk berlebih-lebihan dalam beribadah kepada Allah SWT.”

Bid’ah dalam perkara adat (tradisi) menurut Imam al-Syatibi:

الْبِدْعَةُ: طَرِيقَةٌ فِي الدِّينِ مُخْتَرَعَةٌ، تُضَاهِي الشَّرْعِيَّةَ، يُقْصَدُ بِالسُّلُوكِ عَلَيْهَا مَا يُقْصَدُ بِالطَّرِيقَةِ الشَّرْعِيَّةِ.

Maksudnya: “Suatu jalan dalam agama yang dibuat-buat (tanpa ada dalil) dan menyerupai syari’at (ajaran Islam), yang dimaksudkan ketika melakukan (adat tersebut) adalah sebagaimana niat ketika menjalani syari’at.”(Lihat al-I’tisam, 1/26).

Menurut Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Sa’di: “Hadis ini menunjukkan makna lafzi dan mafhum. Secara lafzi, hadis ini menunjukkan, segala amal perbuatan yang diada-adakan dalam urusan beragama yang tidak ada dasarnya dalam al-Quran mahupun Sunnah akan ditolak. Bid’ah mungkin dalam bentuk perkataan atau fahaman seperti Jahmiyyah, Rafidhah, Mu’tazilah ataupun berbentuk bid’ah-bid’ah amaliah seperti melakukan ibadah yang tidak disyariatkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Manakala makna mafhum hadis ini adalah siapa sahaja yang melakukan amalan berdasarkan ajaran Allah dan Rasul-Nya sama ada yang wajib, sunat mahupun mustahab, amalannya diterima Allah dan diberi balasan oleh-Nya.”

Kami terangkan dahulu sedikit di sini berkenaan dengan Imam al-Khattabi. Beliau ialah Abu Sulaiman Hamad bin Muhammad bin Ibrahim bin al-Khattab al-Syafi’i. Lahir pada tahun 319 H di kota Bast dan merantau dalam pembelajaran mencari ilmu hadith sehingga ke Baghdad, Basrah, Makkah, Khurasan dan negara di belakang sungai.

Belajar mendalami dalam mazhab Syafi’i. Mengarang banyak kitab seperti Sya’nu Du’a, Syarah Sunan Abi Dawud dan lain-lain. Antara gurunya yang terkenal Abul Abbas al- Asm dan lain-lain. Beliau meninggal dunia pada tahun 388 H. Semoga Allah SWT merahmatinya.

Menjawab persoalan di atas, al-Khattabi berkata: “Apa yang terbina di atas Qawa’id al- Usul, ia bukan bid’ah dan tidak juga sesat. Terdapat dalam Lisan al-‘Arab pandangan Ibnu al-Athir iaitu: “Bid’ah itu dua; bid’ah huda (petunjuk) dan bid’ah dhalalah (sesat)…maka apa yang berlaku di bawah keumuman apa yang diharuskan oleh Allah atau Rasul-Nya dan ia tidak mempunyai misal sebelumnya maka ia terpuji. Dan ia berkata lagi: Dan antara jenis (bid’ah huda) ini iaitu ucapan Umar RA: Senikmat-nikmat bid’ah adalah ini (mengerjakan tarawih 20 raka’at secara berjamaah)” (Lihat Lisan al-‘Arab madah bid’ah dan lihat juga Faydh al-Qadir, 1/84 nukilannya tentang pendapat Ibnu al-Atsir daripada al-Nihayah). (Lihat Diskusi Isu Akidah dan Pemikiran Semasa di Malaysia, hlm. 368)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”

Bertarikh: 26 Oktober 2023 bersamaan 11 Rabiulakhir 1445 H

Leave a Reply